Kezaliman terhadap alam sekitar & sosial akibat daripada penjajahan Israel (VIDEO)

https://vimeo.com/98387057

Video oleh: Radio Mundo Real 

Dengan meningkatnya banyak diskriminasi dan penindasan terhadap wilayah Gaza, Palestin, pada 2013 Friends of the Earth (FoEI) telah mengadakan misi solidariti ke wilayah Palestin yang telah dijajah dan memerhatikan beberapa isu tentang pencabulan hak asasi manusia dan kemusnahan alam sekitar di sana. Keganasan yang berlaku di wilayah tersebut sekali lagi telah menarik perhatian antarabangsa di mana tadbir urus yang tidak normal & polisi yang menindas oleh kerajaan Israel telah menyumbang kepada krisis sosial dan alam sekitar yang meruncing di wilayah Palestin yang memerlukan solidariti antarabangsa.

Misi tersebut telah melihat bukti yang jelas tentang rampasan tanah, perampasan sumber bekalan air dan aduan serta keluhan pegawai kerajaan Palestin, penyelidik, warga tempatan dan aktivis alam sekitar. Mereka menyaksikan bagaimana kawasan industri yang tidak mempunyai kawalan pembebasan asap, air kumbahan yang tidak dirawat yang dilepaskan di kawasan terbuka & saluran sungai sensitif dan tambunan sampah menggunung yang langsung tidak dikawal dan diurus dengan baik. Juga tentang kemusnahan kawasan pokok, pencemaran kawasan pertanian dan kawasan air.

Semasa misi tersebut juga, Pengerusi FoEI, Jagoda Munic menempelak perkara yang dirujuk beliau sebagai “penjajahan yang halus” termasuk pembuangan sisa-sisa toksik, rampasan & lencongan sumber bekalan air bersih, dan pembangunan kawasan industri pencemaran berdekatan kediaman penduduk. Beliau menyifatkan bahawa polisi kerajaan Israel sebagai “sangat mengejutkan” dan mengatakan bahawa “Palestin mempunyai contoh perkaitan antara ketidak adilan alam sekitar, sosial dan politik”

Pada Julai 9, 2014 mencatatkan ulangtahun ke 10 semenjak Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan “Tindakan pembetulan undang-undang terhadap pembinaan tembok tinggi di kawasan jajahan Israel.” Permintaan mahkamah tersebut sangat jelas, tembok tersebut wajib diruntuhkan, hak wilayah Palestin diiktiraf dan masyarakat antarabangsa perlu memantau pematuhan oleh kerajaan Israel. Semenjak pembinaan tembok tersebut bermula pada tahun 2002, ia telah mengubah banyak aspek fizikal dan landskap kemanusiaan di Tebing Barat. Ia telah memusnahkan ekosistem, menghancurkan penempatan, memisahkan keluarga dan komuniti. Ia menyekat akses rakyat Palestin terhadap kediaman sendiri, tanah dan keperluan harian serta aktiviti ekonomi, sosial, kebudayaan dan keagamaan termasuk di wilayah Baitulmaqdis timur. Hampir 170 komuniti berbeza di Tebing Barat sangat terkesan dengan tembok ini.

Krisis yang berlanjutan selama berdekad-dekat ini ditambah lagi dengan tiadanya akauntabiliti & pemantauan terhadap undang-undang Israel yang menindas. 10 tahun kemudian, tembok tersebut semakin berkembang dan penempatan orang Israel juga terus bertambah, menjurus kepada eksploitasi alam sekitar dan pengusiran.

Banyak komuniti Palestin juga menderita akibat kekurangan akses kepada sumber bekalan air yang bersih dan mencukupi akibat polisi & perlaksanaan dasar sumber air Israel, yang mana ia mendiskriminasi hak rakyat Palestin ditambah lagi dengan pencerobohan oleh pendatang Israel terhadap sumber bekalan air mereka.

Artikel diterjemah daripada laman Friends of the Earth International:

Post Author: Editor KUASA