Alam sekitar adalah kepunyaan masyarakat, bukannya pemerintah sahaja

Mengembalikan Autonomi Kepada Masyarakat Bagi Memaknai Demokrasi Alam Sekitar.

“Selagi mana struktur hierarki berterusan, selagi mana dominasi mengelola kemanusiaan itu berlegar sekitar kelompok elit, penguasaan alam semulajadi akan terus berlaku dan akan menjerumuskan planet kita kepada satu kepupusan ekologi yang tidak mampu dielakkan” (Murray Bookchin, Ecology of Freedom)

Pada tahun yang lalu, Save Kuala Lumpur Coalition (SKL), berjaya memobilisasi penduduk sekitar kawasan Taman Tun Dr Ismail, bagi membantah pembangunan komersial – pembinaan kondominium setinggi 29 tingkat dan beberapa blok pangsapuri – yang akan dibina dikawasan Taman Rimba Bukit Kiara.

Hampir 1000 penduduk sedar bahawa Taman Rimba Bukit Kiara itu satu-satunya ruang hijau yang mereka miliki, berperanan sebagai ‘tangki oksigen’ penduduk bandar yang harus dipertahankan. Itu lebih penting dari menyerahkannya kepada pembangunan yang akan mengkesankan hidup mereka kelak. Ini adalah satu bukti bahawa masyarakat kini sudahpun mampu mengelola dan menyelesaikan sendiri permasalahan, bebas dari sebarang kontrol autoriti.

Penduduk TTDI membantah pembangunan komersial, unit kondominium yang akan didirikan di Taman Rimba Kiara.

Dalam soal membentuk pilihan, masyarakat harus sedar bahawa mereka harus memasuki ke ruang-ruang yang ada untuk berpatisipasi bukan sahaja dalam menentukan keputusan, tetapi awal sebelum itu lagi yaitu menyuarakan dasar-dasar yang dipersetujui bersama pada sekecil-kecil peringkat komuniti, yang akan menjadi pilihan pada proses akhir membuat keputusan.

Namun apa yang berlaku hari ini, ruang-ruang untuk berpatisipasi secara aktif oleh masyarakat telah diambil alih oleh golongan elit pemerintah dan dominasi melalui sentralisasi kuasa. Perkara ini wujud dari peringkat komuniti, hingga ke peringkat negara. Segala keputusan tidak dapat tidak akan melalui golongan ini sebelum ia dilaksanakan kepada masyarakat. Ini akan mewujudkan kebergantungan masyarakat kepada golongan ini dalam mengelola sendiri kehidupan mereka.

Akhirnya, visi masyarakat dalam melalui perubahan hanya terarah kepada sistem perubahan top-down.

Tidak dinafikan juga struktur heirarki melalui sentralisasi kuasa memainkan peranan dalam melemahkan suara masyarakat. Mereka dipecah-pecahkan melalui permainan politik, kaum, agama, dan penindasan oleh elit pemerintah demi kelangsungan kuasa yang dipegang. Apabila masyarakat di kecil-kecilkan peranan, ia akan mendorong mereka untuk mempertahankan kepentingan diri mereka sendiri terhadap orang lain – yang akan menghilangkan nilai-nilai empati, keluhuran dan hubungan kemanusiaan

Lalu, mengembalikan autonomi kepada masyarakat berarti memecahkan dominasi yang dikuasai oleh elit pemerintah. Dan perubahan itu seharusnya dibina dari bawah, bukan dihulur dari atas.

Milikan Autonomi

Komuniti hutan seperti masyarakat orang asli seharusnya memiliki autonomi dalam hak menguruskan hutan kerana mengambil kira hutan adalah sebagai kawasan penempatan mereka, sumber makanan, ubatan dan keperluan lain, selain sentimen yang dibina sejak zaman nenek moyang mereka lagi. Sumber hutan yang digunakan mereka hanya bagi memenuhi keperluan harian, bukan dikomoditikan.

Berbanding dominasi oleh pihak autoriti, hutan dilihat sebagai barang komoditi yang memerlukan pengeluaran sumber yang masif dan berterusan, bagi memenuhi tuntutan pasar selain bertujuan untuk menjana perkembangan ekonomi yang saban tahun meningkat – bererti menuntut peningkatan pengeluaran sumber alam juga. Ini memberi kesan terhadap kelangsungan hidup bukan sahaja komuniti orang asli, malah hidupan yang terdapat di dalam hutan tersebut yang membawa kerosakan biodiversiti yang telah dibina secara semulajadi sejak jutaan tahun.

Sebagai contoh, kita mempunyai model eko-pelancongan yang hampir sepenuhnya dikelola oleh komuniti-komuniti, yang dijalankan di negeri Sabah iaitu program CBET – Community Based Eco-Tourism, dimana model ini telah menjadi penyumbang ekonomi terbesar di sana. Apa yang lebih menarik, ia berjaya mengurangkan kebergantungan kerajaan negeri terhadap aktiviti pembalakan sekaligus menjaga kelestarian hutan.

Bagi tahun 2015 sahaja, nilai pendapatan bagi sektor pelancongan di Sabah mencecah RM6.4 bilion, berbanding sektor pembalakan (RM1 bilion – nilai tertinggi, dan merosot kepada RM120 juta setahun). Ia memberi manfaat kepada ekonomi negeri dalam masa yang sama meningkatkan kualiti alam sekitar seperti keseimbangan biodiversiti, jaminan sumber air, meningkatkan fungsi tebatan bencana alam, dan menapis pencemaran udara. Pokoknya, berlaku kesamarataan dalam pengagihan manfaat kepada semua hidupan.

Berbanding hutan yang dijadikan sebagai barang komoditi, ia hanya menjana variety hasil yang terhad – sama ada kepada industri perkayuan atau pembangunan ladang. Namun, keuntungan dari pelaburan terhadap sumber tersebut akhirnya dibolot oleh pihak pemodal.

Program eko-pelancongan yang dikelola masyarakat Sabah hasil usahasama Mescot melalui Koperasi Pelancongan (KOPEL), merupakan model terbaik dalam memperlihatkan sejauh mana sesebuah komuniti itu mampu mandiri dengan autonomi yang diberi. 

Memecahkan Dominasi Kuasa

Begitu juga halnya tentang sentralisasi kuasa yang mempunyai perkaitan yang sama maksud dengan dominasi yang disebutkan. Kuasa terhadap bidang kuasa tanah di Malaysia telah di mutlakkan peranan pengusahahasilannya kepada ketua eksekutif negeri iaitu Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi setiap negeri.

Segala bantahan, dasar atau deklarasi dari masyarakat akar umbi – bahawa asas kepada suara mereka sudah tentu berkait dengan tindak balas persekitaran yang akan berlaku disebabkan oleh pembangunan tidak lestari, yang bakal memberi impak secara langsung kepada sosioekonomi dan kelangsungan hidup mereka. Dan suara oleh masyarakat akar umbi ini akhirnya dilemahkan (overpower) melalui keputusan akhir oleh autoriti demi memenangkan kaum pemodal.

Namun, pemecahan dominasi ini bukanlah sesuatu yang boleh berlaku dalam sekelip mata – sepertimana sesebuah revolusi berlaku, ia bermula dari kesedaran individu sebagai katalis kepada kebangkitan jutaan manusia. Ia perlu dimulai pada sekecil-kecil peringkat, seperti di komuniti munisipal, sebuah kejiranan, atau pertubuhan yang bebas dari kontrol autoriti

Program seperti kebun komuniti-bank makanan, perpustakaan awam, ruang sosial seperti bengkel kemahiran yang dibangunkan oleh komuniti (sebagai ruang bertukar kemahiran dan ilmu) misalnya, adalah satu inisiatif yang efektif bagi mereklamasi semula ruang yang ada bagi penduduk berpatisipasi aktif didalam sesebuah komuniti selain mewujudkan sense of belonging mereka terhadap persekitaran mereka.

Latihan Aktivis Alam Sekitar yang dianjurkan oleh KUASA merupakan satu ruang sosial bagi masyarakat dalam menuntut ruang partisipasi mereka.

Inisiatif sebegini seterusnya akan menuju kepada percambahan usaha dan idea-idea (yang terjangka atau tidak) asalkan ia dimulakan, yang mana ia nanti menjadi satu bentuk partisipatif yang relevan dan menarik orang ramai selain mewujudkan budaya baharu.

Pada satu jangka masa, inisiatif sebegini akan mewujudkan penglibatan yang lebih dalam dengan menjana ekonomi di peringat komuniti seperti koperasi setempat – seterusnya menjana pendapatan.

Masih terdapat beberapa usaha lain bagi mewujudkan ruang partisipasi masyarakat, seperti mewujudkan pilihanraya di peringkat PBT, agar ahli majlis munisipal diwakilli oleh komuniti setempat – sebagai kemudahan suara akar umbi disalurkan ke peringkat tertinggi. Namun pelaksanaannya masih memerlukan willingness dari pihak autoriti – yang dilihat masih mustahil untuk dicapai.

Lalu, dalam mencapai makna demokrasi, masyarakat harus lebih progresif. Perjuangan alam sekitar kini tidak cukup sekadar mengitar semula sisa-sisa, berbicara mengenai kesedaran konsumer, penjimatan sumber dan menanam pokok sahaja, kita harus mencipta dan mula masuk ke dalam ruang-ruang partisipasi sebagai asas perjuangan – memandirikan masyarakat tanpa tali-tali bergantung.

 

Artikel ini telah ditulis oleh Saudara Azim Mohamed Salleh, beliau merupakan lulusan Diploma Perladangan dan kini bertugas sebagai penganalisa maklumat dan juga koordinator RnD KUASA

Post Author: Editor KUASA