Macam mana boleh ada pembalakan di dalam hutan simpan?

Ramai yang masih menganggap bahawa kawasan Hutan Simpan atau terma rasminya “Hutan Simpanan Kekal (HSK)” adalah kawasan hutan yang perlu disimpan, dijaga dan dilindungi daripada sebarang aktiviti pembangunan. Maka kawasan terbabit tidak boleh diluluskan untuk aktiviti yang memusnahkan seperti pembalakan, perladangan dan sebagainya.

Sebenarnya ia tidaklah seperti yang kita sangka. Sebelum itu, mari kita fahami apa maksud sebenar Hutan Simpan. Ia adalah kawasan hutan yang telah digazetkan oleh kerajaan untuk diuruskan di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan. Definisi Hutan Simpan di bawah akta:

“Hutan Simpanan Kekal adalah bermaksud mana-mana tanah (tanah berhutan dan tidak berhutan) yang diwartakan atau disifatkan telah dijadikan sebagai HSK untuk tujuan perhutanan di bawah seksyen 7, 8 dan 9 Akta Perhutanan Negara 1984. Kawasan tersebut ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) dan semua hasil hutan dalam kawasan ini adalah milik Kerajaan Negeri. Di bawah seksyen 10 (1) Akta yang sama,HSK dikelaskan kepada dua (2) kategori yang utama iaitu (i) hutan pengeluaran dan (ii) hutan perlindungan.”

Definisi di atas jelas memberitahu bahawa Hutan Simpan ditadbir atau diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri dan di bawahnya terdapat dua lagi sub-kategori iaitu hutan perlindungan dan hutan pengeluaran.

Ok, ini bermaksud di dalam hutan simpan kita, terdapat kawasan hutan perlindungan, yang telah dikategorikan khususnya untuk usaha perlindungan. Ini bermaksud hutan perlindungan ini perlulah dilindungi sepenuhnya daripada aktiviti manusia yang bisa memusnahkan. Di bawah hutan perlindungan ini ia dikelaskan lagi untuk 11 lagi tujuan khusus sebagaimana yang dinyatakan di dalam gambarajah di bawah. Rujuk Seksyen 10(1) b-l.

Jika anda perasan pada gambarajah di atas, di bawah Seksyen 10(1) a, terdapat kelas “hutan pengeluaran kayu di bawah perolehan berkekalan. Inilah dia kategori hutan pengeluaran, yang mana membolehkan kawasan hutan tersebut dikeluarkan hasil kayunya.

Namun, jangan terkejut, hasil yang dikeluarkan bukan sahaja kayu balak melalui aktiviti pembalakan, tetapi aktiviti pembukaan ladang (yang memerlukan pembalakan tebang habis), pembukaan kuari dan perlombongan juga boleh dijalankan dengan pemberian permit. Di bawah merupakan contoh peta pengkelasan hutan simpan berdasarkan penjelasan di atas.

 

Peta Hutan Simpan Negeri Perak: Hijau = Hutan Pengeluaran (Boleh Balak), Biru Muda = Hutan Tadahan Air (Perlindungan), Coklat = Hutan Paya Laut (Perlindungan), Merah Hati = Hutan Berketinggian lebih 1,000 m aras paras laut (Perlindungan), Hijau Pekat = Hutan Simpanan Dara (Perlindungan), Merah Jambu = Hutan Lipur (Perlindungan), Ungu cair = Hutan Hidupan Liar/Pelajaran (Perlindungan), Kelabu = Tanah Kerajaan & tanah lain-lain

Jadi, di bawah akta/undang-undang, sememangnya boleh berlaku aktiviti pembalakan, perlombongan, kuari dan sebagainya di dalam hutan simpan. Dan segala hasil tersebut akan diperolehi oleh kerajaan negeri kerana kerajaan negeri mempunyai bidangkuasa mutlak ke atas tanah, air dan sumber asli.

Contoh lesen kuari yang telah diluluskan di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal

Satu lagi fakta yang anda perlu tahu, sebenarnya kawasan atau zon hutan pengeluaran di dalam Hutan Simpan kita adalah lebih besar berbanding zon hutan perlindungan. Ini bermaksud kawasan hutan simpan kita telah dizonkan lebih banyak untuk pembalakan. Mari kita lihat gambarajah di bawah:

Statistik tanah berhutan di Semenanjung Malaysia (JPSM, 2016)

Berdasarkan statistik di dalam gambarajah di atas, jelas menunjukkan bahawa Hutan Pengeluaran telah dizonkan lebih besar berbanding Hutan Perlindungan di bawah kawasan Hutan Simpanan Kekal. Bahkan keluasannya amat besar sehingga 3 juta hektar.

Walaupun hampir 85.3% tanah berhutan di Semenanjung Malaysia telah digazetkan sebagai hutan simpnan, namun sebahagian besarnya masih lagi boleh dibalak. Maka ia tidak menghairankan bila mana terdapat banyak lagi kawasan-kawasan pembalakan yang bertindih dengan kawasan sensitif seperti perkampungan orang asli, kawasan rayau orang asli, kawasan tadahan air yang belum digazetkan, kawasan-kawasan kampung, habitat hidupan liar dan banyak lagi.

Oleh itu, saban hari NGO-NGO Alam Sekitar sedang berusaha untuk memohon Jabatan Perhutanan dan Kerajaan Negeri untuk menambah lagi kawasan perlindungan di dalam Hutan Simpan supaya masalah pencemaran, kemusnahan hutan dan masalah rakyat dapat diatasi. Dan kawasan yang ditambah untuk perlindungan tersebut boleh digantikan hasil ekonominya melalui aktiviti eko-pelancongan, konservasi, serta penghasilan produk hutan bukan berasaskan balak seperti kraftangan, herba, ubat-ubatan, rotan dan sebagainya bagi menampung sosioekonomi tempatan dan juga negeri.

Contoh aktiviti penghasilan produk hutan bukan berasaskan balak seperti kraftangan, herba, ubat-ubatan, tapak semaian, rotan dan sebagainya

Perkara ini mampu direalisasikan dan telah dibuktikan berjaya di mana pada tahun 2006, negeri Sabah telah berjaya menambah kawasan hutan perlindungan sebanyak 6% dan mengurangkan aktiviti pembalakan. 6% hutan tersebut diperkayakan semula dengan spesis-spesis tempatan, ditumpukan untuk kajian, eko-pelancongan dan pembangunan komuniti. Hasilnya selepas 10 tahun, pada tahun 2016, kerajaan negeri berjaya menambah hasil pendapatan negeri sebanyak 7.6 billion daripada hasil terkumpul sektor eko-pelancongan.

Ketika ini, di samping kempen untuk menggalakkan kerajaan negeri untuk menggalakkan eko-pelancongan bagi menggantikan aktiviti pembalakan yang masih diamalkan negeri-negeri Semenanjung Malaysia, NGO Alam Sekitar seperti KUASA sedang berusaha untuk mendesak kerajaan agar menghentikan sebarang aktiviti pembukaan ladang, kuari dan perlombongan di dalam hutan simpan kerana aktiviti tersebut memerlukan pembalakan tebang habis (cuci mangkuk), ia tidak seperti pembalakan biasa yang menggunakan sistem tebangan memilih (Selective Management System – SMS) sebagaimana gambarajah di bawah.

Aktiviti pembalakan cuci mangkuk untuk tujuan pembukaan ladang monokultur (ladang satu jenis seperti getah, akasia, durian, sayur-sayuran, sawit dsb)

 

 

 

 

 

 

 

Aktiviti Pembalakan selektif (SMS) yang dikatakan pembalakan terkawal, lestari, kurang impak dan pencemaran.

Kesimpulannya, usaha untuk melindungi hutan kita bukanlah semudah yang disangka. Pengetahuan dalam selok belok pengurusan dan undang-undang harus dikuasai oleh mereka yang prihatin untuk melindungi hutan supaya anda tidak tersilap fakta dan melakukan langkah yang efektif dalam melindungi hutan.

Di peringkat pihak berkuasa, khususnya kerajaan negeri dan agensi teknikal kerajaan, seharusnya ada keterbukaan untuk mengubah dan mengolah semula sistem yang sedia ada bagi menjamin pengekalan hutan bagi jangka masa panjang.

Dasar yang sedia ada dilihat tidak mampan lagi untuk mencapai tahap pengurusan hutan secara terbaik. Kami berharap, ahli politik bersama-sama memikirkan jalan baru bagi menjana ekonomi negara secara lestari tanpa melibatkan kemusnahan alam dalam skala yang besar, tetapi keuntungan yang bersifat jangka masa pendek.

Ini hanyalah sebahagian kecil atau permulaan perkongsian kami tentang selok-belok pengurusan hutan, terdapat banyak lagi maklumat yang akan dikongsi di masa hadapan. Jika anda terdapat beberapa persoalan, sila hubungi kami di admin@kuasaperak.org

Artikel ditulis oleh, Hafizudin Nasarudin, Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam

Post Author: Editor KUASA