Kemusnahan hutan mampu mengancam keselamatan air & makanan negara

Apa yang anda perlu tahu?

Aktiviti pembukaan hutan yang berleluasa termasuk bagi tujuan pembalakan, perlombongan, pembinaan kawasan kediaman dan komersial tanpa pengurusan pembendungan (containment) dan penjagaan rizab sungai yang baik telah menyebabkan banyak sungai-sungai kita merosot dari segi kualiti & kuantiti – dari hulu ke hilir .

Walaupun menerima taburan hujan yang besar & sekata sepanjang tahun, namun kita tidak mampu menggunakan sebahagian besar kitaran air hujan kita akibat kehilangan dan kegagalan kawasan hutan selaku kawasan tadahan air efektif untuk menadah, menapis dan membekalkannya air dalam keadaan yang bersih dan mencukupi.

Negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor & Melaka kini dikategorikan sebagai negeri defisit/tidak cukup air – sehingga terpaksa mengimport bekalan air secara domestik dari negeri bersebelahan (JPS, 2017).

Negeri Selangor, Johor & Kelantan juga sedang menghadapi tekanan bagi membekalkan air yang mencukupi.

Dari segi kuantiti, krisis bekalan air bukan hanya terjadi akibat musim kemarau ataupun paip pecah, ia juga terjadi akibat berpunca daripada kegagalan stesen-stesen rawatan air yang terpaksa menerima dan merawat jumlah air sungah keruh yang banyak akibat mendapat lumpur daripada aktiviti pembukaan tanah di dalam hutan dan aktiviti lain yang menjejaskan kualiti sungai tersebut – sebelum ia dirawat menjadi air yang boleh diminum atau digunakan di rumah.

Kos yang tinggi diperlukan bagi memperbaiki dan menambah kapasiti teknologi bagi rawatan jumlah air yang semakin keruh dan merosot. Insiden terputus ‘shut down’ sering kali dilaporkan daripada kejadian ini.

Bagi sektor makanan pula, Padi sebagai makanan ruji rakyat Malaysia untuk dijadikan contoh, Kedah sebagai negeri pengeluar padi terbesar negara – yang menghasilkan bekalan padi sebanyak 40 peratus – sebahagian besarnya bergantung sepenuhnya kepada sumber air dari kawasan Hutan tadahan air Ulu Muda.

Kemusnahan hutan Ulu Muda sekaligus memberikan ancaman yang serius kepada jelapang-jelapang padi di negeri tersebut – di mana terdapat kawasan pengairan padi terutamanya di bahagian penghujung tidak menerima kuantiti air yang mencukupi.

Senario ini juga turut berlaku di negeri Perak, negeri pengeluar padi kedua terbesar negara di mana jelapang padi (granary) utama di Skim Pengairan Trans-Perak (Seberang Perak) & Skim Pengairan Sungai Manik serta kawasan padi yang lain mengalami tekanan daripada bekalan air Sungai Perak yang semakin cetek akibat daripada pelbagai mendapan daripada aktiviti perlombongan pasir, pembukaan tanah & hutan di kawasan lembangan Sungai Perak.

Ini sekaligus menyebabkan produktiviti padi boleh merosot dan kerajaan terpaksa membelanjakan jumlah yang besar untuk menambah sistem pengepaman bagi mengepam jumlah air yang besar sehingga ke penghujung saliran.

Di bahagian hiliran sungai dan berdekatan laut kawasan perairan pula, Hutan Paya Bakau yang menjadi tempat bergantung nelayan kita sebagai sumber perikanan – habitat pembiakan ikan, udang, ketam dan spesis makanan laut yang lain serta menjadi benteng penahan penting kepada tsunami dan hakisan laut – telah dimusnahkan sebanyak 25,000 hektar dalam tempoh 10-12 tahun – lebih besar daripada saiz Bandaraya Kuala Lumpur (The Star, 2015).

Lalu mengakibatkan kepupusan sumber marin khususnya sumber bakalan laut yang semakin terjejas yang mampu meningkatkan kos harga makanan serta mendedahkan komuniti yang tinggal di pesisiran pantai kepada ancaman tsunami dan kenaikan paras laut.

Oleh itu, ini merupakan hujah yang amat kuat mengapa kita harus mempertahankan hutan biodiversiti kita daripada sewenang-wenangnya dibuka dan dimusnahkan tanpa keperluan yang munasabah.

Artikel ditulis oleh: Hafizudin Nasarudin (Pengerusi KUASA)

Sumber: JPS, 2017 Laporan Food, Water & Energy Nexus

Post Author: Editor KUASA