Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK)

Projek Latihan Aktivis Alam Sekitar adalah salah satu inisiatif KUASA untuk melatih orang awam khususnya golongan muda & komuniti akar umbi untuk menjadi aktivis alam sekitar.

Matlamat utama LASAK adalah untuk menggalakkan partisipasi awam dalam pengurusan dan pembuatan keputusan dalam sektor alam sekitar berdasarkan polisi, undang-undang dan saluran yang sedia ada dengan melatih dan memperkasa warganegara khususnya golongan muda, komuniti akar umbi dan orang awam yang prihatin terhadap alam sekitar untuk menjadi aktivis alam sekitar dengan menggunakan strategi sistematik, modul yang tersusun serta mudah difahami.

Projek ini juga bermatlamat untuk melahirkan aktivis alam sekitar muda yang mampu menggerakkan projek dan kempen alam sekitar di Semenanjung Malaysia. Pada akhirnya, program ini sedikit sebanyak mampu menggalakkan partisipasi awam dalam perlindungan hutan, pemantauan hutan, konservasi dan urus tadbir hutan yang baik. Justeru, ia mampu mempromosi urus tadbir hutan yang cekap, ketelusan, akauntabiliti dan pengukuhan demokrasi dalam alam sekitar. Projek ini akan memfokuskan wilayan Semenanjung Malaysia berdasarkan kapasiti gerakan KUASA di sini.

LASAK 1.0 – Tahap Pertama

Modul ini termasuklah latihan dalam bilik darjah – Pengenalan kepada alam sekitar (hutan & biodiversiti), hakikat hidup, politik dan ekonomi alam sekitar, penyataan masalah, ancaman keapda hutan & biodiversiti kita, kajian kes, mini-parlimen, cara praktikal untuk bertindak (mengikut rangka kerja yang sedia ada seperti sesi pendengaran awam dalam Rancangan Tempatan Daerah/Negeri, EIA, membuat laporan, dokumentasi isu, strategi kempen, teater alam sekitar, debat dan pembentangan) serta disulami dengan perkongsian komuniti dan refleksi. LASAK 1.0 juga melibatkan slot lawatan kawasan atau eko-kemusnahan di lokasi tertentu bagi memberikan gambaran yang lebih jelas tentang senario realiti alam kemusnahan alam sekitar dan komuniti yang terimpak darinya.

LASAK 2.0 – Tahap Kedua

Modul ini tertumpu kepada latihan dan pembelajaran luar bilik darjah melalui lawatan kawasan dan kajian lapangan ke kawasan alam semulajadi dan eko-kemusnahan tertentu untuk mendedahkan mereka tentang realiti impak daripada aktiviti manusia yang tidak mampan yang telah membuatkan alam sekitar terosot serta analisis kepada puncanya. Selain itu, terdapat juga slot pengisian perkongsian bersama komuniti tempatan.

Peserta akan diberikan tugasan untuk menganalisis, memungut data, membuat dokumentasi dan merangka pelan strategik bagi menyelesaikan masalah tersebut melalui perbincangan  dan pembentangan kumpulan.

LASAK 3.0 – Tahap Akhir

Latihan ini memfokuskan latihan kritikal dalam bilik darjah dengan melatih peserta menganalisa masalah & isu secara kritikal dan teliti, dan merangka pelan tindakan seterusnya bagi menyeleisaikan satu-satu isu alam sekitar serta merangka pelan jangka masa panjang. Antaranya termasuklah menggerakkan projek bersiri, projek konservasi dan kempen yang bertujuan untuk mempromosi pendidikan, kesedaran dan memperkasa orang awam atau komuniti untuk mengambil langkah lestari dalam melindungi khazanah alam.

Setiap individu aktivis pula akan diberi topik tertentu yang sedang berjalan untuk mereka fokus dan selesaikan sebaik yang mungkin. Peserta bakal diberi tugasan khas untuk mengurus dan menyelesaikan konflik perkaitan komuniti dan alam, kawasan hutan termusnah dan mana-mana kawasan yang dilaporkan sedang mengalami kemerosotan kualiti alam sekitar. Pada akhirnya, alumni atau lepasan LASAK 1,2 & 3 mampu menjadi pemimpin masyarakat yang lestari dan membantu negara dalam menjadikan matlamat pembangunan lestari mampu dilaksanakan dengan efektif.

Post Author: Editor KUASA