HIPOKRASI ‘PELINDUNG’ ALAM SEKITAR
Baru-baru ini, Amerika Syarikat melalui presidennya telah membuat keputusan untuk menarik diri dari menandatangani Perjanjian Paris. Lantas seluruh dunia mengecam tindakan beliau yang dikatakan mampu menggagalkan usaha melawan perubahan iklim. Perjanjian Paris adalah satu lagi ‘siri’ perjanjian dalam Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang berkaitan dengan pengurangan pelepasan gas rumah hijau, penyesuaian dan kewangan bermula pada tahun 2020 .
Sejak bermulanya rundingan UNFCCC pada tahun 1992, beberapa perjanjian telah dibuat seperti Protokol Kyoto, Perjanjian Cancun, dan terbaharu Perjanjian Paris. Malah Protokol Kyoto juga telah melalui beberapa pindaan dalam perjanjiannya melalui konvensyen khas di Doha yang mana, antara pindaan yang telah dipersetujui ialah dengan merangkumi tempoh sehingga tahun 2020 berbanding perjanjian asal bagi mencapai misi dalam masa 4 tahun sehingga 2012.
Persoalannya disini, setelah beberapa siri konvensyen oleh delegasi, apakah masalah atau isu alam sekitar yang sudah selesai? Dari tahun 1970 hingga 2011, jumlah pelepasan karbon meningkat sebanyak 90% dimana 78% dari jumlah tersebut adalah berpunca dari pembakaran bahan api fosil. Menurut NASA, sejak tahun 1979, secara puratanya sebanyak 35 000 km persegi ais di bumi telah mencair setiap tahun. Data yang dikeluarkan oleh NOAA (National Oceanic and Atmospheric Administration) pula mengesahkan bahawa paras air laut meningkat sebanyak 0.8 inci setiap tahun. Manakala pada tahun 2005, UNFAO menyatakan, sebanyak 13 juta hektar hutan ditebang pada setiap tahun.
Ini angka-angka yang jelas menunjukkan, sehingga kini tiada apa-apa penyelesaian terhadap isu alam sekitar. Hanya sekadar berkonvensyen di dewan-dewan berhawa dingin. Setelah selesai, delegasi pulang ke negara masing-masing menaiki jet peribadi.
Inilah satu hipokrasi terbesar. Apa perlunya wayang konvensyen yang tak habis-habis bercakap tentang jalan penyelesaian isu alam sekitar, walhal sehingga kini isunya tak selesai-selesai? Di sebuah dewan konvensyen, ketua-ketua negara berikrar untuk melindungi alam sekitar, dalam masa yang sama, cukong-cukong kapitalis terus dianugerahkan lesen menggondol hutan dan membina kilang-kilang oleh individu yang sama. Nah sekarang lihat, apa bezanya kita dan Amerika yang enggan menandatangani ‘perjanjian alam sekitar’ itu?
Dalam perkembangan lain, negara pengeluar minyak terus menerus menggali sumber bahan bakar fosil dan menghasilkan berjuta-juta tong minyak setiap hari, disamping menjana komoditi dari produk berasaskan bahan bakar. Perlu diketahui, hampir semua produk dari makanan hingga ke perkakasan yang digunakan hari ini adalah brasaskan bahan bakar petrol. Apabila segala-galanya bergantung kepada bahan bakar, jumlah karbon yang tinggi perlu dilepaskan dalam penghasilan tenaga untuk menjana mesin-mesin di kilang dan jentera semasa proses penghasilan produk.
Terdapat pelbagai alternatif untuk menggantikan tenaga berasaskan bahan api fosil seperti tenaga solar, tenaga angin, geoterma, dan biomass. Penggunaan tenaga hijau ini merupakan satu penyelesaian yang tepat dalam mengakhiri isu pemanasan global . Namun, keberahian negara-negara pengeluar minyak terhadap Petrodolar dilihat hanya akan menggagalkan peralihan kepada tenaga hijau apabila penghasilan petroleum hari ini mencecah 75 juta tong sehari dan dijangka meningkat permintaannya kepada 120 juta tong sehari apabila menjelang tahun 2020.
Dalam kita mahu mengurangkan pelepasan karbon, apakah kita masih perlu bergantung kepada sumber yang mencemarkan udara?
‘Misi-misi ulangan’ dalam beberapa siri perjanjian bukanlah jalan penyelesaian yang sebenar, sebaliknya perlu ada sebuah alternatif yang jelas dan benar-benar efektif. Bukan bermain retorik dengan menggunakan perjanjian itu ini seperti ia sesuatu yang realistik untuk dicapai, walhal yang berdegar-degar mempertahankan itulah yang mengkhianati kembali ‘solusi’ yang dicipta.
Ditulis oleh: Azim Mohammad (Aktivis KUASA)