Kita Ditipu Hidup-hidup Tentang Peranan Menjaga Alam Sekitar.
Satu persoalan yang perlu kita tanyakan pada diri kita akhir-akhir ini adalah, mengapa usaha-usaha seperti melawan perubahan cuaca, peningkatan suhu global, dan masalah alam sekitar seringkali dihalakan peranannya kepada masyarakat?
Kenapa hanya masyarakat yang perlu bersusah payah mengitar semula, mengguna semula, mengawal konsumsi dan menjimatkan tenaga? Malah terdapat segelintir yang sanggup ke tahap yang lebih radikal seperti veganism dan zero-waste. Saban hari, ia sperti menjadi sebuah doktrin yang mencandukan masyarakat dalam mengecapi sebuah utopia, bahawa bumi ini akan pulih dan mencapai kelestariannya hanya dengan melalui usaha bersepadu dari masyarakat.
Namun, dalam menanggapi perkara ini, perlu untuk kita merujuk pada garis masa dalam beberapa abad yang lalu, bahawa antara punca yang paling signifikan dalam peranan yang meyumbang kepada masalah alam sekitar hari ini datangnya dari aktiviti industri (sejak bermulanya revolusi industri), bukan masyarakat per se. Maka, apa yang berlaku hari ini adalah, satu ketidakadilan dalam menjerumuskan masyarakat kepada sebuah penipuan, malah pihak yang bertanggungjawab terhadap degradasi alam sekitar tidak diapa-apakan dan terus menerima laba dari eksploitasi sumber bumi.
Sejak pelaksanaan dasar penswastaan (sistem ekonomi neoliberal), kita di Malaysia ini bukan lagi menyerahkan faktor ekonomi kepada syarikat multinasional & korporasi besar sahaja, kita sebenarnya telah pun menyerahkan kawalan kepada akses sumber bumi negara kepada cukong-cukong yang berselindung disebalik syarikat-syarikat, bagi mengaut dan mengeksploitasi segala hasil demi keuntungan mereka. Tiada kawalan selagi ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Syarikat tenaga seperti TNB boleh membuka empangan hidroelektrik di mana sahaja yang mereka rasa perlu (sudah tentu melalui SOP yang sah dan peruntukan undang-undang yang berat sebelah), walau hakikatnya ia akan membawa konflik alam sekitar dan tidak menguntungkan komuniti setempat pun.
Empangan Hidroelektrik Telom di Pahang misalnya, menenggelamkan seluas 7600 hektar hutan simpan semata-mata bagi menjana 132 Megawatt tenaga elektrik. Sebagai perbandingan, sebuah empangan hidroelektrik yang berdekatan iaitu empangan Ulu Jelai, menghasilkan 372 Megawatt tenaga elektrik untuk keluasan empangan hanya sebanyak 130 hektar sahaja.
Bukan itu sahaja, dikatakan juga, sebanyak 5 buah perkampungan orang asli terpaksa dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek hidroelektrik di Telom ini.
Begitu juga syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit, mereka boleh menebang habis sebanyak mana hutan yang mereka rasa perlu dengan meyakinkan state melalui formula ekonomi dengan hasil berbentuk angka-angka, tanpa mengambil kira kemusnahan biodiversiti hutan.
Para pemaju perumahan boleh menghalau komuniti asal, atau membina rumah di lereng bukit sekalipun, dan tiada siapa yang akan dihukum jika sesuatu malapetaka berlaku atau terdapat hak-hak yang dicabuli.
Malahan, jika ada syarikat petroleum yang mahu menggali minyak di kutub utara sekalipun, mereka dibenarkan berbuat demikian tanpa perlu membayar pampasan terhadap kemusnahan dan pencemaran akibat kesan dari aktiviti mereka.
Untuk rekod, tahun 2015, beberapa negara sekitar asia tenggara teruk dilanda jerebu. Malaysia khususnya, dibeberapa buah negeri bacaan IPU nya melebihi 200, sebuah indikator kualiti udara yang tidak sihat. Dan beberapa sektor, seperti penerbangan juga dikatakan lumpuh operasinya susulan bencana jerebu ini. Ia berpunca dari kebakaran hutan yang terhasil daripada amalan tebang dan bakar bagi tujuan pembukaan ladang di kawasan Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
Namun sehingga kini syarikat pemilik ladang tersebut (ada dakwaan ia milik syarikat IOI, antara syarikat pengeluar hasil sawit terbesar dunia) masih tidak bertanggungjawab terhadap pencemaran yang berlaku.
Menilai kepada sikap pelaku pencemaran yang melayan alam sekitar seperti barang komoditi serta peranan satu hala dari masyarakat dalam memelihara alam sekitar, segala usaha kitar semula, guna semula, penjimatan tenaga, menanam pokok ini dilihat tidak lebih seperti kerja mencuci najis-najis yang ditinggalkan oleh cukong-cukong kapitalis ini. Tiada autoriti yang menghalang mereka ini dari membuang najis merata. Malah akan ada tangan-tangan yang terus menerus menyuap ‘makanan’ ke mulut mereka.
Artikel ditulis oleh:
Muhammad Azim Salleh,
Aktivis Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA