Artikel | Antara pembangunan & alam sekitar, yang mana lebih utama?

Populasi manusia semakin bertambah, itu adalah jelas. Ketika ini, jumlah populasi manusia adalah sebanyak 7.6 bilion dan dijangka akan meningkat kepada 9.9 bilion dalam tahun 2050 iaitu pertambahan sebanyak 33% bagi jumlah sedia ada. Di Malaysia pula, populasinya telah meningkat sebanyak 3 kali ganda iaitu dari 10 juta ke 30 juta orang semenjak tahun 1970. Dan dijangka mencapai 70 juta dalam tahun 2031 sehingga tahun 2100 mengikut analisis Jumlah Kadar Kesuburan di dalam sasaran Dasar Kependudukan Negara.

Peningkatan populasi ini sudah tentu memerlukan penggunaan sumber yang lebih banyak termasuk sumber kehidupan seharian yang penting seperti air, makanan, tenaga, pengangkutan, kesihatan, tempat tinggal, perabot, barangan keperluan seharian, teknologi, pakaian dan sebagainya. Pendek kata, manusia memerlukan pembangunan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dan sudah tentu ia memerlukan eksploitasi alam. Misalnya, produk makanan dominan kita daripada ladang kelapa sawit, produk plastik & keperluan rumah daripada petroleum, ubat-ubatan daripada sumber alam, sumber elektrik daripada empangan yang menenggelamkan kawasan hutan dan arang batu; kemudahan jalan raya daripada pembelahan koridor hutan & wilayah hidupan liar; teknologi dan gajet daripada perlombongan pelbagai mineral serta rumah kita daripada pembukaan tanah-tanah baru dan perlombongan kuari. Ini semua aktiviti yang sudah tentu memberikan impak kepada alam sekitar.

Maka tidak hairanlah kita mendengar saban hari hutan-hutan kita semakin banyak dibalak, di’cuci-mangkuk’ untuk pembukaan ladang, ditarah untuk perumahan, biodiversiti kita semakin banyak hilang dan alam sekitar kita dieksploitasi di sana sini bagi menampung keperluan manusia ini. Kesimpulan mudah, selagi mana manusia terus bertambah, eksploitasi masih berterusan dan masalah alam sekitar akan terus berlaku bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia.

Namun persoalan utama, adakah ini satu lumrah yang perlu kita terima jika ingin terus membangun? Adakah kita terpaksa membayar harga yang besar seperti menanggung bencana tragedi banjir, kemarau, tanah runtuh, kehilangan akses terhadap sumber, kemiskinan dan bermacam masalah akibat kemerosotan alam sekitar demi pembangunan yang diidam-idamkan. Dan sudah tentu, realitinya kebanyakan penanggung kerugian ini ini terdiri daripada masyarakat dominan, kelas pertengahan & golongan marjinal yang tinggal berdekatan dengan kawasan eko-kemusnahan tersebut. Lihat sahaja ratusan ribu mangsa banjir di Pulau Pinang dan Kelantan misalnya akibat kejadian hujan lebat luar biasa akibat perubahan cuaca ekstrem diserta dengan perancangan pembangunan yang tidak teratur. Dalam sisi yang lain, segolongan lain pula menikmati manfaat kemewahan dan keselesaan hidup daripada kemusnahan ini.

Adakah faktor keperluan menampung ekonomi dan populasi manusia yang sebenarnya hanya satu spesis sahaja (homo sapiens) ini kita sewenang-wenangnya boleh mengabaikan hak makhluk yang lain untuk hidup seperti jutaan lagi spesis haiwan, tumbuh-tumbuhan dan dirian landskap alam yang lain untuk terus hidup dan kekal? Kegagalan dalam mengadaptasi & memahami hakikat ini telah menyebabkan kualiti kehidupan kita semakin merosot dan pembangunan kita telah gagal dari segi mensejahterakan kehidupan manusia dan keadilan sejagat.

Ini adalah isu pokok kehidupan yang masih lagi gagal difahami oleh kebanyakan manusia di bumi ini. Kebanyakan daripada kita masih lagi gagal memahami dan mengharmonikan hubungan antara manusia dengan alam. Alam sekitar mempunyai sistem aturan dan kejuruteraannya tersendiri yang memberikan 1,001 manfaat kehidupan tanpa kita sedari.

Misalnya, dirian hutan tropika, kebanyakan daripada kita hanya melihat ia sebagai  dirian ‘yang mati’ dan permandangan semata-mata. Namun di sebalik itu, dirian hutan inilah yang memberikan bekalan oksigen, udara yang bersih, air minuman seharian kita, pengukuh tanah serta pasak bumi; mengawal cuaca dan suhu setempat serta beribu manfaat sehingga ke meja makan kita hasil daripada kejuruteraan alam yang tersusun ini.

Ini tidak termasuklah lagi spesis-spesis hidupan liar yang membuat jasa tanpa kita sedari. Tanpa lebah, burung dan kelawar, banyak pokok-pokok akan mati sekaligus mengurangkan oksigen kita. Tanpa badak, rusa dan babi hutan, sudah tentu tanah hutan tidak akan subur kerana mereka mengkayakan nutrien tanah dan menyebarkan benih-benih baru. Tanpa haiwan pemangsa, sudah tentu berlaku ketidakseimbangan ekosistem yang melenyapkan fungsi-fungsi kejuruteraan alam tersebut. Begitu juga dengan bahagian alam sekitar yang lain, jika tidak difahami dan disantuni, maka jangan hairan mengapa saban hari kita melihat alam seolah-olah ‘murka’ kepada kita dengan menghadiahkan pelbagai bencana yang tidak diduga.

Akibat daripada rasa kebesaran diri (superior) serta kegagalan dalam mengadaptasi & memahami hakikat ini telah menyebabkan kualiti kehidupan kita semakin merosot, berlakunya bencana alam dan pembangunan yang kita canangkan tidak mampu lagi secara hakikinya mensejahterakan kehidupan manusia dan keadilan sejagat; jauh sekali menjamin pengekalan khazanah alam.

Inilah sebenarnya mesej yang selalu dibisingkan oleh NGO, aktivis Alam Sekitar dan pencinta alam. Ia bukan semata-mata menyeru kepada slogan konservatif seperti perlindungan alam secara penuh tanpa diusik tarah, menolak sepenuhnya pembangunan dan  jika boleh mahu bumi ini kekal seperti mana keadaan asalnya. Tetapi apa yang dibantah dan dikritik oleh golongan ini selama ini adalah lebih kepada cara kita, dasar dan perlaksanaan pembangunan yang tidak berhemah serta sikap manusia yang menyebabkan kerugian yang lebih besar lagi bukan sahaja terhadap alam sekitar, juga kepada maslahat ekonomi rakyat sendiri. Persepsi ini sering disalah tanggap oleh orang terutamanya pihak berkuasa yang sering menganggap golongan sebegini anti-pembangunan.

Sebagai salah sebuah pertubuhan alam sekitar, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) sering menyuarakan bantahan dan kritikan terhadap perancangan & kelulusan projek pembangunan yang mampu mendatangkan kemudaratan kepada sosial dan alam sekitar. Ini termasuk terhadap projek pembangunan yang diluluskan di dalam zon yang tidak sesuai seperti zon alam sekitar sensitif dan kawasan hak milik kepentingan umum; projek pembangunan yang tidak dipantau rapi dan tidak mengikut garis panduan (SOP); serta tiadanya konsultansi dan perbincangan yang menyeluruh terutamanya dengan penduduk tempatan lebih-lebih lagi apabila melibatkan kelulusan projek-projek mega di dalam kawasan sensitif alam sekitar. Ini tidak termasuk lagi kelemahan pihak berkuasa dalam mengezon dan mengkategorikan kawasan guna tanah yang mengelirukan misalnya banyak kawasan hutan sensitif (hutan tadahan air, kawasan rayau orang Asli, hutan hidupan liar dan sebagainya) yang sepatut dilindungi, tetapi berada di dalam kategori hutan pengeluaran, yakni boleh dieksploitasi (dibalak, dibuat ladang, dilombong dan). Pertindihan ini sekaligus mencetuskan konflik serta mengakibatkan kepada kejadian bencana alam.

Walaupun telah ada komitmen tinggi oleh pihak kerajaan melalui undang-undang dan polisi alam sekitar yang sedia ada yang boleh dilihat agak jelas dan kukuh ke arah perlindungan alam sekitar seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Perlindungan Hidupan Liar (2010), Rancangan Fizikal Negara (Central Forest Spine) dan sebagainya, namun realiti perlaksanaannya sering kontradiksi dengan apa yang dinyatakan undang-undang terbabit, ditambah pula dengan pengagihan bidangkuasa tanah, hutan, sumber asli dan air kepada Kerajaan Negeri yang menyebabkan perkara ini lebih rumit lagi.  Ini tidak termasuk lagi dengan faktor belakang tadbir yang lain termasuk kecenderungan politik, salahguna kuasa, kronisme dan motif yang lain.

Selain pematuhan terhadap undang-undang dan polisi yang sedia ada, KUASA juga mengutarakan kritikan kepada dasar penjanaan ekonomi yang tidak mampan terutamanya oleh Kerajaan-kerajaan negeri yang sewenang-wenangnya meluluskan banyak projek pembalakan, pembukaan ladang, pembinaan komersial di kawasan sensitif (daripada kawasan kurang sensitif) serta menyahwarta kawasan hutan simpanan kekal untuk dieksploitasi untuk mendapatkan keuntungan yang pantas dan besar; daripada menumpukan kepada usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi lestari, mengusulkan penjanaan ekonomi alternatif tanpa mengharapkan kebergantungan tinggi kepada sumber alam secara langsung, memfokuskan peningkatan hasil terhadap aktiviti ekonomi bukan berasaskan hutan sedia ada, penjimatan sumber dan urus tadbir yang baik. Ini semua mampu dilaksanakan jika ada kesungguhan. Dasar politik juga harus direformasi di mana kelemahan demokrasi alam sekitar  di dalam negara perlu diberikan perhatian serius. Ini termasuk kerahsiaan dalam setiap kelulusan dan perlaksanaan projek, ruang yang terhad kepada pembabitan awam dalam proses kelulusan dan bantahan dan kuasa yang terlalu mutlak diberikan kepada Menteri Besar/Ketua Menteri atau Exco yang menyebabkan keputusan dalam meluluskan satu-satu projek pembangunan tidak dilakukan secara teliti dan berhati-hati.

Kita harus menyokong ke arah pembangunan lestari. Ini termasuk menyeru ke arah reformasi sistem dari segi politik, urus tadbir, perlaksanaan pembangunan, sistem penjanaan ekonomi, prioriti serta perancangan yang benar-benar mengadaptasi daripada kelangsungan alam semulajadi. Motif pembangunan kita pula bukan hanya bersifat ‘self-centered’ yakni mengutamakan kepentingan dan keperluan manusia semata-mata sebaliknya, motif dan matlamat pembangunan haruslah berasaskan keupayaan untuk mengekalkan khazanah alam yang sedia ada sebagai indikator dalam masa yang sama kita mampu lagi membangun dengan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan, perusahaan, perumahan dan produksi yang lain.

Misalnya, dalam pembukaan ladang kelapa sawit yang menjadi antara komoditi utama ekonomi negara, kita mampu membuka ladang yang baru dalam keadaan tiada hutan semulajadi yang dibuka dan ditarah melalui reformasi sistem pengurusan tanah dengan membangunkan tanah-tanah yang terbiar atau telah digunakan (brownfield) serta mengurangkan monopoli pemilikan korporat besar terhadap sumber tanah. Menurut statistik Jabatan Pertanian, pada tahun lepas sahaja terdapat, 119,272.38 hektar tanah pertanian hakmilik individu dan syarikat perusahaan besar yang terbiar dan tidak dibangunkan. Seharusnya tanah terbiar ini dimanfaatkan secara maksima dengan cara diambilmilik semula oleh kerajaan negeri dan diserahkan kepada pengusaha yang komited untuk membangunkan tanah baru daripada memberikan kelulusan kepada pembukaan kawasan hutan semulajadi untuk tujuan yang sama. Perbincangan mengenai pembangunan lestari ini terlalu panjang jika ingin dihuraikan di dalam satu karangan. Namun itulah antara prinsip-prinsipnya. Hakikatnya, kita mampu membangun dalam masa yang sama meminimakan impak kepada alam sekitar yang tercinta.

Di samping reformasi di peringkat dasar dan urustadbir, di peringkat masyarakat pula, perlu ada reformasi dalam mentaliti dan gaya hidup kita. Sikap dan mentaliti penggunaan sumber seperti air, elektrik, makanan serta barang keperluan seharian seharusnya dilihat semula bila mana ia adalah punca utama kepada eksploitasi dan kemusnahan alam sekitar. Mahu tidak mahu, itulah hakikatnya. Asalkan ada permintaan, sudah tentu ada pengeluaran.  Ketamakan dan sikap pentingkan diri dalam sedar tidak sedar menjadi pemandu utama kepada rangkaian permasalahan yang lebih besar lagi.

Kesimpulannya, pembangunan adalah penting dan tidak boleh dielakkan selagi mana manusia tetap ada di muka bumi ini. Namun, dalam masa yang sama, melindungi alam sekitar juga adalah sama penting bagi tujuan yang sama, iaitu memberi nilai kualiti hidup kepada manusia dan makhluk lain. Sebagai ciptaan yang dikurniakan akal fikiran yang sempurna yang melebihi kapasiti hidupan lain serta kemampuan dalam mengawal atur bumi ini, sudah tentu kita wajib mengimbangkan kedua-dua perkara ini. Tanpa penjagaan alam sekitar, matlamat pembangunan akan gagal sama sekali bahkan memundurkan lagi ekonomi serta kualiti hidup.

Malaysia seharusnya menjadikan dasar pembangunan lestari, ”Sustainable Development Goals 2030” yang diratifikasi di bawah PBB sebagai matlamat utama pembangunan negara yang menekankan keadilan ekonomi, hak kepada komuniti tempatan, akses kepada kualiti hidup yang baik serta penjagaan alam sekitar secara holistik. Pembangunan konvensional yang sedia ada yang telah dirintis daripada dasar ekonomi pasaran bebas (neo-liberal kapitalisme), budaya konsumerisme, revolusi agrarian dan revolusi industri barat telah banyak memberikan kemudaratan kepada kita apabila semua produksi hendak dibuat skala besar-besaran dengan melupakan integrasi dengan alam lalu menghilangkan identiti Malaysia yang penduduknya hidup sebati dengan alam suatu ketika dahulu. Sedangkan ketika kita sedang sibuk mengikut jejak langkah pembangunan barat, negara-negara barat pula sudah kembali merencana semula pembangunan mereka ke arah pembangunan hijau.

 

Pengajaran daripada tragedi bencana kemarau dan banjir di Tasik Bukit Merah, Perak harus diambil iktibar. Pembangunan yang berlaku di sekitar rizab tasik dan juga di atas tasik yang asalnya dikatakan demi menjana pembangunan ekonomi rakyat, kini membawa kerugian yang jauh lebih besar daripada keuntungan pelaburannya di mana ketika ini telah mengancam rizab bekalan air bagi 250,000 penduduk Kerian, menyebabkan kualiti pertanian padi daerah Kerian merosot,  kegagalan Tasik dalam menyimpan air yang banyak serta tragedi banjir yang berlaku di bandar-bandar berdekatan.

Kerugian ini telah memakan belanja sehingga setengah bilion termasuk projek terowong Sungai Perak yang memakan belanja RM 300 juta, kerugian 52 juta dalam sektor pertanian daripada peristiwa El Nino, pembaziran RM 50 juta dalam projek ternakan kambing boer nasional dan jutaan yang lain akibat banjir. Tanpa pengurusan pembangunan lestari, kita hanya mengaut kerugian daripada keuntungan.  Ini tidak termasuk lagi tragedi banjir di bandar-bandar besar akibat daripada aktiviti pembalakan yang berslogan “demi pembangunan rakyat”. Apakah pembangunan sebegini yang kita mahukan?

 

 

Peristiwa El Nino yang menyebabkan Tasik Bukit Merah kering dengan pantas ekoran hampir 20-30% kawasan tadahan air tasik telah dipenuhi lumpur daripada aktiviti pembalakan di kawasan hulunya untuk projek ternakan ladang kambing boer nasional, perladangan dan aktiviti pencerobohan yang lain.

 

Artikel oleh: Hafizudin Nasarudin (Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA)

Post Author: Editor KUASA