Isu Pokok Chengal Besar Ditebang: Ini Pandangan NGO Alam Sekitar

KENYATAAN NGO ALAM SEKITAR: ISU LORI MEMBAWA KAYU BALAK BERSAIZ BESAR YANG TULAR DI PELBAGAI MEDIA

Isu lori membawa kayu balak bersaiz besar yang tular dipelbagai media baru-baru ini mendapat perhatian umum serta telah menimbulkan persoalan dan persepsi meragukan.

Jabatan Perhutanan Terengganu mendakwa kayu tersebut telah dikeluarkan dari Kompartmen 80 hutan simpan Sungai Nipah, Kemaman dan adalah difahamkan terdapat kebarangkalian bahawa kerajaan negeri memutuskan supaya kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) tersebut tersebut dinyahwarta untuk tujuan pembangunan.

Peristiwa ini telah mencetus perbincangan yang hangat di media sosial dan boleh dirumuskan bahawa rasa kekhuathiran masyarakat umum adalah berdasarkan 4 faktor utama:

i. Spesies balak yang berkenaan iaitu Chengal (Neobalanocarpus heimii);

ii. Saiz balak tersebut yang sangat besar; dan

iii. Kaedah pengangkutan balak yang disyaki tidak mengikut kaedah sah kerana tidak mempamerkan sebarang papan tanda lesen di belakang lori.

iv. Adakah berlaku proses penyahwartaan terhadap Hutan Simpan Sungai Nipah untuk tujuan pembangunan?

Pokok Chengal dikelaskan di bawah kategori spesies yang hampir terancam (Near Threatened) di Malaysia mengikut Malaysian Plant Red List untuk spesies dipterokarpa di Malaysia. Status antarabangsa mengikut IUCN (Kesatuan Konservasi Sedunia) ialah Endangered ataupun Terancam. Walaubagaimanapun ia tidak dijumpai di kawasan-kawasan perlindungan utama di Malaysia seperti Taman Negara dan Hutan Taman Negeri DiRaja Belum, Perak. Pokok Chengal juga adalah endemik di Semenanjung Malaysia, maknanya tidak dijumpai di mana-mana tempat lain di dunia kecuali di Semenanjung Malaysia sahaja.

Walaubagaimanapun mengikut polisi yang sedia ada, Pokok Chengal tidak termasuk dalam senarai pokok perlindungan fauna atau pokok ibu – yang tidak boleh  ditebang dalam hutan simpan seperti ditetapkan oleh pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Namun, tidak timbul soal pihak Jabatan hendak menebang pokok tersebut sekiranya agensi tersebut mengambil kira keistimewaannya serta keseluruhan ekosistem dan biologi hutan.

Ini kerana, alasan pihak Jabatan yang mendakwa bahawa sesuatu pokok yang sangat tua dan mencapai tempoh matang tidak lagi berfungsi kepada ekosistem persekitaran adalah tidak kukuh sedangkan agensi tersebut boleh pula mengekal dan melindungi sebatang pokok Chengal (Neobalanocarpus heimii) besar di Gunung Mandi Angin, Kompartmen 5,  Hutan Simpan Pasir Raja (HS Pasir Raja) Terengganu. Bahkan lokasi pokok Cengal terbesar ini telah mendapat status kawasan hutan bernilai pemuliharaan tinggi ataupun High Conservation Value Forest (HCVF).

Secara kesimpulannya, wujudnya pokok Cengal bersaiz besar di hutan Sg Nipah itu merupakan satu indikator bahawa hutan tersebut adalah masih dalam keadaan yang amat baik, masih kaya dan mungkin tidak pernah dibalak.

Oleh itu, kami ingin mendesak perkara-perkara berikut:

i. Kerajaan negeri Terengganu supaya tidak menyahwarta Hutan Simpan Nipah yang berkualiti tinggi dan kemudiannya ditebang habis untuk tujuan pembangunan. Lebih munasabah jika hutan tersebut dikekalkan sebagai Hutan Simpanan Kekal.

ii. Kawasan-kawasan hutan di mana pokok-pokok Cengal besar dijumpai harus ditetapkan sebagai kawasan hutan bernilai pemuliharaan tinggi (HCVF), seperti yang dilaksanakan di HSK Pasir Raja. Setakat tahun 2018, terdapat hanya 37 kawasan HCVF di Semenanjung Malaysia yang jumlah keluasannya adalah 2,670.49 ha berbanding kawasan HSK yang jumlah keluasannya adalah 4.8 juta ha. Ini bermakna kawasan HCVF hanya merangkumi 0.05% daripada keluasan HSK di Semenanjung Malaysia.

iii. Pokok Chengal bersaiz besar harus diberikan status warisan kebangsaan serta habitatnya dilindungi daripada pembalakan dan pembukaan hutan. Pembalakan dan penggunaan kayu Chengal harus dikawal dengan ketat supaya ia hanya boleh digunakan untuk industri dan tujuan tertentu sahaja misalnya untuk industri seni kayu tradisional.

iv. Perlu ada ketetapan saiz maksimum pokok Chengal yang boleh ditebang. Pada ketika ini cuma ada saiz tebangan minima iaitu 60 cm diameter paras dada (dbh) dan tiada had maksimum. Adalah disyorkan agar saiz maksimum ditetapkan sehingga 2 meter dbh sahaja, dengan itu hanya pokok Cengal bersaiz 60-200 cm dbh sahaja yang boleh ditebang. Hakikatnya, Pokok Cengal yang matang dan bersaiz besar juga berfungsi sebagai pokok ibu untuk mengekalkan sumber biji benih untuk pertumbuhan baru.

v. Pengangkutan balak harus mengikut Garis Panduan Pemuatan dan Pengangkutan Kayu Balak oleh JPSM. Garis panduan ini menetapkan bahawa papan tanda lesen pengusahahasilan hutan hendaklah dipasang/dilekatkan pada permukaan kayu balak terpanjang di bahagian belakang kenderaan pengangkut. Jika tidak ditunjukkan, maka tidak hairan orang awam boleh mengesyaki ia daripada pembalakan haram.

vi. Kerajaan Negeri Terengganu pula disaran supaya tidak terlalu mengharap kepada hasil daripada pengusahasilan hutan terutama aktiviti pembalakan dan perlombongan (dalam HSK) kerana telah menerima royalti petroleum yang begitu banyak daripada Kerajaan Persekutuan.

Sekian.

Hafizudin Nasarudin,

Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)

Tel: 0109651315

Emel: editor@kuasaperak.org

Post Author: Editor KUASA