Laporan Penuh Isu Penambakan Pantai Warisan Teluk Muroh

LAPORAN PENUH ISU PENAMBAKAN PANTAI WARISAN TELUK MUROH YANG BAKAL MEMBERIKAN IMPAK YANG BESAR KEPADA EKOSISTEM MARIN DAN MENJEJASKAN SUMBER PENDAPATAN NELAYAN TEMPATAN.

Pantai Warisan Teluk Muroh merupakan salah satu kawasan penempatan nelayan dan pendaratan bot nelayan yang penting di Daerah Manjung; yang telah wujud semenjak lebih daripada 100 tahun yang lalu. Sehingga hari ini, dianggarkan sejumlah 140 nelayan telah mendiami kawasan ini dan telah menjalankan pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi tempatan termasuk aktiviti menangkap ikan dan sumber laut yang lain semenjak 3 generasi yang lalu.

Lokasi pantai tersebut terletak berhadapan dengan Marina Islands, bersebelahan dengan Pantai Teluk Batik dan tidak jauh daripada Pengkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM). Pantai ini telah menjadi kawasan yang penting buat sumber makanan rakyat tempatan khususnya penduduk di Daerah Manjung. Ia telah banyak memberikan peluang pekerjaan, menyediakan sumber makanan laut yang telah mencecah jutaan ringgit semenjak kewujudan penempatan nelayan ini sejak dahulu lagi. Antara spesis-spesis biodiversiti marin penting yang terdapat di sini termasuklah spesis Ketam, Kerang, Kepah, Remis, Ikan Pari, Ikan Senangin dan spesis-spesis marin yang lain.

Walaupun tidak digazetkan sebagai Pantai Peranginan/Pelancongan, namun pantai ini telah menerima kunjungan pelancong luar dengan begitu ramai lagi terutama bagi mereka yang ingin merasa sendiri pengalaman mengutip Kepah dan Remis, serta tempat untuk bermandi-manda. Kehadiran pelancong ini juga sekaligus merancakkan aktiviti perniagaan kecil-kecilan dalam kalangan penduduk tempatan seperti pembukaan kedai-kedai makan. Ini adalah satu-satunya perkampungan nelayan yang tinggal berdekatan dengan Bandar Lumut yang mampu menjadi tarikan warisan bagi kawasan tersebut.

Menurut Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2020, kawasan tersebut telah dizonkan sebagai kawasan kediaman.

LATARBELAKANG ISU:

Isu ini bermula dengan tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, melalui Pentadbir Tanah Daerahnya yang mengeluarkan notis untuk mengarahkan penduduk setinggan Kampung Teluk Muroh untuk mengosongkan premis mereka serta merta dalam masa 27 hari di bawah peruntungan Kanun Tanah Negara 1965, Seksyen 425(1) kerana mereka telah membina penempatan haram di atas tanah rizab kerajaan. Di sebalik arahan ini, kedengaran ura-ura tentang cadangan untuk menambak kawasan pantai ini yang telah kedengaran sejak beberapa tahun yang lalu. Pada asalnya, projek tambakan ini hanya melibatkan lapangan kawasan penempatan setinggan yang memanjang daripada bahagian kiri Jambatan Marina Island, memanjang sehingga 200 meter ke tengah kawasan persisiran pantai, dan melebar sebanyak 150 meter daripada kawasan pesisiran pantai ke tengah laut. Namun baru-baru ini penduduk kampung seakan terperanjat dan mendapati sebenarnya saiz tambakan ini telah dibesarkan sebanyak dua kali ganda tanpa melibatkan konsultansi dan persetujuan mereka sehinggakan ia akan menutup hampir keseluruhan kawasan pendaratan bot nelayan. Apa yang lebih memeranjatkan, kini projek tambakan juga sudah dimulakan di sebelah kawasan Marina Cove Resort bilamana kelihatan jentera-jentera pengorek pasir sudah mula beroperasi di kawasan terbabit.

Setelah membuat penyelidikan dan pertanyaan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung dan mengunjungi sendiri pejabat Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS); kami mendapati  di dalam pelan perancangan tambakan pantai ini saiz penambakan telah bertambah lebih besar lagi daripada sebelum ini. Menurut mereka kerja-kerja penambakan ini dilakukan bagi membangunkan semula kawasan penempatan nelayan Teluk Muroh dan kawasan alternatif yang mereka cadangkan adalah kawasan yang sempit di sebelah kiri hujung pantai, bersebelahan dengan Hotel Marina Cove Resort dan Marina Waterpark

Walaupun dikatakan projek penambakan ini adalah untuk membina semula penempatan baharu buat nelayan, namun melalui pertanyaan kami juga projek penambakan yang dianggarkan bernilai RM 33 juta ini bakal memberikan ruang kepada pembinaan rumah kondominium 13 tingkat sebanyak 3 blok. Menurut penduduk kampung, maklumat ini telah dibentangkan sendiri oleh Pegawai Daerah sewaktu perjumpaan bersama penduduk setinggan Kampung Teluk Muroh yang telah diadakan pada 2 Mac 2016. Dikatakan bahawa terdapat beberapa keluarga nelayan yang akan mendapat pampasan daripada projek ini termasuk ada yang ditawarkan diskaun untuk mendiami rumah tersebut dengan harga RM 50,000. Namun mengikut tinjauan dan perjumpaan kami bersama penduduk kampung setinggan yang lain, terdapat beberapa kekeliruan di mana hanya sebahagian daripada mereka sahaja yang menerima pampasan, sebahagian yang lain tidak menerimanya.

Pihak nelayan tempatan juga merasa khuathir kerana penambakan ini akan terus melenyapkan kawasan mereka mendaratkan bot dan secara tidak langsung menutup pintu rezeki mereka. Kawasan alternatif yang dicadangkan itu pula amatlah sempit dan sangat tidak bersesuaian. Bahkan kawasan tersebut masih mempunyai penduduk yang sah; yang memiliki geran hakmilik tanah. Nelayan yang meduduki tanah di situ secara sah juga turut terjejas dengan projek penambakan ini terutamanya apabila kawasan pendaratan bot mereka ditambak.

Justeru, para penduduk mempertikaikan tentang kekeliruan projek ini dan mempertikaikan ketelusan proses perlaksanaan projek ini. Pertamanya, projek tambakan yang asal tiba-tiba berubah menjadi lebih besar tanpa persetujuan dan konsultansi dengan penduduk tempatan. Yang kedua, walaupun pihak berkuasa memaklumkan telah mendapat persetujuan daripada pihak nelayan dan telah membuat pertemuan bersama penduduk tempatan, namun isunya adalah perbincangan ini tidak melibatkan keseluruhan komuniti (hanya jemputan kepada penduduk setinggan, bukan nelayan yang lain) dan persetujuan hanya dibuat dengan wakil nelayan (yang sebenarnya tidak memaklumkan perkara yang sebenar kepada penduduk kampung atau nelayan yang lain).

Justeru, adalah amat penting bagi pihak Kerajaan Negeri untuk menghentikan projek ini buat sementara, membuat perbincangan bersama komuniti secara menyeluruh dan menilai kembali perlaksanaan projek supaya ia tidak memberikan impak dan mudarat yang besar lebih-lebih lagi kepada penduduk tempatan dan ekosistem marin.

RISIKO DAN IMPAK DARIPADA PROJEK PENAMBAKAN:

Projek penambakan pantai ini bakal memberikan risiko dan impak yang besar kepada sosioekonomi tempatan, ekosistem marin dan nilai estetika. Antaranya adalah:

1) Nelayan Kampung Teluk Muroh bakal terjejas akibat kehilangan kawasan pendaratan bot sekaligus menghalang mereka untuk turun ke laut mencari rezeki. Sebelum ini pun, nelayan tempatan telah terjejas akibat daripada projek pembinaan pulau Marina Island yang dulunya menjadi kawasan lubuk mencari ketam serta mereka juga terpaksa bergerak lebih jauh ke tengah laut akibat pembinaan Jeti Kilang Besi, Vale di kawasan perairan Teluk Rubiah yang menutup kawasan pencarian sumber laut mereka.

2) Spesis-spesis bercengkerang (crustacea) seperti Kerang, Kepah, Remis dan Ketam di sepanjang kawasan Pantai Warisan Teluk Muroh bakal menghadapi ancaman kemusnahan yang besar.

3) Penambakan ini bakal sedikit sebanyak mengganggu aliran ombak (ocean current/hydrodinamics) terutamanya di sekeliling kawasan Marina Island dan Teluk Muroh.

4) Harga tanah lot milik bumiputra yang sedia ada bakal jatuh dengan mendadak.

5) Nilai estetika Pantai Warisan Teluk Muroh bakal menjadi kenangan sejarah dan tidak dapat dinikmati lagi oleh generasi anak-cucu yang berkeinginan untuk beriadah, bersantai dan merasai sendiri pengalaman mencari Kepah, Kerang, Remis dan Anak Ketam.

6) Jika kita biasa berkunjung ke beberapa lokasi projek tambak laut yang kini sudah siap dilaksanakan di beberapa negeri, kita akan dapati bahawa kebanyakan kawasan pesisiran pantai kini menjadi harta milik persendirian, dan orang awam tidak ada lagi hak akses ke pantai di situ, sekaligus mengurangkan lagi daya tarikan Daerah Manjung sebagai kawasan eko-pelancongan.

TUNTUTAN DAN JUSTIFIKASI KAMI:

1) Menuntut supaya Kerajaan Negeri Perak (yang berkuasa dalam hal-ehwal tanah negeri) mengambil perhatian yang serius dalam isu ini dengan menyelamatkan Pantai Warisan Teluk Muroh, Lumut dengan mengekalkannya sebagai kawasan pantai semulajadi, penempatan nelayan dan kawasan pendaratan bot nelayan.

2) Menuntut supaya Kerajaan Negeri Perak mengarahkan projek penambakan yang terkini dihentikan serta merta dan kembali semula kepada pelan asal. Ini bagi memberikan ruang yang cukup kepada kawasan pendaratan bot dan meminimumkan impak yang buruk kepada ekosistem marin.

3) Menjalankan semula perbincangan dengan penduduk kampung dan nelayan tempatan tentang keputusan yang terbaik bagi mendapatkan persetujuan secara “win-win situation” supaya tidak terjadi masalah dan konflik antara penduduk tempatan dan pihak berkuasa.

4) Mengutamakan kepentingan penduduk tempatan terutamanya nelayan Kampung Teluk Muroh berbanding dengan projek-projek pembangunan yang baru dengan mencadangkan projek ini dibina di tempat lain yang lebih sesuai daripada membinanya di kawasan sensitif yang kaya dengan kepelbagaian spesis marin dan sumber makanan. Nelayan ini telah bergenerasi mendiami kawasan ini, seharusnya mereka ini dikekalkan dan dijaga oleh pihak kerajaan kerana kewujudan mereka memberikan banyak sumbangan kepada sosioekonomi negeri terutamanya dan memberikan sumber-sumber makanan laut kepada rakyat tempatan. Diharapkan pihak kerajaan Negeri dapat mengiktiraf komuniti nelayan di sini, menjaga sumber mereka dan memberikan mereka kemudahan dan bantuan yang secukupnya bagi mereka menjalankan aktiviti seharian, sekaligus menyumbang kepada sekuriti makanan negeri.

5) Memberikan kemudahan dan perlindungan kepada nelayan tempatan bagi mengekalkan aktiviti mereka untuk terus dijalankan serta menjadikan Pantai Warisan Teluk Muroh sebagai kawasan tarikan bagi para pencinta alam.

KESIMPULAN:

Secara kesimpulannya, kita tidak menghalang apa-apa juga projek pembangunan yang ingin dicadangkan jika ia untuk kebaikan rakyat. Namun, segala pembangunan itu biarlah dapat memberikan manfaat dan tidak memudaratkan sumber-sumber tempatan terutamanya kepelbagaian spesis laut. Yang lebih penting, biarlah cadangan projek ini dibincangkan secara konsensus dan melibatkan persetujuan semua secara kaedah “win-win situation”. Kita amat menyokong segala usaha Kerajaan Negeri untuk membangunkan kawasan ini, namun kami harapkan secara prinsipnya biarlah ia benar-benar membawa manfaat dan melangsungkan kehidupan penduduk setempat secara lestari sehingga ke anak cucu.

Disediakan oleh:

Hafizudin Nasarudin

*lampiran tambahan:

   

Post Author: Editor KUASA