Syarikat FELDA/FGV Malaysia langgar polisi perladangan kelapa sawit lestari – Greenpeace

 

 

 

 

 

FELDA / FELDA GLOBAL VENTURES (FGV)

*Artikel diterjemahkan semula daripada Laporan Greenpeace International, UK

Kumpulan: FELDA

HQ: Malaysia

KEAHLIAN RSPO: Ahli untuk FELDA dan FGV

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) ditubuhkan pada tahun 1965 sebagai sebahagian dari program kerajaan dalam membantu dan menguruskan pekebun-pekebun kecil di Malaysia. Mengikut penyenaraiannya di laman sesawang RSPO (Roundtable on Sustainable Palm Oil), FELDA merupakan pengeluar minyak sawit terbesar di Malaysia.

Pada tahun 2007, FELDA telah menubuhkan cabang komersialnya, iaitu FELDA Global Ventures (FGV). Pada tahun 2012, FGV telah disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia. Kini, FELDA memiliki kepentingan (saham) ketiga dalam FGV (walaupun terdapat desas-desus tentang media kewangan yang akan dibongkar). FGV didakwa menjadi pengeluar minyak sawit terbesar di dunia dan kedua terbesar di Malaysia bagi industri penapisan minyak sawit.

FELDA telah menjadi ahli RSPO sejak tahun 2004 lagi, kemudian FGV disenarai keahliannya pada Disember 2016.

Apakah masalah berkenaan minyak sawit FELDA?

Pencabulan Undang-undang: Pelanggaran undang-undang buruh Malaysia dan pembangunan kawasan tanah gambut di Indonesia selepas pelaksanaan moratorium (penangguhan).

Penebangan Hutan: Aktiviti pembersihan hutan yang berterusan sehingga April 2017.

Pembangunan Kawasan Tanah Gambut: Pembangunan kawasan yang telah dipetakan sebagai kawasan tanah gambut.

Eksploitasi: Masalah sosial dan buruh yang membengkak, wujud ciri-ciri perhambaan moden (modern slavery).

Hubungan Pasaran 

Menurut data syarikat, Cargill, GAR, IOI, Musim Mas, dan Wilmar antara syarikat yang mendapatkan sumber minyak sawit dihasilkan oleh FELDA/FGV.

Pihak Apical dan Olam pula mengesahkan bahawa mereka telah menghentikan pengambilan sumber dari FELDA/FGV akibat dari penebangan hutan yang telah di dokumentasikan dalam buletin ini.

AAK dan Astra Agro Lestari pula enggan mengesahkan atau menafikan sebarang hubungan perdagangan dengan FELDA/FGV.

Penebangan Hutan Tanah Gambut Secara Besar-Besaran (dan Secara Haram) di Kalimantan.

Kebakaran hutan yang sebahagian besarnya dikaitkan dengan pembangunan perladangan, telah memberi kesan secara tidak seimbang pada kawasan tanah gambut di Indonesia semasa krisis jerebu pada 2015. Pada persidangan iklim di Paris pada Disember 2015, presiden Joko Widodo mengumumkan sebuah moratorium terhadap pembangunan perladangan di kawasan tanah gambut. Dan pada tahun berikutnya, Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan membuat semakan semula terhadap peraturan tanah gambut negara untuk meletakkan moratorium pada pembangunan perladangan, termasuk ke dalam konsesi sedia ada.

Pada April 2016, Aidenvironment menerbitkan analisis yang menunjukkan bahawa FGV telah menebang sebanyak 880 hektar kawasan tanah gambut yang mempunyai Nilai Konservasi Tinggi (HCV) yang dikenal pasti di dua konsesi di Kalimantan Barat: PT Citra Niaga Perkasa (PT CNP) dan PT Temila Agro Abadi (PT TAA).

Pada Ogos 2016, FGV telah mengeluarkan polisi kemampanan yang menyatakan bahawa,

‘Kumpulan ini berikrar untuk tidak menukar kawasan HCV, tanah gambut dan/atau kawasan Saham Karbon Tinggi (HCS) dan melaksanakan Amalan Pengurusan Terbaik untuk tanah ladang gambut sedia ada.’

Namun analisis rasmi peta litupan tanah serta imej satelit yang dikeluarkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia menunjukkan bahawa FGV masih terus menebang hutan dan membangunkan tanah gambut di PT TAA, walaupun moratorium terhadap tanah gambut dan polisi baharu dikuatkuasakan.

Dalam tempoh antara 31 Disember 2015 hingga 22 April 2017, seluas 1880 hektar hutan dan tanah gambut telah dibangunkan di PT TAA. Lebih separuh dari penebangan hutan ini (1035 hektar) berlaku selepas FGV mengeluarkan polisinya, termasuk 65 hektar yang telah dibangunkan antara 22 April 2017 hingga 10 Jun 2017.

*Analisa pemetaan penebangan hutan di PT TAA, 2015-2017.

Pihak FGV tidak menafikan bertanggungjawab terhadap aktiviti penebangan hutan di PT TAA. Malah pada mulanya, mereka mendakwa telah mematuhi dasar kemampanan, dengan alasan mereka ‘memperoleh seluruh kelulusan yang diperlukan dari pihak berkuasa yang berkaitan di Indonesia’ dan ‘mematuhi prosedur penanaman baru RSPO pada 2010’*Analisa pemetaan penebangan hutan di PT TAA, 2015-2017.

Kemudian, syarikat tersebut telah memetik sebuah penilaian bebas yang mengatakan ‘tiada penebangan hutan semulajadi’ kerana ‘hutan semulajadi secara keseluruhannya telah dimusnahkan akibat kebakaran hutan yang besar pada 1980 dan 1997, selain aktiviti pembalakan yang berterusan oleh syarikat pembalak dan komuniti tempatan’.

Rakaman drone yang diperolehi Aidenvironment pada April 2017 menunjukkan kawasan hutan yang telah ditebang diselangi oleh saliran perparitan dan dikelilingi oleh hutan.

*Rakaman drone konsesi PT TAA, April 2017 © Aidenvironment.

Yang menariknya, penilaian alam sekitar bagi PT TAA diselia oleh Nyoto Santoso dari Universiti Pertanian Bogor (Institut Pertanian Bogor- IPB). Dua bulan yang lalu, RSPO telah mengeluarkan perintah pemberhentian aktiviti keatas 7 konsesi atas dasar penilaian substandard HCV yang dijalankan oleh Santoso. NGO kemudian membuat aduan kepada Rangkaian Sumber HCV, badan yang memberi lesen kepada para penilai, memohon agar lesen Santoso disemak semula.

Analisa awal Greenpeace mencadangkan isu kualiti yang sama terhadap ringkasan penilaian alam sekitar dan sosial oleh Santoso.

Pelanggaran Undang-Undang Buruh Yang Meluas Dan Perhambaan Moden.

Pada Julai 2015, pihak Wall Street Journal telah menerbitkan siasatan mendalam terhadap konsesi FGV di Malaysia. Mereka melaporkan dakwaan dari pekerja asing bahawa mereka tidak dibayar gaji bagi tempoh yang lama, dan pasport mereka juga telah dirampas. Akhbar tersebut juga mendakwa bahawa pekerja telah menggunakan bahan kimia berbahaya, termasuk racun rumpai yang bertoksik.

Bulan berikutnya, Panel Aduan RSPO mengarahkan Perkhidmatan Akreditasi Antarabangsa (ASI) untuk mengaudit tiga kilang milik FGV. ASI telah mengenalpasti isu utama dimana, ia digambarkan sebagai ‘kemungkinan yang menyebabkan kegagalan asas untuk mencapai objektif’ RSPO, menyebabkan penggantungan lesen FGV selama 6 bulan.

RSPO kemudiannya menggantung lesen bagi kilang FGV Pasoh pada Mac 2016. Pihak FGV pada mulanya berjanji untuk mengeluarkan sebuah pelan tindakan untuk menyelesaikan ketidakpatuhannya, sebaliknya mereka menarik kesemua 58 lesen RSPO bagi kilang minyak sawit di Malaysia. Lebih setahun kemudian, mereka masih belum mendapatkan semula sijil tersebut.

Adakah FELDA Memberi Pengaruh Buruk Terhadap RSPO?

 Disebalik aktiviti penebangan hutan dan eksploitasi yang sistematik berlaku dalam konsesi milik FELDA, terdapat wakil mereka yang memegang jawatan berpengaruh dalam RSPO. Antara jawatan yang dipegang:

  • Lembaga Gabenor
  • Jawatankuasa Tetap Perdagangan dan Kebolehkesanan
  • Pasuka Petugas Penyemakan Rangkaian Pensijilan Rantaian Bekalan
  • Pasukan Petugas Pampasan
  • Kumpulan Pekerja Pekebun Kecil

Ini menimbulkan persoalan yang serius terhadap tadbir urus RSPO, dimana sebuah syarikat yang gagal mematuhi peraturan RSPO juga mempunyai jawatan bagi memastikan penguatkuasaan peraturan, dan ini mewujudkan potensi konflik kepentingan (Conflict of Interest).

Di samping itu, terdapat beberapa wakil dari FELDA yang berada dalam pasukan petugas bagi semakan Prinsip dan Kriteria (P&C) RSPO, dimana mereka merupakan ahli sah dan alternatif bagi Pekebun Kecil dan petani Malaysia. Sekali lagi, ini merupakan konflik kepentingan yang jelas apabila kumpulan yang berkali-kali mencabul P&C RSPO mempunyai peranan yang penting dalam semakan dan penambahbaikannya.

Dalam perkembangan lain, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan siasatan terhadap transaksi antara anak syarikat FGV dan syarikat dari Afghanistan. Pihak FGV juga kemudiannya menjalankan siasatan tersendiri; dimana pada Jun 2017, pihak FGV telah menggantung jawatan bagi Ketua Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangannya. Pengambil alihan awal 37% saham dalam Eagle High Plantation pula mendapat kritikan berterusan dari para pelabur dan politisyen, di mana mereka menyifatkan perjanjian tersebut sebagai ‘peningkatan harga yang terlalu tinggi’ (paywall) dan bermotifkan politik.

Eagle High adalah sebahagian dari Kumpulan Rajawali di mana CEO nya, Peter Sondakh, merupakan kenalan rapat perdana menteri Malaysia, Najib Razak.

 

Maklumbalas Syarikat

Terlebih dahulu, pihak Greenpeace telah menghubungi FGV seblum menerbitkan buletin ini bagi mengesahkan penemuan tentang penebangan hutan dan beberapa aktiviti lain.

Penyalahgunaan dan Eksploitasi Buruh

Dalam sebuah email kepada Greenpeace bertarikh 13 Julai 2017, syarikat tersebut mengesahkan bahawa mereka ‘secara sukarela menarik diri dari pensijilan RSPO bagi tujuan menangani isu pekerja dan sosial dalam rantaian bekalannya’. Mereka telah menyediakan senarai tindakan yang diambil, termasuk melantik The Forest Trust (TFT), untuk membangunkan pelan tindakan. Mereka juga mengesahkan bahawa tiada kilang dari keseluruhan 58 kilang yang dilesenkan semula.

Pembangunan Hutan dan Pembersihan Kawasan Tanah Gambut di PT TAA

 Pihak FGV mengesahkan bahawa dasar yang digunapakai pada Ogos 2016 ‘termasuk untuk tidak menukar sebarang kawasan tanah gambut secara bukan material bagi kedalaman dan saiznya’.

Mereka juga menyatakan bahawa aktiviti pembersihan kawasan tanah gambut cetek (kurang dari 3m) oleh FGV sejak dari tarikh dasar dibuat, telah mengikut Prosedur Penanaman Baru (RSPO), 2010 dan Amalan Pengurusan Terbaik RSPO berkaitan pengurusan tanah gambut.

Pihak FGV enggan untuk menyediakan salinan bagi penilaian bebas PT TAA, atas dasar ia adalah ‘untuk kegunaan dalaman FGV’. Walaubagaimanapun, mereka sekali lagi mendakwa bahawa tanah milik FGV di Kalimantan bukanlah kawasan hutan semulajadi kerana sebelum mereka memperoleh tanah tersebut pada 2013, berlaku aktiviti pembalakan dan kebakaran hutan pada tahun 1980 dan 1997. Tambahan pula, tiada aktiviti manusia yang signifikan dalam tempoh 10 tahun terakhir sebelum tanah tersebut dibangunkan.

Audit Substandard Alam Sekitar

Pihak FGV enggan untuk melakukan semula sebarang penilaian alam sekitar yang telah dijalankan oleh Nyoto Santoso atas alasan mereka telahpun ‘diterima dan diiktiraf oleh RSPO’.

Pengaruh Negatif Dalam RSPO

 FGV menyatakan bahawa mereka berharap untuk ‘mengekalkan seluruh jawatan yang dipegang dalam RSPO, bagi menunjukkan komitmen dalam kelestarian industri minyak sawit dan menyediakan kepakaran kepada para petani apabila diperlukan’.

Apa Yang Perlu Dilakukan Pihak FELDA Bagi Mematuhi NDPE

FELDA perlu mengumumkan sebuah moratorium segera terhadap pembangunan ladang, bagi keseluruhan operasinya. Kumpulan tersebut perlu menjalankan penilaian HCS (menggunakan metodologi Pendekatan HCS) bagi kesemua konsesi dimana pembangunan selanjutnya dirancang, serta melakukan semula penilaian alam sekitar yang dijalankan oleh Nyoto Santoso atau kakitangan IPB (Universiti Pertanian Bogor).

FELDA juga perlu menyemak semula dasar kemampanan mereka supaya ia selari dengan piawaian antarabangsa, selain mempunyai komitmen yang jelas bagi melindungi seluruh hutan semulajadi (sebagaimana yang ditakrifkan oleh pendekatan HCS). Kesemua hutan dan kawasan tanah gambut yang dibangunkan selepas Disember 2015 juga perlu dipulihkan.

Pihak FELDA juga perlu melakukan reformasi yang tuntas terhadap amalan buruh mereka. Mereka seharusnya menggunapakai Prinsip Buruh Bebas dan Adil dalam Penghasilan Minyak Sawit: Prinsip dan Panduan Pelaksanaan, serta mewujudkan mekanisma timbang cara yang wibawa selaras dengan Prinsip Panduan PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.

Akhir sekali, pihak FELDA perlu menarik diri dengan segera dari semua jawatan yang disandang di dalam RSPO, termasuk pasukan petugas P&C. Jawatan di dalam RSPO hanya boleh dipohon semula setelah pihak FELDA melesenkan semula kesemua 58 kilang miliknya di Malaysia, memulihkan semula hutan dan kawasan tanah gambut yang dibangunkan sejak Dis 2015, serta mendapatkan pengesahan pematuhan dari pihak ketiga yang bebas, bagi dasar pelanggan NDPE untuk keseluruhan operasi mereka.

Apakah Tindakan Yang Perlu Dilakukan Bagi Syarikat Yang Mendapatkan Bekalan Dari FELDA/FGV?

Sepanjang tahun 2013 dan 2014, majoriti para pedagang komoditi dan syarikat barangan pengguna utama mengguna pakai dasar ‘tiada penebangan hutan, tiada tanah gambut, tiada eksploitasi (NDPE)’. Walau setiap dasar mempunyai ungkapan yang berbeza, ianya secara umum menyatakan bahawa dasar tersebut dikuatkuasakan secara serta merta.

Sesetengah syarikat seperti Wilmar, menyertakan tarikh akhir yang jelas ke dalam dasar mereka:

‘Kami menjangkakan pembekal akan mematuhi kesemua dasar yang diperuntukkan menjelang 31 Disember 2015, sebagai tambahan kepada pemindahan segera aktiviti pembangunan dari kawasan tanah gambut, HCS, dan HCV setelah pengumuman dasar ini’.

Memandangkan pihak FGV masih lagi meneruskan aktviti penebangan hutan dan tanah gambut pada tahun 2017 (3 tahun selepas dasar NDPE diterima secara meluas), seluruh syarikat harus menghentikan aktiviti perdagangan dengan syarikat FELDA/FGV serta merta.

Aktiviti perdagangan dengan pihak FELDA/FGV harus dihentikan sehingga kumpulan tersebut; mengguna pakai dasar NDPE yang munasabah, melesenkan kembali kesemua 58 kilang, dan memulihkan kesemua tanah gambut dan hutan semulajadi yang dimusnahkan di konsesinya di Kalimantan. Kumpulan tersebut juga perlu mendapatkan pengesahan dari pihak ketiga yang bebas bagi pematuhan penuh dasar pelanggan NDPE terhadap seluruh operasinya.

Post Author: Editor KUASA