KENYATAAN RASMI NGO KUASA BERHUBUNG ISU PEMANSUHAN HUTAN SIMPANAN KEKAL (HSK) DI PERAK

KENYATAAN RASMI KUASA BERHUBUNG ISU PEMANSUHAN HUTAN SIMPANAN KEKAL (HSK) DI PERAK

Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA ingin tampil membuat kenyataan balas terhadap beberapa isu yang sedang hangat ketika ini iaitu isu pemansuhan Hutan SImpanan Kekal (HSK) di Negeri Perak yang kami bangkitkan pada 11 April yang lalu serta tuduhan kononnya kami bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkenaan isu ini.

Pertama sekali, kami ingin menjawab tuduhan bahawasanya kami tidak ada mempunyai sebarang kaitan dengan Parti DAP atau mana-mana parti politik. Isu ini telah dibangkitkan oleh kami sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak langsung. Tuduhan yang tidak ditampilkan dengan bukti ini sekaligus telah menjejaskan reputasi kami.

Namun kami tidak menolak hakikat bahawa apabila kami mengeluarkan pandangan sudah tentu terdapat pihak yang boleh mengambil kesempatan dan menggunakan isu ini untuk kepentingan tertentu.

Apa yang kami lontarkan adalah penilaian kami terhadap prestasi Menteri Besar Perak yang dari segi urustadbirnya berperanan sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri yang mempunyai kuasa dalam pengurusan tanah, hutan, air dan sumber asli negeri – serta berkuasa meluluskan projek & mewartakan/menyahwartakan tanah negeri.

Ini adalah pemerhatian kami selaku golongan environmentalis yang telah terlibat dalam isu-isu alam sekitar di negeri ini sejak 6 tahun yang lalu serta penglibatan kami bersama komuniti orang Asli, komuniti nelayan pesisiran pantai dan Hutan Paya Bakau, komuniti petani dan warga desa yang tinggal berhampiran kawasan hutan. KUASA sendiri adalah NGO yang lahir dan berdaftar di Negeri Perak (Daerah Manjung) pada tahun 2012.

KRONOLOGI ISU PEMANSUHAN HUTAN SIMPANAN KEKAL DI PERAK SEMENJAK 2009

Untuk pengetahuan, isu ini bukanlah isu baru yang kononnya tiba-tiba dibangkitkan menjelang musim pilihanraya dengan motif politik partisan. Kami telah bersuara tentang isu pemansuhan HSK ini semenjak bertahun-tahun yang lalu. Namun tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dan isu kami disenyapkan.

Kali ini, isu ini dibangkitkan pada hari yang sama kami mendapatkan dokumen Warta Kerajaan Negeri yang terkini pada tarikh 11 April 2018 (Khamis) dari Unit Percetakan Bangunan SUK Negeri Perak – yang kebetulan berdekatan dengan bulan Pilihanraya.

KUASA memberikan maklumat dan bekerjasama erat dengan Sahabat Alam Malaysia (SAM) semenjak bertahun yang lalu untuk menjadi NGO tempatan yang aktif dalam menumpukan isu hutan & biodiversiti di negeri Perak. KUASA juga kini turut bekerjasama dengan Kaukus Alam Sekitar & Anti Rasuah (EPACC) di bawah SPRM bagi memantau perlaksanaan pengurusan hutan & aktiviti rasuah di dalam hutan.

Antara pendekatan kami dalam mencari dan mendedahkan maklumat alam sekitar kepada rakyat termasuklah dengan sering mendapatkan dokumen warta dari SUK Negeri untuk mengetahui status terkini penyahwartaan & pewartaan HSK di Negeri Perak serta hal berkaitan pengurusan tanah.

Dokumen warta ini adalah dokumen bebas yang boleh diakses dan didapatkan oleh orang awam melalui cara pembelian sejumlah RM 2 bagi sebuah buku.

Mengikut rekod warta-warta kerajaan negeri yang telah kami kumpul (terdapat beberapa warta yang kami tiada), terdapat lebih kurang 60 buah HSK dengan 32 kawasan Hutan Simpan yang berbeza yang telah dinyahwarta/dimansuhkan dengan jumlah pemansuhan sebanyak 23,283.79 hektar semenjak tahun 2009.

Lalu sepanjang tempoh tersebut, terdapat beberapa kes penyahwartaan/pemansuhan HSK yang kami telah pertikai dan bangkitkan di media serta melalui surat maklum balas yang telah dihantar NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM), ini termasuklah isu:

1. Pemansuhan Hutan Simpan (HS) Pangkor sebanyak 2.20 hektar untuk tujuan pembukaan hotel – tetapi sehingga ke hari ini masih tiada lagi hotel dibuka walaupun kayu balak telah dikeluarkan

2. Pemansuhan HS Gunung Besout (Mukim Sungkai) sebanyak 3,178.14 hektar – dipertikai kerana saiz pemansuhannya yang terlalu besar untuk pembukaan ladang kelapa sawit

3. Pemansuhan HS Tanjung Hantu sebanyak 56.05 hektar untuk Projek Industri Kilang Besi Magma Steel – dipertikaikan kerana ia adalah sebahagian Hutan Simpanan Dara VJR dan terletak di Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS 1)

4.HS Ijok & HS Bintang Hijau 1296.00 – dipertikai kerana ia kawasan Hutan Tadahan Air (HS Ijok)

5. Pemansuhan keseuruhan HS Bikam sebanyak 495.50 hektar – dipertikai kerana terdapat habitat spesies Keruing Paya (Dipterocarpus cariaceus), Merawan kelabu (Hopea glaucescens) dan Mata kucing beludu (Hopea myrtifolia) yang terancam dan kritikal terancam ‘Criticaly Endangered’ (CR) dibawah International Union Conservation of Nature (IUCN)

6. Pemansuhan HS Sungai Chikus sebanyak 663.40 hektar dan HS Parit (Mukim Layang-Layang) sebanyak 20.234 hektar yang dibimbangi akan menganggu habitat spesies : Keruing Paya (Dipterocarpus coriaceus) & Keruing Padi (Dipterocarpus semivestitus)yang kritikal terancam ‘Criticaly Endangered’ (CR) dibawah International Union Conservation of Nature (IUCN); serta,

7. Pemansuhan Rizab Hidupan Liar (RHL) Chior sebanyak 692.7 hektar (RHL pertama di Malaysia) & sebahagian HS Piah yang terletak di dalam kawasan ‘Central Forest Spine’ telah memusnahkan habitat hidupan liar dan mampu menimbulkan konflik dengan manusia

Dan yang terkini adalah pemansuhan HSK sebanyak 3,847 hektar pada 15 Januari 2018 yang merangkumi:

1. Pemansuhan HS Bintang Hijau (Mukim Batu Kurau) sebanyak 3209.00 hektar
2. Pemansuhan HS Pondok Tanjung (Mukim Batu Kurau) sebanyak 177.90 hektar
3. Pemansuhan HS Bukit Larut (Mukim Bukit Gantang) sebanyak 124.70 hektar
4. Pemansuhan HS Bubu (Mukim Bukit Gantang) sebanyak 335.40 hektar

Serta penambahan baru:

1. Pemansuhan HS Bukit Kinta (Mukim Sungai Raya) sebanyak 40.469 hektar untuk tujuan Agro-Pelancongan bagi Warta Kerajaan Negeri bertarikh 1 Mac 2018

Kebanyakan isu ini apabila dilontarkan persoalannya – tidak dijawab dan ditangani baik dengan kerajaan Negeri. Bahkan ia hanya dijawab dengan jawapan separuh masak sahaja.

Kali ini, isu ini kami bangkitkan adalah kerana jumlah pemansuhan HS Bintang Hijau yang sejumlah 3,209.00 hektar adalah yang paling besar semenjak tahun 2009, mengatasi pemansuhan terbesar sebelum ini iaitu HS Gunung Besout (Mukim Sungkai) sebanyak 3,178.14 hektar.

Berdasarkan respon yang telah diberikan oleh Menteri Besar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, pemansuhan ini adalah untuk tujuan Rancangan Tanah Pertanian Berkelompok & penempatan penduduk kampung yang telah mendiaminya selama 40 tahun. Keputusan ini telah dilakukan sejak November 1998 lagi kerana mengambil masa yang lama untuk pengukuran.

Namun, tidak kiralah bila keputusannya dibuat, ia tetap dimansuhkan dalam skala yang besar. Kami beranggapan, respon yang diberikan oleh pihak Kerajaan Negeri dan beberapa media pro-kerajaan kali ini juga separuh masak kerana tidak dinyatakan secara persis di mana kawasan Rancangan Tanah Pertanian Berkelompok yang didakwa untuk pertanian buah-buahan dan getah tersebut – di dalam HSK yang mana satu?

Selain itu penggunaan terma pengukuran dalam kenyataan pihak berkenaan sering bertukar-tukar dari ekar ke hektar, hektar ke ekar yang membuatkan pembaca yang tidak faham boleh keliru. Hektar selalu digunakan sebagai standard pengukuran saiz dalam Hutan Simpan.

Ini sekaligus membangkitkan persoalan, mengapa jumlah hutan yang terlalu besar perlu dimansuhkan untuk tujuan tersebut? Untuk saiz lebih 3,000 hektar HSK yang dikatakan dimansuhkan untuk penempatan penduduk tempatan dan pertanian berkelompok untuk buah-buahan dan getah adalah tidak berasas.

Jika saiz sebesar itu, pertanian berkelompok ini sudah mampu menghasilkan produk tahap pengeluaran nasional dan untuk penempatan pula adakah ia logik dengan jumlah yang sebesar itu sedangkan penempatan kampung Melayu yang terbesar di Perak iaitu di Kampung Manjoi pun hanya berkeluasan 600 hektar sahaja.

Ini jgua tidak dinyatakan secara jelas dan terperinci dalam mana-mana hebahan awam termasuk Rancangan Tempatan Daerah ataupun Rancangan Struktur Negeri. Apa keperluan spesifik untuk pemansuhan berskala besar ini?

Pemansuhan HS Pondok Tanjung kali ini juga harus dipertikaikan kerana ia merupakan HSK yang telah diusulkan untuk dikelaskan sebagai Hutan Tadahan Air sewaktu jawapan dalam sidang DUN tahun lepas. Ia sumber tadahan air yang penting untuk Tasik Bukit Merah. Kerajaan Negeri seharusnya melindungi kawasan ini mengambil iktibar daripada peristiwa kekeringan Tasik Bukit Merah pada tahun 2016 yang disebabkan kejadian El Nino ditambah dengan mendapan lumpur akibat pencerobohan dan pembukaan kawasan HS Pondok Tanjung.

Dan yang terakhir, pemansuhan HS Bukit Kinta juga perlu dipersoalkan kerana ia terletak di dalam kawasan Central Forest Spine (CFS) dan sebelum ini kami bersama penduduk orang Asli Simpang Pulai daripada 9 kampung (Kampung Jantung Baru, Pawong, Sungai Penuh, Palas, Pos Atap Baru, Jemol Bekeroh, Gempas dan Chiduk lama) telah membuat bantahan tenang cadangan menjadikan kawasan ini sebagai projek Agro-Tourism kerana bakal menjejaskan orang Asli.

BENAR KERAJAAN NEGERI TELAH MENGGANTIKAN HSK YANG BARU, NAMUN…

Kami tidak menafikan hakikat bahawa Kerajaan Negeri Perak telah berupaya menggantikan kawasan HSK yang baru, ini termasuk menggantikan dengan:

1. HS Lekir (Paya Bakau): 616 hektar (Warta pada 12 Februari 2015)
2. HS Kelip-Kelip Kuala Sepetang (Paya Bakau): 152.98 hektar (kelulusan oleh MMKN pada 6 November 2013 namun belum lagi diwartakan secara rasmi)
3. HS Piah: 2,362 hektar (terdapat isu warta keluar masuk)
4. HS Teluk Muroh: 116.6 hektar (gazet semula selepas dikeluarkan 121.16 hektar pada 6 Januari 2010)
5. HS Teluk Rubiah (Paya Bakau): 1,502 hektar (kelulusan MMKN pada 23 April 2014)
6. HS Amanjaya: 18,866 hektar (warta pada 9 Mei 2013)
Jumlah: 23,462.60 hektar

Namun, semenjak dari dahulu lagi usul pertikaian kami terhadap pemansuhan HSK ini bukan setakat isu KUANTITI hutan yang dimansuh dan ditambah/diganti – tetapi lebih tertumpu kepada KUALITI hutan yang dimansuh kerana pemansuhan-pemansuhan HSK yang dipertikaikan di atas mempunyai kuaiti yang tinggi dari segi kepelbagaian bio, nilai sosial dan fungsi tadahan air.

Namun sebahagian kawasan yang diganti semula bukanlah dengan jenis hutan asal yang dimansuh (iaitu Hutan Dipterokarp Pamah & Bukit) – tetapi digantikan dengan Hutan Paya Laut dan jika ada, kebanyakan kawasan baru yang diganti adalah kawasan hutan tanah negeri yang telah miskin dan diteroka.

Misalnya mengikut pemerhatian kami di kawasan Hutan Simpanan Kekal Aman Jaya (Lebuhraya Gerik-Jeli) – kawasan tanah negeri yang paling besar diwarta, sebahagian hutan tersebut telah penuh ditumbuhi pokok Acacia Mangium, sejenis pokok invasif (bukan spesis tempatan) yang menjadi indikator kepada kemiskinan satu-satu kawasan hutan. Pokok ini pula dari segi biologinya akan mendominasi satu-satu kawasan itu tanpa membenarkan pokok-pokok lain tumbuh.

Hutan Hujan Tropika semulajadi di negara kita khususnya Hutan Dipterokarp Pamah & Bukit bukanlah landskap semulajadi yang mati. Ia mempunyai fungsi sistem kejuruteraan yang kompleks dalam mengekalkan kestabilan planet kita.

Ia juga mempunyai kepadatan spesis flora & fauna antara yang tertinggi di dunia serta litupan daunnya yang tebal yang melibatkan proses fotosintesis yang tinggi untuk pengawalan suhu dan cuaca mikro.

Setiap hektar daripadanya pasti memberikan 1,001 nilai kepada rakyat dengan menjadi pembekal air bersih, pertanian, pengukuh dan penyubur tanah, herba, ubat-ubatan, sumber tenaga, sosioekonomi, kediaman serta memberi nilai budaya & spiritual. Identiti masyarakat kita sendiri tidak boleh dipisahkan daripada hutan.

Sudah tentu, apabila HSK ini dimansuhkan kepada Tanah Kerajaan Negeri ataupun Tanah Hakmilik – ini menyebabkan Hutan terbabit sudah tidak berada lagi di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri serta tidak tertakluk lagi di bawah sistem pensijilan ‘Malaysia Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management’ (MC&I) yang mewajibkan peraturan pembalakan seperti kuota 80 hektar bagi satu konsesi, Catuan Tebangan Tahunan (CTT), kuota pengeluaran (tan) bagi setiap konsesi, pembalakan selektif, pemilihan zon yang sesuai, cerun yang sesuai, larangan menebang pokok perlindungan fauna, menebang kayu balak di bawah dan di atas ukur lilit dibenarkan serta mematuhi zon rizab sungai.

Lalu tanpa pengurusan ini – kawasan bekas HSK itu sudah hilang ‘security of tenure’nya dan dari segi urus tadbir akan terdedah kepada aktiviti pembalakan tebang habis contohnya bagi tujuan perladangan, penempatan baru, industri dan kawasan komersial yang lain yang secara langsung akan melenyapkan kepelbagaian bionya dan menghilangkan fungsi hutan semulajadi. Komuniti juga akan terjejas. Apakah akan ada jaminan atau security of tenure bagi kawasan yang telah dimansuhkan ini?

DEMOKRASI ALAM SEKITAR YANG MASIH LEMAH DI NEGERI PERAK – PENYAHWARTAAN/PEMANSUHAN SERTA KELULUSAN PROJEK DIBUAT SECARA RAHSIA TANPA KONSULTANSI MENYELURUH

Satu lagi perkara yang dibangkitkan dalam kenyataan pertama kami adalah kerahsiaan pemansuhan ini. Kebanyakan rakyat khususnya komuniti tempatan yang merupakan stakeholder penting serta orang awam dan NGO tidak tahu bila ia dimansuh, untuk apa ia dimansuh dan tiada makluman awal, bebas dan telus mengenai pemansuhan ini.

Walaupun terdapat Majlis Pendengaran Awam untuk Rancangan Tempatan Daerah (RTD) & Rancangan Struktur Negeri (RSN) bagi membuka ruang bantahan atau input orang awam untuk penukaran status guna tanah & penggubahan rancangan, namun untuk proses penyahwartaan atau pewartaan tiada sebarang pendengaran awam dilakukan walaupun sebenarnya pemansuhan ini boleh memberikan implikasi yang lebih besar berbanding penukaran status guna tanah & penggubahan rancangan di bawah RTD & RSN.

Sebagai contoh – KUASA pernah menghadiri Majlis Pendengaran Awam Draf RTD Kuala Kangsar (Pengubahan 2 & 3) pada tahun lepas dan membantah pengubahan kawasan hutan berdekatan Sungai Perlop, Sungai Siput ditukar status guna tanahnya ditukar daripada kawasan berhutan kepada kawasan pertanian. Namun, bantahan ini telah ditolak kerana secara teknikalnya telah berlaku pemansuhan sebahagian HS Korbu & HS Piah menjadi tanah hakmilik.

Bagaimana majlis pendengaran awam boleh dilakukan selepas kawasan tersebut boleh diberi milik? Maka tidak ada makna lagi pendengaran awam tersebut jika diperingkat yang lebih besar ia telah dinyahwarta.

Hakikatnya, proses penyahwartaan/pemansuhan ini dilakukan secara tertutup iaitu sewaktu sidang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang hanya melibatkan Menteri Besar selaku Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri, Exco Kerajaan Negeri dan agensi-agensi teknikal terlibat. Tiada ruang bagi memberikan partisipasi daripada komuniti tempatan, NGO mahupun pakar/konsultan bebas untuk memberi input atau pandangan.

Sudah tentu kebanyakan rakyat tertanya-tanya sebab apakah HSK tersebut dimansuhkan? Ia jarang sekali diberitahu di media ataupun di mana-mana medium hebahan melainkan setelah NGO seperti kami mendesak penjelasan lanjut daripada kerajaan negeri termasuk bagi isu kali ini.

Lalu, adakah ianya adil apabila segala keputusan yang bakal memberi impak kepada golongan 99% hanya ditentukan oleh golongan 1% sahaja?

Bahkan, kerahsiaan ini bukan untuk sahaja orang awam, terdapat kes pada 2-3 tahun yang lepas di mana pegawai tertinggi Jabatan Perhutanan sendiri tidak dimaklumkan tentang penyahwartaan/pemansuhan HSK ini – bahkan beliau sendiri mendapatkan dokumen warta daripada kami (NGO). Bagaimana agensi teknikal juga boleh diketepikan dalam isu penyahwartaan ini?

Seperkara lagi, hasil daripada kajian, pemerhatian & keterlibatan kami bersama komuniti hutan di beberapa kawasan konflik alam sekitar termasuk kampung Orang Asli Air Banun, Pos Jernang Sungkai, Pos Slim, Pos Piah, Pos Kemar, Pos Air Dala, Kampung Bah, Gopeng, Bidor, Simpang Pulai – kawasan komuniti Nelayan seperti Kampung Teluk Muroh, Kampung Dew, Kampung Teluk Senangin, Kampung Batu 3 Segari dan Sungai Batu – kawasan petani seperti pesawah padi Kerian (kes Tasik Bukit Merah) – kawasan penduduk kampung di Bukit Gantang, Segari Melintang dan beberapa kawasan hutan yang lain – terdapat banyak kes di mana penduduk kampung tidak diberikan makluman awal, maklumat yang jelas, informasi projek yang telus dan konsultansi yang menyeluruh dalam projek-projek yang dikenakan ke atas kawasan mereka khususnya dalam projek pembalakan, pembukaan ladang, lombong dan industri.

Komuniti tempatan tidak dilibatkan dalam proses pembuatan keputusan dan jarang berlaku perbincangan yang demokratik dalam menentukan corak pembangunan di tempat mereka. Mereka seakan-akan terpaksa menerima projek-projek pembangunan yang terkadang tidak sesuai dengan budaya dan identiti mereka serta memusnahkan hutan sumber pencarian mereka. Ditambah pula kebanyakan komuniti masih tidak mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam isu-isu teknikal pengurusan alam sekitar termasuklah tentang isu pemansuhan hutan, urustadbir, selok belok teknikal tentang impak daripada projek pembangunan tersebut kepada sumber alam mereka.

Jika ada kutipan suara dan persetujuan – ia tidak menyeluruh hanya melibatkan partisipasi terpilih seperti Tok Batin, Pengerusi JKKK & golongan berkepentingan. Ini sekaligus mewujudkan senario pepecahan dalam komuniti serta budaya pecah dan perintah digalakkan. Ini sekaligus bercanggahan dengan komitmen kerajaan pusat yang telah menandatangani UNDRIP bagi memastikan prinsip Iziz-MABT yang bermaksud keizinan berasaskan Makluman Awal, Bebas dan Telus.

PERCANGGAHAN POLISI PERSEKUTUAN – ZON SENSITIF ALAM SEKITAR (KSAS 1 & 2 serta Central Forest Spine)

Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai kuasa yang mutlak terhadap bidangkuasa air, tanah, hutan dan sumber galian negeri, namun seharusnya Negeri mempunyai tanggungjawab moral & komitmen dalam memastikan segala treati antarabangsa seperti perjanjian PBB (UNFCCC & UNCBD) serta polisi kerajaan persekutuan seperti Rancangan Fizikal Negara (RFN) yang telah menyatakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (1-3) serta Zon Central Forest Spine (CFS) diikuti dan dipatuhi sehingga ke peringkat daerah.

Namun, terdapat beberapa perlaksanaan/kelulusan projek di kawasan yang telah bercanggah dengan polisi kerajaan pusat. Ini termasuk:

1. Kelulusan projek pembinaan kilang besi mega di Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 2 di Teluk Rubiah

2. Kelulusan projek pembinaan kilang besi Magma Steel & loji Gas Asli Cecair di Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 di Tanjung Hantu (sekarang projek tertangguh) VJR

3. Kelulusan projek pengorekan pasir di muara Sungai Puyu yang merupakan kawasan pendaratan penyu Segari di Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1

4. Pemansuhan Rizab Hidupan Liar Chior, sebahagian HS Piah dan Ladang Hutan di HS Piah yang terletak dalam kawasan Central Forest Spine (CFS)

5. Pemansuhan di beberapa hutan di kawasan CFS seperti HS Bukit Kinta untuk projek Agro-Pelancongan (yang melibatkan pembalakan cuci mangkuk)

6. Serta kelulusan sebanyak 56,502.59 hektar (1) untuk pembukaan ladang Hutan di dalam kawasan HSK yang bakal melibatkan penebangan cuci mangkuk bagi tanaman monokultur (Rancangan Fizikal Negara telah mengkategorikan HSK sebagai sekurang-kurangnya KSAS Tahap 2. Hanya pembalakan mampan dibenarkan di dalam KSAS tahap 2 tetapi tidak ladang monokultur dan pengubahan guna tanah)

KESIMPULAN

Kami melihat corak pembangunan di negeri Perak masih lemah lagi mencapai tahap pembangunan lestari yang bermakna. Terdapat banyak lagi tanah terbiar dan tanah miskin spesis di negeri Perak yang tidak dibangunkan/dimaksimakan untuk projek-projek baru. Sebaliknya hutan semulajadi pula dipilih untuk dibuka & dimansuhkan tanpa keperluan mendesak untuk projek perladangan (cuci mangkuk), perlombongan dan penempatan.

Jika alasan bahawa kebanyakan tanah terbiar terbabit sudah diberi hakmilik, kerajaan negeri boleh sahaja menggunakan peruntukan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil semula tanah-tanah hakmilik terbiar untuk diberikan kepada pemaju baru dan projek baru – dengan pampasan dibayar oleh pemaju baru sebagai “fi” (cukai) bagi memanfaatkan penggunaan tanah di negeri Perak dan mengurangkan eksploitasi hutan semulajadi yang memberikan 1,001 nilai kepada kelestarian bumi kita.

Oleh itu, dengan merangkumkan segala isu-isu ini – di akhir tempoh pemerintahan kerajaan Negeri, tidak salah rasanya kami sebagai rakyat untuk membuat rumusan penilaian terhadap prestasi Menteri Besar dan kerajaan negeri bagi tempoh penggal yang lepas.

Selama ini kami telah menggunakan saluran yang sedia ada untuk bersuara, menghantar surat & menuntut perjumpaan bersama Menteri Besar sendiri. Namun banyak persoalan kami yang tidak dijawab, tidak dilayan, didiamkan bahkan tatkala kami membawa komuniti untuk berjumpa dengan MB untuk berbincang, kami tidak dibenarkan masuk dan terdapat kes di mana pihak berkuasa menghantar FRU pula untuk berhadapan dengan kami. (rujuk kes penyerahan memorandum Nelayan Teluk Muroh & Orang Asli Pos Jernang, Sungai di SUK Perak).

Apabila saluran yang sedia ada telah gagal menyelesaikan masalah – kami menggunakan saluran media sosial sebagai salah satu medium menyedarkan rakyat dan menarik perhatian kerajaan negeri bagi mendengar suara kami.

KUASA membawa suara komuniti akar umbi, pencinta alam dan orang awam yang prihatin akan masa depan negeri Perak. Sudah tentu kami mahukan pengurusan yang terbaik, telus dan berakauntabiliti buat negeri Perak kerana kamilah golongan sasaran dan impak utama daripada perancangan pembangunan kerajaan negeri. Sudah tentu kami tidak menolak sebarang pembangunan.

Yang kami mahukan adalah pembangunan lestari yang mengimbangkan pembangunan fizikal dan pengekalan khazanah alam semulajadi yang selama ini memberikan nilai ekonomi, kesihatan, kestabilan dan estetika kepada kehidupan rakyat.

Dengan corak pembangunan konvensional seperti hari ini, kita pasti akan berhadapan dengan masa depan yang lebih mencabar khususnya dengan peningkatan populasi dan permintaan terhadap sumber asli yang semakin tinggi. Namun dalam masa yang sama kita tiada lagi mekanisme yang utuh dalam pengurusan pembangunan lestari, penggunaan sumber berhemah serta perancangan tanah secara maksimum.

KUASA bersedia untuk berdialog, berbincang dan membuat pertemuan dengan sesiapa sahaja mengenai isu ini khususnya wakil kerajaan negeri bagi menambahbaik urustadbir & mengusulkan perubahan dalam beberapa perkara untuk negeri Perak demi kebaikan rakyat negeri ini.

Namun isu ini haruslah ditangani dengan profesional. KUASA juga ingin mempertikaikan sikap Exco Kerajaan Negeri & pihak berkenaan yang menuduh aktivis alam sekitar sebagai agen politik pembangkang dan mempunyai agenda untuk menjatuhkan parti Barisan Nasional – anda seharusnya menjawab isu ini atas kapasiti diri anda selaku badan eksekutif, bukannya dengan jawapan sentimen politik kepartian.

Jangan nafi dan diamkan suara rakyat yang tidak berparti.

KUASA juga telah mengenalpasti individu-individu yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan berita palsu tentang tuduhan kami bekerja dengan DAP dan kami telah berbincang dengan peguam kami untuk mengambil tindakan tegas termasuk memfailkan saman.

Mudah-mudahan kenyataan ini menjawab segala tohmahan dan tuduhan yang tidak betul ke atas kami.

Post Author: Editor KUASA