NGO KUASA Anjurkan Lawatan Lapangan Pencemaran Sungai di Segari

Pada 29 Jun 2019 satu lawatan lapangan Pencemaran Sungai di Segari telah diadakan. Program tersebut dijalankan dari jam 9.30 pagi sehingga 7.00 petang dan bertempat di Kawasan ladang sawit di Kampung Batu 10 dan Muara Sungai Gelam. Program ini diketuai oleh Hafizudin Nasarudin dan dibantu oleh Meor Razak dan Ismady Radzuan. Jumlah peserta yang terlibat adalah seramai 10 orang yang terdiri daripada penduduk tempatan Segari dan pelajar universiti.

 

Bagi sesi penerangan isu pencemaran sungai, peserta diberi penerangan mengenai latar belakang masalah pencemaran sungai di alor sungai di Segari yang disebabkan oleh pelepasan sisa daripada ladang-ladang ayam di Pasir Panjang terus ke alor sungai tanpa dirawat. Pencemaran sungai ini juga telah membawa kepada masalah-masalah lain seperti bau busuk, masalah lalat, kerosakan tebing sungai serta menjejaskan hasil tangkapan ikan nelayan di Sungai Gelam. Peserta bergerak menggunakan 2 buah 4wd bagi memudahkan perjalanan masuk meninjau alor-alor sungai yang tercemar.

 

Untuk lawatan ke alor sungai di Pasir Panjang, peserta meninjau kawasan alor sungai yang berwarna hitam yang sudah dicemari sisa ladang ayam yang tidak dirawat. Peserta berhenti di beberapa kawasan alor sungai bagi melihat kesan pencemaran kepada tebing sungai dan pencemaran bau di kawasan kampung berdekatan.

 

Selepas makan tengah hari dan solat, peserta meneruskan lawatan tinjaun ke sekitar kawasan ladang ayam. Bagi Lawatan ke sekitar kawasan ladang ayam, ianya terletak di beberapa tempat dan tidak hanya berada di satu tempat sahaja. Oleh itu, peserta terpaksa mencari beberapa punca aliran keluar sisa ke sungai.

 

Seterusnya, bagi lawatan ke Kampung Sungai Gelam, peserta meneruskan tinjauan mengikut alor sungai untuk sampai ke muara Sungai Gelam dan tiba di perkampungan nelayan Sungai Gelam. Di sini, peserta bertemu para nelayan yang tinggal di kampung ini yang terjejas dengan isu pencemaran sungai oleh pelepasan sisa daripada ladang ayam ini.

 

Bagi perbincangan hasil lawatan dan rumusan aktiviti, peserta membincangkan isu pencemaran sungai ini dan sama-sama memikirkan strategi yang boleh digunakan oleh penduduk di Segari yang terjejas oleh pencemaran ini.

 

Post Author: Editor KUASA