NGO KUASA Anjurkan Lawatan Lapangan di Ladang Hutan Simpan Bukit Kinta

 

IPOH: Pada 5 April 2019 satu Lawatan Lapangan di Ladang Hutan Simpan Bukit Kinta telah diadakan. Program tersebut bermula pada 10.30 pagi dan berakhir pada 6.00 petang.  Lokasi bagi lawatan yang dipilih adalah di Kampung Juang, Kampung Kerawat, Kampung Pergom. Lawatan ini diketuai oleh Hafizudin Nasarudin dan dibantu oleh Meor Razak dan Hawa Wahid. Seramai 14 orang peserta terlibat yang terdiri daripada sukarelawan KUASA dan aktivis masyarakat Perak.

 

 

Bagi sesi Penerangan Sistem Pengurusan Hutan di Semenanjung Malaysia & Program Pembangunan Ladang Hutan, Encik Hafizudin memberi penerangan mengenai sistem pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia dan status hutan, jenis hutan, pihak berkuasa ke atas status hutan serta jenis-jenis sistem tebangan yang dijalankan di Malaysia. Meor Razak menerangkan latar belakang program pembangunan ladang hutan & isu berkaitan program ini yang menjejaskan ekosistem serta menjejaskan komuniti yang terlibat.

 

Untuk lawatan lapangan ke kampung Orang Asli, peserta dibawa melawat ke kampung Orang Asli di sepanjang Jalan Simpang Pulai-Lojing dan di kawasan Hutan Simpan Bukit Kinta yang masih bergantung kepada sumber hutan untuk kehidupan seharian yang bakal terkesan dengan projek pembangunan ladang hutan. Dalam sesi lawatan, peserta ditunjukkan peta kawasan cadangan pembangunan projek ladang hutan seluas 400 hektar yang sudah diluluskan oleh Kerajaan Negeri yang bertindih dengan wilayah Orang Asli. Peserta juga bebas berkomunikasi dengan masyarakat Orang Asli di kampung-kampung tersebut untuk mendapatkan input dan menganalisa isu konflik pembangunan dan Orang Asli.

 

 

 

Untuk sesi perbincangan hasil lawatan dan rumusan aktiviti, peserta berbincang secara berkumpulan mengenai isu konflik pembangunan dan masyarakat Orang Asli. Rata-rata peserta mampu menggunakan perundangan serta perlembagaan dalam menyangkal pembangunan yang dirancang tanpa mengambil kira kesan kepada komuniti minority di sesuatu kawasan.

Post Author: Editor KUASA