NGO KUASA Anjurkan Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK 7.0)

IPOH: Pada Ogos yang lalu, satu program Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK 7.0) telah berlansung selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 Ogos 2019. Program ini bermula pada 8 pagi dan tamat pada 8.30 malam. Program ini disertai oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada 13 orang lelaki dan 7 perempuan. Para peserta yang terlibat terdiri daripada pelajar UM, UKM, wartawan, aktivis social, aktivis politik dan orang awam.  Program ini telah diadakan di pejabat KUASA, Simpang Pulai, Lojing, Gua Musang, Gunung Strong, Tasik Pergau, Banjaran Titiwangsa dan Pulau Banding yang diketuai oleh Hafizudin Nasarudin dan dibantu oleh Encik Meor Razak.

 

Bagi sesi pendaftaran peserta dan pengenalan kepada sistem pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia, peserta mendaftarkan diri dan bersarapan di Pejabat KUASA. Hafizudin memulakan program dengan ucapan alu-aluan dan diteruskan dengan sesi pengenalan kepada system pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia. Sesi ini penting kepada peserta agar mereka memahami status tanah dan pihak yang berkuasa ke atas sesuatu tanah berhutan. Hal ini kerana kes-kes kemusnahan hutan yang akan dilawati nanti memerlukan mereka berfikir secara kritikal dengan pemahaman ke atas status tanah yang ada.

 

Untuk Lawatan Lapangan 1- (Simpang Pulai -Tanah Tinggi Kinta), peserta dibahagikan mengikut 4 kumpulan dan bergerak mengikut kumpulan dengan van masing-masing untuk sesi lawatan lapangan yang pertama iaitu di sepanjang Simpang Pulai ke Tanah Tinggi Kinta, Perak. Stesen-stesen tersebut terdiri daripada; Stesen 1 – Kuari Batu Kapur & Granite Simpang Pulai, Stesen 2 – Kampung Kerawat (Kawasan Cadangan Ladang Hutan di HS Bukit Kinta), Stesen 3 –   Kawasan Agro-Pelancongan Bukit Kinta (penanaman sayur di lereng bukit bercerun tinggi), Stesen 4 – Top View Tanah Tinggi Bukit Kinta.

 

Bagi Sesi lawatan lapangan kedua ialah di sepanjang Lojing ke Kuala Betis, Kelantan. Stesen 1 – Kebun Sayur Lojing Highlands (penanaman sayur di lereng bukit bercerun tinggi yang menjejaskan kehidupan Orang Asli). Stesen 2 – Matau Balak di Hutan Simpan Brooke (Kawasan hutan berbukit yang dibalak cuci mangkok untuk skim ladang rakyat). Stesen 3 – Stesen Hujan & Aras Air Sungai Brook, Lojing (sungai yang dicemari sisa pembalakan & agrikultur di Kawasan bukit). Stesen 4 – Matau Balak & Tempat Pengumpulan Hasil Lombong Bijih Besi, HS Brooke.

 

Bagi sesi Perbincangan Kumpulan – Hasil Lawatan, setiap kumpulan berbincang mengenai hasil pemerhatian dan analisa mereka terhadap setiap kes-kes kawasan lawatan. Perbincangan mereka dibantu oleh fasilitator. Peserta Berjaya menunjukkan pemahaman keatas setiap kes kajian dan memahami pelanggaran SOP serta manipulasi sistem yang berlaku.

 

Pada 25 Ogos, untuk  sarapan pagi & melawat kawasan bukit batu kapur di Gua Musang, Encik Meor menerangkan landskap bukit dan gunung di Kelantan yang kaya dengan sumber asli. Kekayaan sumber asli di negeri ini telah dieksploit dengan cara yang tidak mapan dan merosakkan ekosistem.

 

Bagi Lawatan Lapangan 3 – (Balai Pemeriksaan Balak Dabong), peserta dibawa melalui jalan besar yang digunakan oleh lori-lori balak untuk melatih mereka memahami nombor plat lesen pada lori balak untuk mengetahui sumber balak tersebut.  Peserta berhenti di Balai Pemeriksaan Balak Dabong dan diberi penerangan oleh Pegawai Perhutanan mengenai prosedur bagi memberi kelulusan kepada setiap kayu balak yang dibawa keluar untuk diproses.

 

Untuk lawatan ke Taman Negara Gunung Stong & Air Terjun Jelawang, peserta melawat Taman Negara Gunung Stong bagi melihat pengurusan eko-pelancongan di negeri Kelantan. Peserta juga diberi masa untuk mandi di Air Terjun Jelawang yang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara (305m).

 

Bagi lawatan ke Taman Santuari Tasik Pergau, peserta melawat Taman Santuari Tasik Pergau yang dahulunya merupakan satu destinasi perlancongan telah ditutup atas sebab yang tidak diketahui. Di sini peserta dapat melihat kelemahan pelaksanaan perancangan eko-pelancongan di Kelantan.

 

Selanjutnya, bagi Lawatan ke Tasik Banding, Royal Belum , Peserta diberi taklimat oleh Pegawai Penyelidik Pulau Banding Rainforest Research Center mengenai ekosistem unik Tasik Banding & Royal Belum serta sistem pengurusan & operasi konservasi mereka.

Bagi sesi refleksi dan penutup, peserta berkongsi pemerhatian & pengalaman mereka Bersama program ini. Hafizudin membuat rumusan aktiviti sepanjang 2 hari 1 malam ini.

 

 

 

 

 

 

 

Post Author: Editor KUASA