NGO KUASA Anjurkan Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK 4.0)

KOTA BHARU: Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) telah mengadakan Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK 4.0) bertempat di Min House Camp, Kota Bharu, Kelantan selama 3 hari 2 malam dari 7 September hingga 9 September 2018. Program telah disertai seramai 38 orang (20 lelaki & 18 perempuan).

 

Bagi sesi Suai Kenal Peserta Pendaftaran peserta dan makan malam telah dilaksanakan.  Sesi Suai Kenal Peserta, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diminta untuk memasukkan satu barang milik mereka dan satu lagi kumpulan diminta untuk memilih barangan tersebut dan membentuk satu pasangan. Pasangan tersebut diminta untuk bercerita tentang diri masing-masing. Selepas lima minit, setiap peserta diminta untuk mengenalkan pasangan masing-masing. 

 

Bagi Slot Perkongsian 1 – Pengenalan kepada Aktivisme Alam Sekitar Sistem pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia telah diterangkan oleh Encik Hafizudin. Peserta juga didedahkan dengan realiti kemusnahan hutan & biodiversiti yang kian meruncing di Malaysia. Seterusnya, Hafizudin menjelaskan isu-isu alam sekitar di negeri Kelantan dan pengalaman beliau sebagai aktivis alam sekitar dari NGO berhadapan dengan isu-isu tersebut.

 

Slot perkongsian 1 diteruskan lagi dengan pengelasan hutan di Malaysia, projek pembangunan ladang hutan, pengurusan hutan di Kelantan dan dasar perhutanan negeri telah diterangkan oleh Encik Meor. Sesi soal jawab & perbincangan telah diadakan sebaik sahaja slot perkongsian telah selesai.

Bagi Slot Perkongsian 2 – Kisah perjuangan Blockade Orang Asli di Gua Musang, Encik Dendi memulakan sesi dengan menayangkan video pendek oleh Al-Jazeera & kiniTV mengenai isu-isu hak asasi & alam sekitar yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli di Gua Musang. Projek pembalakan di kawasan berikut ialah sah dan diluluskan oleh kerajaan negeri Kelantan bagi program pembangunan ladang hutan.

 

Masyarakat Orang Asli Gua Musang telah membantah melalui pelbagai saluran namun tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri sehingga mereka bersepakat untuk mendirikan blockade bagi menghalang kemasukan jentera pembalakan oleh pemaju. Encik Dendi juga berkongsi masalah-masalah yang mereka hadapi untuk memperjuangkan kawasan tanah adat & wilayah mereka. Pada sesi perbincangan, peserta aktif memberikan pendapat, motivasi dan cadangan mengenai masalah yang dibawa oleh Encik Dendi.

 

Bagi sesi Latihan Dalam Kumpulan 1 – Isu Alam Sekitar & Penyelesaian Mengikut Kumpulan Pemegang Taruh, para peserta telah dipecahkan mengikut kumpulan-kumpulan (aktivis alam sekitar, NGO, ahli akademik/pakar, environmentalist, komuniti) dan berbincang untuk mendapatkan penyelesaian mengikut perspektif kumpulan-kumpulan berikut. Peserta juga perlu mengemukakan penyelesaian dan memberi justifikasi kepada hujah mereka di dalam slot debat “Majlis Pendengaran Awam” yang akan diadakan pada slot seterusnya. 

 

Untuk sesi Debat Alam Sekitar – “Majlis Pendengaran Awam” Situasi yang telah ditetapkan dalam debat ini ialah satu Majlis Pendengaran Awam di negeri Kelantan tentang projek pembalakan yang diluluskan oleh kerajaan negeri Kelantan yang mendapat bantahan daripada komuniti orang asli, environmentalist serta aktivis yang berlaku di atas tanah adat dan wilayah orang asli.

 

Bagi watak Menteri Besar, wakil syarikat pembalakan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri – dibawakan oleh aktivis alam sekitar. Kumpulan-kumpulan yang membantah pula dibawakan oleh peserta yang telah dipecahkan mengikut kumpulan dan sudah berbincang pada slot sebelum ini.

 

Untuk Sesi Refleksi Debat Alam Sekitar, Encik Hafizudin membuat kesimpulan atas sesi debat alam sekitar yang berlangsung. Encik Hafizudin membuat kesimpulan atas sesi debat alam sekitar yang berlangsung. Debat berjalan lancar namun hujahan daripada kumpulan aktivis, komuniti dan environmentalist yang lemah jelas menunjukkan peserta masih belum memahami sistem pengurusan hutan, rangka hak komuniti dan alam sekitar dan realiti pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang mengharapkan pembalakan sebagai sumber ekonomi utama.

Bagi Parlimen Rakyat – Politik, Ekonomi & Alam Sekitar di Kelantan, aktivis alam sekitar dan politik negeri Kelantan dijemput bagi sesi perbincangan tentang rumusan analisis permasalahan dan pengenalpastian punca induk kemusnahan hutan dan biodiversiti di Kelantan.

 

Untuk Slot Perkongsian 3 – Cara Praktikal Asas Pemantauan Alam Sekitar Dengan Efektif di Masa Hadapan, cara-cara untuk orang awam memantau alam sekitar dengan lebih berkesan melalui saluran-saluran sedia ada di bawah peruntukan undang-undang sedia ada telah diterangkan oleh Encik Hafizudin. Tidak ramai yang menyedari teknik bantahan (membantah apabila projek sudah diluluskan & tidak mengikut saluran/platform yang betul) dan fakta mereka adalah salah dan hal ini menyebabkan bantahan ini sering diperlekehkan oleh kerajaan negeri. Oleh itu, penting bagi orang awam terutamanya aktivis baru untuk memahami kaedah-kaedah penyertaan dalam bantahan mengikut saluran yang betul.

 

Bagi Sambungan Slot Perkongsian 3 – Cara Praktikal Asas Pemantauan Alam Sekitar Dengan Efektif di Masa Hadapan, Encik Meor telah menerangkan  saluran-saluran yang boleh dicuba oleh orang awam & aktivis dalam proses mendapatkan kelulusan bagi satu-satu projek ialah Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Rancangan Tempatan Daerah (RTD) & Rancangan Struktur Negeri (RSN). Penglibatan daripada orang awam dalam saluran-saluran ini adalah sangat sedikit kerana hebahan mengenainya dibuat melalui platform yang tidak popular dan tidak mendapat perhatian masyarakat. Oleh itu, para aktivis perlu pro-aktif, bertindak sendiri dan peka akan hebahan-hebahan yang dibuat berkenaan pembangunan di sesuatu kawasan.

 

Sebagai rumusan, latihan Aktivis Alam Sekitar ini berjaya dijalankan walaupun jumlah peserta yang disasarkan (masyarakat Kelantan) tidak memberangsangkan. Walau bagaimanapun, jumlah kecil yang hadir dilihat sangat berkualiti kerana mereka mempunyai semangat dan aktif mengelibatkan diri dalam perbincangan.

Post Author: Editor KUASA