BENGKEL PENGHASILAN PRODUK MAKANAN & KRAFTANGAN DARI HUTAN BAKAU
KUALA SELANGOR: Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) telah mengadakan Bengkel Penghasilan Produk Makanan dan Kraftangan Dari Hutan Bakau selama 2 hari 1 malam dari 18 Ogos hingga 19 Ogos 2018 bertempat di Jeti Kelip-Kelip Kampong Kuantan, Kuala Selangor, Selangor. Lawatan telah disertai seramai 29 orang (13 wanita dan 16 lelaki) yang terdiri daripada sukarelawan KUASA dan PIFWA.
Bagi memulakan majlis, pengerusi majlis iaitu Sdr. Nur Hadi Mohamad memberikan ucapan aluan dan taklimat ringkas tentang objektif Program Penghasilan Produk Makanan dan Kraftangan Dari Hutan Bakau. Bagi ucapan aluan dari pengerusi Persatuan Pendayung Kelip-Kelip Kampong Kuantan, Encik Adlan merakamkan penghargaan kepada pihak KUASA sebagai penganjur program ini, kerana sudi berkongsi ilmu tentang penghasilan produk bakau dengan komuniti setempat.
Untuk sesi Pengenalan kepada PIFWA (Penang Inshore Fishermen Welfare Association), aktiviti yang dijalankan oleh NGO, dan sesi soal jawab, peserta telah didedahkan serba sedikit tentang spesies, kebaikan dan fungsi pokok bakau oleh En. Ilias. Selain itu, beliau menerangkan tentang NGO yang ditubuhkan oleh beliau beberapa penduduk setempat di Pulau Pinang iaitu PIFWA serta program-program yang dijalankan sepanjang penubuhannya. Beliau juga menerangkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh beliau sepanjang penglibatan beliau dalam PIFWA.
Seterunya, bagi Demo masakan bagi membuat jem dari buah Berembang oleh PIFWANITA. Puan Siti Hajar menerangkan cara pemprosesan buah Berembang sebelum dimasak untuk dijadikan jem. Pemprosesan buah Berembang dilakukan secara manual sebelum dimasak selama 4 jam dan menjadi produk akhir. Peserta juga diberi peluang untuk mencuba sendiri proses penghasilan jem berembang.
Selanjutnya, untuk demo pembuatan/anyaman atap nipah oleh komuniti setempat & Kelab Inspirasi-KAWA, Puan Zainab wakil komuniti setempat mengajarkan cara penghasilan atap dari daun nipah sebagai salah satu hasil kraftangan penduduk setempat sejak turun temurun. Ia dihasilkan dengan menggunakan bahan seperti tali, buluh dan daun nipah. Atap nipah yang dihasilkan juga mempunyai nilai komersial dan sering mendapat tempahan yang tinggi daripada pihak muzium, hotel, dan kafe sebagai tarikan pengunjung mereka.
Bagi Demo masakan membuat bubur dari buah Berus (pokok bakau putih), kuih lepat dari buah Api-Api dan penghasilan teh dari daun Jeruju oleh PIFWANITA, peserta diberi penerangan tentang proses penghasilan bubur dari buah Berus dan kuih lepat dari buah Api-Api. Puan Siti Hajar menunjukkan demonstrasi masakan bagi menghasilkan kedua-dua produk makanan tersebut, dan para peserta juga diberi peluang untuk mencuba sendiri proses penghasilan kedua jenis produk makanan tersebut.
Untuk taklimat tentang penglibatan FRIM dalam program kajian dan pembangunan serta projek pengolahan hutan bakau. Encik Razak (wakil FRIM) memberikan penerangan tentang projek pengolahan sumber dari hutan bakau seperti penghasilan produk makanan, sumber kayu dan arang dari kayu bakau yang dijalankan secara mampan. Selain itu, pihak FRIM juga menjalankan program kajian dan pembangunan hutan bakau dalam mempelbagaikan lagi produk-produk yang boleh dihasilkan untuk manfaat komuniti setempat
Bagi ucapan dari wakil KUASA, Encik Hafizudin memberikan ucapan pengenalan tentang NGO KUASA, aktiviti yang dijalankan serta sedikit latar belakang penglibatan KUASA dalam perjuangan isu alam sekitar di Malaysia. Encik Adlan sebagai wakil komuniti merakamkan penghargaan kepada penganjur program kerana menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang program dijalankan. Beliau juga berharap akan ada program seumpama yang dijalankan di masa hadapan.
Ucapan oleh Dr. Dzul menekankan betapa pentingnya kita mengetahui dan mempelajari nilai alam sekitar kepada manusia selain memeliharanya. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua individu dan NGO terlibat yang menjayakan program ini, selain memberi jaminan akan terus menyokong program tentang alam sekitar yang akan diadakan pada masa akan datang.
Sebagai rumusan, program ini berjalan lancar dari segi perjalanan program dan kaedah pembelajaran. Pembelajaran secara praktikal atau hands on menarik minat para peserta dari segi penumpuan mereka. Perserta dapat memahami penerangan setiap langkah dalam proses penghasilan produk makanan dengan baik. Kesimpulannya, bengkel ini telah berjaya untuk menambah ilmu pengetahuan orang awam dalam ilmu-ilmu pengolahan sumber hutan untuk memupuk kesedaran dan menggerakkan aktivisme alam sekitar sebagai salah satu langkah pemeliharaan dan pemuliharaan.