Pada 7-9 September 2018 yang lalu, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) telah menjayakan sebuah lagi program bersiri Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK 4.0) kali yang ke empat bertempat di Min House Camp dengan tema kali ini tertumpu kepada isu kemusnahan hutan di negeri Kelantan Darul Naim.
Program ini telah disertai oleh hampir 40 orang peserta yang terdiri daripada pelajar universiti, masyarakat awam, wakil NGO seperti WWF, aktivis Sosial & Politik Kelantan.
Sesi pembukaan dimulakan dengan Encik Hafizudin selaku pengarah projek merangkap Pengerusi KUASA menerangkan sistem pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia. Peserta juga didedahkan dengan realiti kemusnahan hutan & biodiversiti yang kian meruncing di Malaysia. Seterusnya, beliau menjelaskan isu-isu alam sekitar di negeri Kelantan dan pengalaman beliau sebagai aktivis alam sekitar dari NGO berhadapan dengan isu-isu tersebut.
Encik Meor Razak dari NGO Sahabat Alam Malaysia pula meneruskan pembentangan dengan menjelaskan pengkelasan hutan di Malaysia, projek pembangunan ladang hutan, pengurusan hutan di Kelantan dan dasar perhutanan negeri. Para peserta memberi perhatian penuh dan aktif bersoal jawab dalam sesi soal jawab & perbincangan kerana bagi kebanyakan mereka, maklumat yang dibentangkan oleh Encik Hafizudin & Encik Meor ialah sesuatu yang baru.
Pada hari kedua program, slot pagi dimulakan dengan Encik Dendi, seorang aktivis orang Asli Gua Musang di mana beliau memulakan sesi dengan menayangkan video pendek oleh Al-Jazeera & kiniTV mengenai isu-isu hak asasi & alam sekitar yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli di Gua Musang.
Seterusnya, beliau mula menceritakan kronologi isu pembalakan di kawasan tanah adat dan wilayah masyarakat beliau. Projek pembalakan di kawasan berikut ialah sah dan diluluskan oleh kerajaan negeri Kelantan bagi program pembangunan ladang hutan.
Masyarakat Orang Asli Gua Musang telah membantah melalui pelbagai saluran namun tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri sehingga mereka bersepakat untuk mendirikan blockade bagi menghalang kemasukan jentera pembalakan oleh pemaju.
Encik Dendi juga berkongsi masalah-masalah yang mereka hadapi untuk memperjuangkan kawasan tanah adat & wilayah mereka – tentangan daripada golongan tua yang sudah sebati dengan arahan JAKOA, keadaan kewangan, masa bersama keluarga yang perlu diimbangkan dan liputan berita oleh media yang terpesong.
Terdapat peserta yang beremosi dengan perkongsian daripada Encik Dendi, lebih-lebih lagi mereka yang baru pertama kali mendengar permasalahan mengenai kehidupan Orang Asli di Gua Musang.
Pada sesi perbincangan, peserta aktif memberikan pendapat, motivasi dan cadangan mengenai masalah yang dibawa oleh Encik Dendi.
Bagi slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK), para peserta dipecahkan mengikut kumpulan-kumpulan (aktivis alam sekitar, NGO, ahli akademik/pakar, environmentalist, komuniti) dan berbincang untuk mendapatkan penyelesaian mengikut perspektif kumpulan-kumpulan berikut.
Peserta juga perlu mengemukakan penyelesaian dan memberi justifikasi kepada hujah mereka di dalam slot debat “Majlis Pendengaran Awam” yang akan diadakan pada slot seterusnya.
Dalam sesi debat ini, tetapan situasi adalah satu Majlis Pendengaran Awam di negeri Kelantan tentang projek pembalakan yang diluluskan oleh kerajaan negeri Kelantan yang mendapat bantahan daripada komuniti orang asli, environmentalist & aktivis kerana ia berlaku di atas tanah adat & wilayah orang asli.
Bagi watak Menteri Besar, wakil syarikat pembalakan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri – dibawakan oleh aktivis alam sekitar yang sudah masak dengan kerenah dan ragam kerajaan negeri, syarikat pembalakan dan agensi teknikal negeri berikut.
Kumpulan-kumpulan yang membantah pula akan dibawa oleh peserta yang telah dipecahkan mengikut kumpulan dan sudah berbincang pada slot sebelum ini.
Atas faktor kekurangan fakta, kumpulan aktivis, komuniti dan environmentalist tidak dapat berhujah dengan baik dan hujah mereka sering dipatahkan oleh Menteri Besar, wakil syarikat pembalakan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri.
Kesimpulan bagi slot ini, debat dan ‘mock trial’ berjalan lancar namun hujahan daripada kumpulan aktivis, komuniti & environmentalist yang lemah jelas menunjukkan peserta masih belum memahami sistem pengurusan hutan, rangka hak komuniti & alam sekitar dan realiti pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang mengharapkan pembalakan sebagai sumber ekonomi utama.
Bagi sesi malam pula, aktivis alam sekitar & politik negeri Kelantan dijemput bagi sesi perbincangan tentang rumusan analisis permasalahan dan pengenalpastian punca induk kemusnahan hutan & biodiversiti di Kelantan. Encik Hisyamuddin Ghazali atau dikenali sebagai Syam Ghaz dan Khairul Nizam (Aduka Taruna) dijemput membentangkan isu dan realiti sebenar dari kaca mata rakyat Kelantan tentang kelemahan pengurusan ekonomi negeri yang mengundang kepada eksploitasi alam sekitar besar-besaran. Jelas daripada diskusi ini, pihak kerajaan negeri mahupun pusat perlu menggembleng tenaga bagi memikirkan pembangunan dan ekonomi Kelantan yang lebih lestari di masa depan.
Hari terakhir dimulakan dengan Encik Hafizudin membentangkan cara-cara untuk orang awam memantau alam sekitar dengan lebih berkesan melalui saluran-saluran sedia ada di bawah peruntukan undang-undang sedia ada. Tidak ramai yang menyedari teknik bantahan (membantah apabila projek sudah diluluskan & tidak mengikut saluran/platform yang betul) dan fakta mereka adalah salah dan hal ini menyebabkan bantahan ini sering diperlekehkan oleh kerajaan negeri. Oleh itu, penting bagi orang awam terutamanya aktivis baru untuk memahami kaedah-kaedah penyertaan dalam bantahan mengikut saluran yang betul.
Encik Meor Razak pula menerangkan satu persatu saluran-saluran yang boleh dicuba oleh orang awam & aktivis dalam proses mendapatkan kelulusan bagi satu-satu projek – Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Rancangan Tempatan Daerah (RTD) & Rancangan Struktur Negeri (RSN).
Sangat sedikit partisipasi daripada orang awam dalam saluran-saluran ini kerana hebahan mengenainya dibuat melalui platform yang tidak popular dan tidak mendapat perhatian masyarakat. Oleh itu, para aktivis perlu pro-aktif, bertindak sendiri dan peka akan hebahan-hebahan yang dibuat berkenaan pembangunan di sesuatu kawasan.
Para peserta turut mengakui mereka langsung tidak menyedari wujudnya saluran-saluran ini, apatah lagi hebahan mengenainya yang dibuat di medium yang langsung tidak diberi perhatian.
Bagi sesi penutup, peserta telah memberikan pandangan & analisis mereka sendiri terhadap sistem pengurusan hutan & situasi alam sekitar di Malaysia. Kebanyakan peserta dapat memberikan pandangan & analisis yang bagus yang jelas menunjukkan pemahaman mereka terhadap pengisian program. Majlis diteruskan dengan acara penyampaian sijil dan bergambar sebelum program tamat dan peserta bersurai.
Secara kesimpulannya, Latihan Aktivis Alam Sekitar ini berjaya dijalankan walaupun jumlah peserta yang disasarkan (masyarakat Kelantan) tidak memberangsangkan. Walau bagaimanapun, jumlah kecil yang hadir dilihat sangat berkualiti kerana mereka mempunyai semangat dan aktif mengelibatkan diri dalam perbincangan.