IPOH 9 April – Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan Alam Sekitar telah menganjurkan program kelas pengurusan kualiti air pada hari Sabtu & Ahad yang lalu bertempat di Ipoh dan Sungai Kinta, Perak. Program ini turut disokong oleh Global Environmental Facilities di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP-GEF-SGP). Hampir 20 orang peserta telah menyertai kelas ini yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda, pelajar dan aktivis alam sekitar tempatan.


Kelas kali ini telah menjemput tenaga pengajar dari Unversiti Teknologi Malaysia, Profesor Maketab Mohamed (gambar), seorang pakar dalam bidang pengurusan kualiti air nasional dan seorang environmentalis yang sering membantu komuniti tempatan dalam memantau kualiti sungai mereka.

Menurut Presiden KUASA Hafizudin Nasarudin, (gambar) kelas ini adalah sebahagian daripada inisitif program “Kelas Alam Sekitar” bulanan yang diperkenalkan oleh KUASA bagi memberikan pendidikan kepada orang ramai khususnya warganegara yang prihatin terhadap alam sekitar yang berminat mempelajari disiplin-disiplin pengurusan alam sekitar dengan lebih mendalam lagi lalu mengambil tindakan yang proaktif dalam memantau dan melindungi alam sekitar kita.
“Program ini juga bermatlamat bagi memudahkan dan ’merakyatkan’ ilmu alam sekitar yang selalunya kompleks dan hanya boleh didapati dari jurnal saintifik, kursus-kursus teknikal, kolej dan universiti” tambahnya lagi.
Kelas alam sekitar kali ini terbahagi kepada pembelajaran dalam dan luar darjah. Pembelajaran teori termasuklah pengenalan kepada kuaiti air, memahami Standard Kualiti Air Nasional dan Indeks Kualiti Air, dan pembelajaran parameter air dari segi sifat kimia, biologikal dan fizikal.

Bagi pembelajaran lapangan pula, peserta telah dibawa ke 3 kawasan hulu, pertengahan dan hilir Sungai Kinta iaitu di Hutan Lipur Ulu Kinta (Hulu), Kinta Riverfront Ipoh (Pertengahan) dan Kawasan Perindustrian Lahat (Hilir). Bagi slot ini, para peserta didedahkan dengan teknik mengukur kualiti sungai secara in-situ. Parameter yang diambil termasuklah Oksigen Terlarut (DO), konduktiviti, kemasinan dan suhu air.


Slot yang terakhir pada hari kedua melibatkan aktiviti dalam kumpulan bagi membincangkan hasil keputusan kualiti air tersebut.

Daripada hasil pengukuran di ketiga-tiga tempat yang berbeza tersebut, jelas menunjukkan kawasan hulu Sungai Kinta masih lagi bersih daripada pencemaran dengan berada di bawah kategori Kelas 2a (Bersih). Namun di kawasan hilirannya, bacaan pencemaran sungai semakin meningkat masing-masing di bawah Kelas 3 (sedikit tercemar) dan 4 (sangat tercemar) bagi kawasan pertengahan dan hiliran akibat daripada pelbagai aktiviti manusia termasuk kawasan industri, perumahan, perladangan, sisa kumbahan dan pembuangan sampah yang tidak dikawal dan diuruskan dengan baik.
Kelas juga telah membincangkan tentang isu semasa dalam pengurusan kualiti air nasional dan bagaimana orang awam dan NGO boleh mengambil peranan dalam memantau sungai sekeliling secara praktikal, mengambil sampel dan melaporkan sebarang insiden pencemaran sungai.
Kelas diakhiri dengan peserta ditunjukkan video sungai terbaik yang boleh menjadi inspirasi kepada Malaysia iaitu Sungai Kamo di bandar Kyoto, Jepun yang masih mengekalkan status sungai Kelas 1 di mana airnya sangat bersih dan jernih sehingga menjadikan ia sebagai tempat tarikan pelancongan yang besar.

Kesimpulannya, program ini diharapkan akan menambahkan lagi pengetahuan serta kesedaran awam terhadap pentingnya nilai konservasi sungai dan peserta telah merangka beberapa pelan tindakan jangka masa panjang untuk menjalankan kempen penjagaan sungai khususnya di Bandaraya Ipoh dan sekitar Perak dengan lebih efektif dan proaktif lagi menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan juga orang awam.
KUASA akan meneruskan lagi siri Kelas Alam Sekitar bulanan ini di bulan seterusnya dengan tajuk-tajuk alam sekitar yang lain.
Orang awam yang berminat menyertai aktiviti dan program alam sekitar kami bolehlah menghubungi kami pada alamat emel: admin@kuasaperak.org
Laporan disediakan oleh,
Siti Hawa Abd Wahid
(Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA)
