NGO KUASA Anjurkan Projek Pembinaan Tapak Semaian Komuniti Batu 3, Segari

SEGARI: Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) telah mengadakan Projek Pembinaan Tapak Semaian Komuniti Batu 3, Segari selama 3 hari 2 malam (1-3 Mac 2019). Lawatan telah disertai seramai 73 orang (13 lelaki & 11 perempuan) yang terdiri daripada sukarelawan KUASA, Komuniti Kampung Batu 3 dan pelajar UIA, UMT, UNITEN & Al-Madinah International University.

 

Untuk penerangan program dan pembahagian kumpulan, peserta tiba di penginapan Chalet Nelayan 3. Selepas mendaftar dan makan malam, peserta dan komuniti Kampung Batu 3 Segari berkumpul di dewan untuk  taklimat mengenai aktiviti yang akan berlangsung selama 3 hari ini.

 

Bagi acara pembukaan, Encik Hafizudin memulakan sesi dengan memperkenalkan KUASA dan pengalaman KUASA dalam bekerjasama dengan komuniti tempatan sebelum ini. Seterusnya beliau membentangkan latar belakang projek dan menerangkan setiap skop tugasan bagi aktiviti sepanjang program. Tugasan dibahagikan kepada 3 dan peserta dibahagikan mengikut kumpulan tugasan yang dipilih oleh mereka.

 

Bagi penyediaan tapak semaian, kumpulan ini menjalankan kerja-kerja pembinaan struktur tapak semaian. Antara kerja-kerja yang dijalankan ialah meratakan kawasan tanah lumpur, mengukur & menanda lubang untuk tiang, menggali lubang, menyimen lubang yang telah dimasukkan tiang & memastikan struktur binaan mengikut piawaian & selamat.

 

Untuk Aktiviti Pencarian Benih & Anak Pokok Bakau ini diselia oleh Dr. Rozi daripada UIA (Sains Tumbuhan). Beliau dibantu oleh Pak Manje (komuniti Kampung Batu 3) yang menunjukkan jalan sepanjang hutan bakau untuk mencari benih-benih bakau yang luruh ke tanah. Selain mencari benih & anak pokok, Dr. Rozi juga sempat mengambil beberapa  spesies contoh bakau untuk dikaji di makmalnya di UIA.

 

Bagi aktiviti memindahkan tanah ke dalam polybag, kumpulan ini ditugaskan untuk memindahkan tanah-tanah lumpur yang ada ke dalam polybag untuk proses semaian benih & anak pokok. Tanah yang digunakan adalah daripada terusan irigasi & kawasan yang diratakan untuk tapak semaian.

 

Untuk aktiviti menyemai benih dan anak pokok, selepas kumpulan yang mencari anak benih kembali ke tapak semaian, benih & anak pokok disemai di dalam polybag yang ada. Anggaran 500 pokok berjaya disemai pada hari pertama.

 

 

Aktiviti pembinaan tapak semaian, pembinaan ini hanya dapat disiapkan sebanyak 70% kerana masa yang tidak mencukupi untuk memasang bumbung jaring dan pagar. Aktiviti ini disambung pada minggu hadapan oleh beberapa orang sukarelawan KUASA serta penduduk kampung.

 

Bagi aktiviti memindahkan tanah ke dalam polybag, kumpulan ini meneruskan kerja mereka bagi menyediakan polybag berisi tanah bagi kumpulan yang menyemai benih dan anak pokok.

 

Untuk aktiviti menyemai benih & anak pokok, benih dan anak pokok yang disemai pada hari sebelumnya menunjukkan tanda-tanda kelayuan kerana tidak diletakkan di bawah teduhan dan perlu disiram. Namun, keadaan air yang surut menyukarkan proses siraman kerana kumpulan ini perlu masuk ke dalam lumpur bakau sehingga ke paras pinggang untuk memindahkan air ke dalam besen seterusnya menyiram pokok-pokok agar tidak melecur serta layu.

 

Sebagai rumusan, program “Projek Pembinaan Tapak Semaian Komuniti Batu 3, Segari” berjalan dengan lancar. Pembinaan struktur tapak semaian berjaya disiapkan 70% dan jumlah pokok yang berjaya disemai ialah 832 anak pokok. Pembinaan tapak semaian disambung pada minggu seterusnya oleh beberapa orang sukarelawan KUASA dan penduduk kampung. Perasmian tapak semaian akan dibuat pada bulan Jun.

Post Author: Editor KUASA