SPRM bentuk EPACC tangani rasuah

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentuk Kokus Perlindungan Alam Sekitar dan Antirasuah (EPACC) bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar alam sekitar bagi membanteras rasuah dah penyalahgunaan kuasa dalam isu alam sekitar.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, ia hasil perbincangan meja bulat yang diadakan hari ini dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad untuk membincangkan dan berkongsi maklumat berhubung isu-isu rasuah berkaitan alam sekitar.

Antara NGO serta pakar yang terlibat dalam perbincangan tersebut ialah Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA); Rimba Research; Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA); Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pusat Sains dan Alam Sekitar (KIAS) serta Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

“Kesemua pihak terlibat bersetuju menjalinkan satu rangkaian kerjasama strategik lebih erat dalam usaha perkongsian maklumat serta membendung dan memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam isu melibatkan alam sekitar di negara ini,” kata kenyataan itu.

Katanya, pendekatan kerjasama bersepadu dan berterusan itu dipercayai akan dapat membanteras aktiviti pembalakan haram, pencemaran sungai dan ekosistem, penerokaan tanah secara haram serta mengelak kejadian tidak diingini seperti banjir dan hakisan tanah daripada terus berulang.

“Sudah tiba masanya kerjasama strategik ini dibentuk bagi memastikan perhatian yang lebih serius diberikan terhadap isu-isu berkaitan pencabulan alam sekitar dan dalam masa sama memastikan tindakan segera diambil SPRM terhadap mereka yang terlibat rasuah dan salah guna kuasa melibatkan alam sekitar,” kata kenyataan itu. – Bernama

Post Author: Editor KUASA