Hari Wanita 2017: Wanita & Alam Sekitar

Hari ini 8 Mac, adalah sambutan bagi Hari Wanita Sedunia. Setiap tahun, hari wanita disambut di seluruh dunia sebagai simbolik memperingati peranan penting kaum wanita dalam membangunkan dunia dan perjuangan mereka mendapatkan hak dan autonomi dalam bidang sosial, ekonomi dan politik.

Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA, sebagai sebuah pertubuhan yang memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan alam sekitar tidak pernah ketinggalan dalam mengiktiraf wanita sebagai nadi dan kekuatan kami dalam menjalankan usaha pendidikan, konservasi dan inisiatif bakti alam yang lain. Kami mengiktiraf bahawa wanita memainkan peranan yang paling besar dalam melindungi dan mensejahterakan alam sekitar kita.

Keterlibatan kaum wanita dalam alam sekitar khususnya daripada masyarakat akar umbi yang berada di luar bandar, komuniti orang Asli, wanita di bawah jalur kemiskinan, ibu tunggal dan kebanyakan wanita kelas pertengahan secara fundamentalnya amatlah signifikan.

Namun masih terdapat banyak lagi aspek yang masih lemah dan perlu diberikan perhatian. Realitinya, sepanjang penglibatan kami dalam perjuangan memulihara dan memelihara alam sekitar, kaum wanita luar bandar misalnya sering dikecualikan daripada terlibat dalam proses pembuatan keputusan terhadap hak mereka untuk mengakses sumber-sumber asli yang penting dan kritikal dalam urusan kehidupan seharian mereka.

Misalnya, bagi setiap dasar, perancangan dan keputusan yang ingin dibuat ke atas wilayah sumber dan persekitaran mereka terutamanya daripada projek-projek pembangunan yang tidak mampan; ia sering tidak melibatkan konsultansi menyeluruh daripada kaum wanita yang selalunya merekalah golongan yang akan paling terjejas sekali akibat daripada impak kemusnahan alam sekitar khususnya kepada golongan suri rumah, ibu tunggal, dan wanita yang membuat kerja tani, nelayan dan yang mencari sumber rezeki daripada alam.

Wanita luar bandar sangat bergantung secara langsung kepada sumber biojisim seperti sumber perhutanan, tanaman pertanian, sumber makanan laut, sungai dan sebagainya untuk urusan kehidupan harian dan keluarga mereka. Justeru, Ia adalah penting untuk memberikan hak kepada wanita untuk partisipasi dalam proses pembuatan keputusan; dengan memberi penghakupayaan (empowerment) kepada mereka untuk bertindak, membuat keputusan dan hak untuk mengakses segala informasi terhadap apa-apa projek atau aktiviti yang bakal menjejaskan sumber mereka.

Dalam konteks hari ini, kemusnahan alam sekitar seperti bencana banjir, bencana ladang hutan, penambakan, kebakaran hutan, industri tidak mampan, perampasan tanah, kemusnahan hutan tradisi, sumber makanan tradisional semakin berkurangan dan kemerosotan kualiti & kuantiti bekalan air; ia semuanya melibatkan kerugian besar dari segi sumber makanan & pendapatan seharian kepada kaum wanita khususnya golongan suri rumah, petani dan kelompok-kelompok berkaitan.

Kajian antarabangsa daripada badan antarabangsa PBB Food & Agricultural Organization – FAO telah membuktikan bahawa kenaikan harga barang mentah, kos sara hidup dan akses kepada sumber makanan semulajadi semakin berkurangan terjadi akibat degradasi alam sekitar dan ia telah memudaratkan kehidupan rakyat biasa dan miskin, khususnya kepada wanita, warga emas dan kanak-kanak di mana ia sekaligus mengakibatkan kualiti kesihatan kelompok ini merosot; satu angka yang lebih teruk daripada kaum lelaki.

Tuntasnya polisi dan demokrasi alam sekitar harus diperkukuhkan bagi memberi ruang kepada impak signifikan daripada penghakupayaan, ekualiti dan ekuiti gender ini.

Ia adalah penting untuk menyatakan bahawa kemerosotan biodiversiti bukan hanya menjejaskan kebajikan, material dan kualiti kehidupan manusia; ia juga merencatkan akses kepada keselamatan, daya tahan, hubungan sosial, kesihatan dan kebebasan untuk memilih, bertindak dan berekspresi. Dan sudah tentu, wanita adalah golongan dominan yang bakal terjejas daripada perkara ini.

Bagi KUASA sendiri, kami sedang bermuhasabah dan berusaha untuk memfokus dan mengangkat wanita sebagai pemain penting dalam mengekalkan warisan khazanah alam yang kita cintai. Antara inisiatif kecil kami termasuklah membina kapasiti wanita khususnya daripada generasi remaja atau anak muda dengan memberikan mereka pendedahan, partisipasi dan pendidikan dalam setiap aktiviti dan projek yang kami jalankan.

Dalam setiap projek yang kami rancang juga secara jelas perlu menjamin dan memperbanyakkan lagi penyertaan seimbang antara gender. Ini dalam rangka usaha kami untuk melihat agar lebih ramai lagi kaum wanita khususnya generasi muda dan luar bandar untuk ke hadapan lagi dalam memimpin isu dan masyarakat bagi sektor alam sekitar di masa hadapan, bukan sekadar menjadi pemerhati dan pengikut.

Setakat ini, antara program dan aktiviti yang kami telah laksanakan seperti siri penganjuran Kem Keamanan Alam Sekitar (KEMAS), Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK), program-program forum, seminar, tinjauan isu dan siri-siri program konservasi yang kami lakukan, kami cuba membina sendiri upaya kaum wanita dan pendedahan untuk mempelajari perkara baru, ia sekaligus diharap mampu memberikan dimensi baru dan memberikan ruang kepada mereka untuk merubah, memimpin, bertindak dan melaksanakan segala tindakan dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar kita.

Untuk wanita luar bandar pula, dalam rangka usaha advokasi kami bersama komuniti masyarakat akar umbi seperti Orang Asli, nelayan, petani dan penduduk luar bandar secara umumnya, kami amat berharap dapat menarik penyertaan kaum wanita sebagai tunjang utama, untuk memimpin dan berada di dalam posisi penting dalam jawatankuasa komuniti perancang & bertindak bagi merealisasikan hasrat di atas.

Selain itu di masa hadapan kami juga berharap dapat membina kapasiti wanita luar bandar supaya mereka juga mampu menjadi bertindak sesuatu seperti menjadi eko-usahawan dengan menjana sumber sosioekonomi daripada penghasilan produk makanan daripada hutan bakau, produk makanan laut, herba, kraftangan dan sumber-sumber “non-timber/wooden forest production” yang lain. Ia sekaligus mampu menyanggah stereotaip dan hegemoni patriarki kononnya bahawa kaum wanita tidak mampu membuat apa-apa, fungsinya hanya sekadar berada di barisan belakang dan hanya bertindak sebagai penyokong kepada perjuangan kaum lelaki sahaja.

Mudah-mudahan sempena hari wanita ini, ia dapat menjadi hari yang simbolik kepada penghargaan dan pengiktirafan kita terhadap kaum wanita yang telah banyak berjasa dan memainkan peranan penting dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik. Penghargaan dan dedikasi khas juga buat kaum wanita yang selama ini telah berkorban, berjuang dengan tabah dan cekal dalam memperjuangkan isu alam sekitar, kemusnahan warisan khzanah alam, degradasi alam sekitar, kemerosotan sumber makanan, pertanian dan sebagainya.

HAFIZUDIN NASARUDIN

Presiden

#KUASA

#KUASAKepadaWanita

#KUASAKepadaRakyat

#EmpowerWomen

#PeoplePowerNow

Post Author: Editor KUASA