LASAK 2.0 berjaya menarik penyertaan anak muda dalam aktivisme alam sekitar

Pada 10-12 November yang lalu, Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA telah menjayakan Program Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK) bilangan kedua bagi tahun 2017 di kawasan Utara Perak. Antara kawasan yang telah menjadi lokasi kajian lapangan termasuklah Lembah Beriah, Hutan Pondok Tanjung, Rizab Tasik Bukit Merah, Kampung Selamat, Hutan Kelip-Kelip Kampung Dew, Bukit Berapit dan Rizab Hidupan Liar Chior.

Rata-rata peserta terdiri daripada:

1. Bawah 20 tahun (3), Berumur 21-30 tahun (31), Berumur 31-40 tahun (4), Berumur 51-60 tahun (2)
2. Jantina: Lelaki (17), Perempuan (23)
3. Pelajar IPTA/IPTS (20), Pelajar Sekolah (3), Kakitangan Kerajaan/Swasta/Sendiri (17).

Acara program dimulakan di Stadium Mini Bagan Serai dengan sesi pengenalan diri dan bacaan doa.

Slot 1: Pembelajaran ekosistem hutan paya gambut

Bagi slot pertama, ia melibatkan aktiviti pembelajaran mengenai ekosistem hutan paya gambut di Lembah Beriah yang terletak di daerah Kerian. Para peserta LASAK diberi penerangan oleh Dr Nurul Salmi (USM) dan En Meor Razak (Sahabat Alam Malaysia( mengenai kepentingan hutan paya gambut di Lembah Beriah dan masalah yang dihadapi di kawasan ini. Ini kerana hutan paya gambut amat penting kepada sistem ekologi alam sekitar disamping menjadi kawasan tadahan air yang dapat mengawal banjir.

Kawasan hutan paya gambut Lembah Beriah bukan sahaja penting sebagai kawasan tadahan air tetapi kaya dengan khazanah alam yang belum diteroka. Ini kerana, hutan tersebut pernah menjadi kawasan kajian bagi pasukan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 20 tahun lepas yang membawa kepada beberapa penemuan spesies termasuk ikan kedua terkecil di dunia pada tahun 2006. Namun begitu, di Lembah Beriah ini, sebahagiannya telah ditebus guna untuk projek pembangunan termasuk pembinaan Bandar Baru Lembah Beriah dan projek tanaman kelapa sawit. Sebelum bergerak ke lokasi seterusnya, para peserta di bawa mengelilingi kawasan perumahan di kawasan ini yang mana para peserta dapat melihat sendiri rumah penduduk yang mengalami kerosakan akibat daripada mendapan tanah.

Slot 2: Pembelajaran Fungsi Hutan Tadahan Air

Di sini para peserta diberi penerangan mengenai sistem dan fungsi hutan tadahan air. Hutan Simpan Pondok Tanjung ini berfungsi sebagai kawasan zon penampan untuk menyimpan air pada musim kemarau dan apabila Empangan Bukit Merah menyusut, air dari sini akan mengalir ke dalam kolam takungan. Malangnya, pencerobohan kawasan hutan simpan di kawasan ini untuk aktiviti pertanian telah menjejaskan fungsi hutan tersebut.

Pencerobohan tersebut juga menyebabkan ekosistem pemendapan di dasar tasik menjadi cetek dan apabila hujan lebat ia menyebabkan banjir kerana pokok yang menjadi penampan air telah ditebang. Pada masa yang sama, kira-kira 1,400 hektar hutan simpan Pondok Tanjung telah dinyahwartakan untuk Projek Ternakan Kambing Boer Nasional.

Slot 3: Tinjauan aktiviti penerokaan haram

Para peserta dibawa ke sini untuk melihat dan meninjau sendiri penorakaan haram yang berlaku yang memusnahkan kawasan rizab tasik. Kawasan ini agak jauh dari jalan raya utama. Perjalanan mengambil masa hampir 45 minit. Apabila tiba, peserta perlu melalui kawasan berlumpur pula untuk ke kawasan rizab tasik. Di sini, peserta dapat melihat kawasan rizab tasik yang ditukar fungsi kepada kawasan pertanian secara haram. Antara tanaman yang terlibat ialah kelapa sawit dan ladang limau.

Slot 4: Menikmati ‘sunset’ di pinggir Tasik Bukit Merah

Peserta berehat dan solat asar sebentar di Masjid Kampung Selamat. Kemudian bergerak ke kawasan Kampung Selamat Tasik Bukit Merah. Tujuan utama para peserta LASAK di bawa ke sini ialah untuk melihat sendiri perbezaan di antara keadaan semasa dengan ketika Tasik Bukit Merah dilanda kemarau pada awal tahun lepas (2016).

Slot 5: Aktiviti melihat kelip-kelip dan pembelajaran ekologi Kelip-Kelip

Bagi slot malam pula, para peserta dibawa menaiki bot dan menyelusuri sungai untuk melihat kelip-kelip. Pada sesi ini, taklimat disampaikan oleh Dr.Nurul Salmi dan En Shukur dari KECAP tentang ekosistem kelip-kelip yang terdapat di Kampung Dew.

Selepas tinjauan, program diteruskan dengan sesi perbincangan dalam kumpulan tentang ekologi kelip-kelip.

Slot 6: Tinjauan eko-kemusnahan di Sungai Sepetang

Selesai bersarapan di Jeti Kampung Dew, para peserta dibahagikan kepada tiga buah boat dan dibawa menelusuri Sungai Sepetang bagi melihat sendiri dengan lebih dekat dua buah kawasan yang terlibat di dalam insiden pencerobohan rizab sungai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Penerangan disampaikan sendiri oleh Pak Wahab iaitu sebagai wakil daripada KECAP tentang isu pembukaan kolam udang, pencerobohan rizab sungai dan penerokaan haram oleh pihak estet yang tidak bertanggungjawab

Slot 7: Perbincangan kumpulan

Apabila tiba semula ke Jeti Kampung Dew, para peserta dikehendaki membentuk satu bulatan besar. Di sini, satu sesi perbincangan dan perkongsian telah diadakan bagi mendapatkan maklum balas daripada semua peserta berkenaan aktiviti LASAK yang telah dijalankan. Di dalam sesi ini, partisipasi peserta adalah amat menggalakkan.

Misalnya saudara Uzeir mengutarakan berkenaan kelemahan penguatkuasaan daripada pihak berwajib. Ong dari USM pula melihat perlunya hubungan yang erat di antara komuniti di kawasan yang terjejas dengan NGO alam sekitar dengan mengambil contoh di Kampung Dew. Izzuddin dari USM pula mengutarakan akan pentingnya pendidikan dan latihan komuniti setempat. Hal ini kerana supaya masyarakat lebih peka dan bijak dalam mengutarakan isu berkaitan alam sekitar. Miera dari UM pula berkata bahawa sebelum ini beliau hanya mempelajari tentang kemusnahan ekosistem di dalam kelas sahaja. Tetapi apabila turun sendiri ke lapangan, dapat memahami dengan lebih jelas.

Perbincangan seterusnya diteruskan oleh saudara Hafiz  (Presiden KUASA) menerangkan dengan lebih lanjut berkaitan KUASA dan aktiviti-aktiviti teras yang menjadi perjuangan KUASA.

Slot 8: Tinjauan Pencerobohan di Bukit Berapit

Seterusnya para peserta di bawa ke Hutan Simpan Bukit Berapit. Dengan diketuai oleh En Meor Razak, para peserta di bawa sendiri meninjau keadaan sebenar Hutan Simpan Bukit Berapit. Walaupun pada luarannya Nampak seperti tiada sebarang masalah, tetapi hakikatnya aktiviti penerokaan hutan simpan ini untuk aktiviti pertanian sedang rancak dijalankan. Namun, persoalan utama yang cuba disampaikan di sini ialah berkenaan penguatkuasaan yang lemah daripada pihak berkuasa. Walaupun telah berkali dibuat aduan, namun boleh dikatakan tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berwajib.

Slot 9: Tinjauan eko-kemusnahan dan penyahwartaan di Rizab Hidupan Liar Chior

Perjalanan yang mengambil masa hampir setengah jam, akhirnya para peserta tiba di Rizab Hidupan Liar Chior yang terlatak di Sungai Siput Perak. Asalnya, persekitaran Rizab Hidupan Liar Chior merupakan kawasan yang dilitupi hutan sekunder, namun telah ditukar guna kepada tanah untuk pertanian untuk tujuan penanaman kelapa sawit.

Rizab Hidupan Liar Chior adalah kawasan perlindungan semulajadi darat yang pertama ditubuhkan di Malaysia iaitu pada 1903 dan digazet semula pada 1910. Kawasan yang sama juga telah diwarta sebagai hutan simpan kekal iaitu sebahagian daripada Hutan Simpan Korbu pada 1914.

Menurut Meor Razak, walaupun kawasan rizab hidupan liar tersebut diurus oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia tetapi ia terletak di dalam hutan simpan kekal. Di sini, apa yang cuba disampaikan ialah tentang peranan dan kuasa yang dimiliki oleh kerajaan negeri di dalam membuat keputusan. Ini kerana, Rizab Hidupan Liar Chior telah dimansuhkan statusnya dan ditukar kepada kawasan pertanian bagi penanaman kelapa sawit secara sepenuhnya.

Keadaan ini bukan sahaja memusnahkan habitat semualajadi hidupan liar, malah menjejaskan mata pencarian masyarakat orang asli setempat yang bergantung sepenuhnya dengan hasil hutan di kawasan tersebut. Slot terakhir ini walaupun dirancang berakhir pada pukul 6.00pm pada awalnya tetapi berakhir pada pukul 6.30pm. Tepat pukul 6.30pm, para peserta bersurai dan pulang ke destinasi masing-masing.

Kesimpulan

Seperti yang sedia maklum, LASAK 2.0 merupakan latihan yang bersifat aktiviti luar yang mana para peserta akan dibawa turun ke lapangan untuk meninjau sendiri kawasan yang terjejas. Oleh itu program ini sedikit sebanyak memberikan gambaran dan pengalaman sebenar tentang isu alam sekitar kita sekaligus memberikan ruang kepada para peserta untuk mengambil tindakan selanjutnya. Setiap peserta LASAK 2.0 akan menjalani proses ‘follow up’ tentang adakah mereka akan meneruskan minat dalam aktivisme alam sekitar dan apakah perkara yang mampu mereka sumbangkan.

Pihak KUASA ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peserta dan khususnya pihak yang menjayakan program ini terutamanya Dr. Nurul Salmi dari USM, En. Meor Razak (SAM), En. Shukor Ishak dan Pak Wahab (Kampung Dew) dan aktivis KUASA yang lain.

Laporan disediakan oleh: Faizal Matalib (Setiausaha Program)

Post Author: Editor KUASA