Gabungan NGO Rakan Segari desak kerajaan Perak selesai 13 isu kerosakan alam sekitar di Segari

LUMUT, 25 APR: Kerajaan negeri Perak digesa supaya menyelesaikan segera 13 isu kerosakan alam sekitar di kawasan persisiran pantai Segari Daerah Manjung yang merupakan kawasan hutan persisir pantai dan pendaratan penyu di negeri itu.

Gesaan ini dibuat ekoran kemusnahan alam sekitar melampau yang mengancam ekosistem di kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 tersebut melibatkan banyak aktiviti berasaskan keuntungan seperti kuari, pemusnahan hutan paya bakau untuk penternakan komersil dan sebagainya.

Sehubungan itu, Rakan Segari yang merupakan gabungan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan komuniti prihatin mengenai alam sekitar menyenaraikan 13 isu alam sekitar dalam satu sidang media sempena Sambutan Hari Bumi di Hutan Lipur Pasir Panjang Segari, iaitu:

1) Cadangan dua projek industri di Kwasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1

2) Pemusnahan hutan paya bakau

3) Kawasan pelupusan sisa pepejal Pihak Berkuasa Tempatan

4) Pemusnaha dan eksploitasi Hutan Simpan Segari Melintang

5) Pencerobohan bot pukat tunda

6) Pengurusan sisa pepejal di Teluk Senangin

7) Pengurusan Pusat Pemuliharaan Penyu Pasir Panjang

8) Perlombongan di kawasan perairan

9) Gangguan lalat

10) Kekurangan penyelenggaraan kemudahan asas (infrastruktur) di TEluk Senangin

11) Penternakan babi dan

12) Cadangan loji tenaga nuklear

Noor Ismady Ahmad Radzuan, Penyelaras Rakan Segari, aktivis alam sekitar

Penyelaras Rakan Segari, Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata pihaknya tidak menolak pembangunan tetapi berpendirian supaya setiap pembangunan perlu mengambilkira keutamaan persekitaran dan masyarakat setempat.

“Semua isu yang dibangkitkan Rakan Segari adalah berdasarkan pengumpulan maklumat, kajian kes, rujukan dokumentasi dan aduan. Rakan Segari menyuarakan kebimbangan kerana hampir semua isu yang berlaku telah lama timbul dan masih tidak ada penyelesaian yang memuaskan,” kata beliau.

Menurut Ismady, antara isu utama yang timbul melibatkan cadangan dua projek industri di Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 yang jelas bercanggah dengan dasar dan pelan perancangan fizikal negara (Rancangan Fizikal Negara (RFN).

“Isu pemusnahan hutan paya bakau untuk kegiatan akuakultur dan lain-lain guna tanah juga adalah isu utama yang telah lama diketengahkan tetapi semakin serius dan membimbangkan.

“Isu lain yang serius turut melibatkan pemusnahan dan eksploitasi Hutan Simpan Segari Melintang (HS Segari Melintang) sama ada dimansuhkan sebahagian, penerokaan haram, kuari dan pemgambilan tanah merah sama ada berlesen atau tanpa lesen, pengambilan hasil hutan secara haram dan juga pembalakan haram yang pernah berlaku,” katanya lagi.

Sambutan Hari Bumi Segari anjuran Rakan Segari telah di adakan pada 22 hingga 23 April 2017 disertai kira-kira 40 peserta dari pelbagai pertubuhan alam sekitar, ahli akademik, komuniti setempat dan individu.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah lawatan ke kawasan-kawasan yang terjejas, aktiviti berkhemah dan redah hutan.

Turut sama menganjurkan Sambutan Hari Bumi Segari ialah Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Alam Sekitar (KUASA), Persatuan Rekreasi lam Sekitar Perak (PERASAP), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS), Malaysia Primatological Soceity (MPS), Persatuan Kelip-Kelip Cahaya Amal (KECAP), Green Mahallah Project (GMP-UIA) dan wakil dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Sumber–Roketkini.com

Post Author: Editor KUASA