NGO KUASA bantu penduduk Orang Asli Kampung Kaloi dengan #KebunMandiriOA

GUA MUSANG: Pada 5 hingga 7 Mei 2021 satu Mobilisasi Pra-Program (Pertemuan & dialog dengan komuniti terpilih untuk Kebun Mandiri OA) telah diadakan. Program tersebut dijalankan selama 3 hari bermula dari jam 11.00 pagi (5 Mei) dan tamat pada jam 3.00 petang (7 Mei). Program ini bertempat di Kampung Kaloi, Gua Musang, Kelantan. Program ini juga diketuai oleh Encik Hafizudin Nasarudin. Jumlah peserta yang terlibat adalah seramai 30 orang yang terdiri daripada 20 orang lelaki dan 10 orang perempuan. Beberapa fasilitator juga turut terlibat iaitu Farid Izzeady Amir, Mastura Mazlan dan Hawa Wahid.

Demi mengenali dan melibatkan diri antara kedua belah pihak (KUASA dan orang-orang kampung), KUASA telah melancarkan projek bertajuk #KebunMandiriOA di mana ia untuk membantu masyarakat Orang Asli di Kampung Kaloi mengharungi cabaran semasa pandemik COVID-19.

Menurut Pengerusi NGO KUASA, Encik Hafizudin Nasarudin, projek ini mampu membantu kerana masyarakat Orang Asli di Kampung Kaloi mengalami krisis makanan di mana semasa pandemik, mereka sukar untuk keluar membeli makanan dan barang-barang keperluan.

“Selain itu juga, bekalan makanan daripada hutan semakin berkurangan. Ini adalah kerana isu penebangan hutan yang berleluasa di Gua Musang.

“Dari sudut lain, kami ingin membantu dari segi biodiversiti di sana,” katanya.

Melalui projek ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu dari segi menganalisis keperluan dan jenis tanaman, mengenalpasti tanah pertanian dan juga menjalani pengukuran sistem pengairan untuk Kebun Mandiri OA di Kampung Kaloi.

Dalam pada itu, bagi membolehkan projek ini untuk berjaya, KUASA telah menemubual beberapa penduduk Kampung Kaloi. Diantara maklumat yang dikongsi,  KUASA mendapati terdapat 20 keluarga yang tinggal di kampung ini di mana ia merangkumi 90 orang, masing- masing ada yang bekerja sendiri seperti mencari hasil hutan iaitu rotan, gaharu dan buluh; melombong emas dan bekerja dengan NGO. Keadaan kawasan Kampung Kaloi ini dicirikan oleh hutan sekunder disekeliling, mempunyai sungai kecil yang diberi nama Sg. Sensod, sebahagian daripada hutan telah ditebang secara habis untuk perladangan getah dan kampung baru dibuka pada tahun 2016.

Pada Oktober 2021, setelah mengenali segala punca keresahan penduduk kampung, KUASA mula bertindak dengan membeli segala keperluan, juga membeli anak benih sayur-sayuran untuk bercucuk tanam. Antara jenis tanaman yang diperlukan adalah bawang, kacang panjang, kubis, cili, petola, timun, labu, terung, peria katak dan bendi. Apabila KUASA mendapati penduduk kampung sering mengalami masalah pertanian seperti pertanian benih kerap diserang oleh haiwan liar, serangan ulat, kualiti air yang terjejas, harga ayam dan barangan runcit kian meningkat, membuatkan KUASA mencadangkan beberapa solusi.

 

Antara solusi yang berjaya dicapai adalah membuat rumah semaian, reban ayam dan tandas. KUASA, para sukarelawan serta penduduk kampung berganding bahu menyempurnakan projek tersebut. Bermula dari menanda kawasan, pencarian pokok tumbang untuk kegunaan pembinaan, pemotongan kayu, pembuatan baja bakar, semaian pokok Mexican sunflower untuk dijadikan baja, menegakkan tiang tapak semai dan reban ayam, sesi pengajaran pengurusan dahan pokok merimbun, memutuskan pengunaan zink dan jaring dawai untuk reban ayam kepada pengakhiran tandas, reban ayam dan tapak semaian yang telah siap.

Gambar kiri menunjukkan pembinaan tandas untuk kegunaan penduduk kampung manakala gambar kanan menunjukkan pemasangan jaring hitam pada tapak semaian.

Tidak berhenti disitu, diteruskan dengan perbincangan mengenai perlantikan ketua, gerak kerja dan komitmen penduduk kampung terhadap projek ini. Penduduk Kampung Kaloi juga didedahkan dengan kaedah semaian anak sayur di dalam tray semaian kerana kaedah ini dapat mengelakkan daripada risiko sayur dimakan tikus dan terputus akar apabila perlu membuat pemindahan pokok. Benih yang digunakan untuk aktiviti semaian ini adalah benih bendi dan cili bara.

 

 

 

 

Projek #KebunMandiriOA diteruskan lagi dengan aktiviti pembersihan tapak kebun di lapangan yang dianggarkan keluasan kawasan yang dihadkan kepada 140 kaki x 100 kaki. Bermula dengan memerun, merumput, aktiviti mendirikan tiang pagar, kerja mengorek dan membuang umbi pisang hutan dan pemasangan dawai duri serta jaring hitam untuk dibuat pagar di tapak kebun tersebut (gambar kiri)

 

 

 

 

 

 

kepada penanaman pokok sokongan seperti ketumbar jawa, turnera, bangun-bangun, lemon, dan limau purut disekeliling kawasan berpagar oleh kumpulan wanita (gambar kanan). Pokok sokongan ini berfungsi untuk kawal serangga, kawal haiwan liar, yang juga boleh digunakan dalam masakan atau untuk berjual beli.

Akhirnya, semua peserta termasuk penduduk Kampung Kaloi diberikan bengkel secara amali mengenai pembuatan kompos, racun serangga organik dan cara penggunaannya, serta bengkel mengenal fizikal pokok yang sihat . Tidak terlepas, para wanita menjalani bengkel semaian bersama-sama.

 

Post Author: Editor KUASA