EPACC: KUASA komited bekerjasama dengan SPRM bagi banteras korupsi & jenayah alam sekitar

EPACC: KUASA komited bekerjasama dengan SPRM bagi banteras korupsi & jenayah alam sekitar

Awal minggu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membentuk pasukan Kokus Perlindungan Alam Sekitar dan Antirasuah (EPACC) bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar alam sekitar bagi membanteras rasuah dah penyalahgunaan kuasa dalam isu alam sekitar.

Keputusan ini adalah hasil daripada perbincangan meja bulat yang telah dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad untuk membincangkan dan berkongsi maklumat berhubung isu-isu rasuah berkaitan alam sekitar. Antara NGO serta pakar yang terlibat dalam perbincangan tersebut ialah Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA); Rimba Research; Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA); Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pusat Sains dan Alam Sekitar (KIAS) serta Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sebagai salah sebuah pertubuhan yang terlibat dalam rangkaian kerjasama strategik dan bersepadu ini, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) ingin menyatakan rasa besar hati dan memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan agenda ini. Ini merupakan sejarah baru bagi dunia alam sekitar negara di mana selama ini isu-isu kemusnahan alam sekitar yang diutarakan oleh aktivis mahupun pertubuhan-pertubuhan alam sekitar berkaitan sering diperlekeh dan tidak dipedulikan lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan projek berskala besar yang melibatkan kepentingan pihak tertentu. Lebih menyedihkan, terdapat insiden di mana aktivis ditangkap secara tidak profesional kerana tampil ke hadapan dalam memantau, menyuarakan pandangan dan menegur/mengkritik perlaksanaan yang tidak betul di dalam sektor pengurusan sekitar kita.

KUASA berpendapat, kerjasama ini sedikit sebanyak mampu memberikan kekuatan dan taring baru kepada NGO-NGO alam sekitar tempatan yang selama ini mempunyai kuasa yang terhad dalam memantau, mendedahkan bukti dan terlibat secara langsung dalam memastikan segala perlaksanaan projek ataupun aktiviti pembangunan yang melibatkan kawasan alam sekitar yang sensitif di dalam negara ini berjalan selari dengan konsep kelestarian dan undang-undang.

Apabila membicarakan tentang rasuah dah penyalahgunaan kuasa dalam isu alam sekitar, terdapat 3 peringkat kritikal yang harus diberikan perhatian serius. Pertama tentang kelemahan dalam urustadbir dan pembuatan keputusan di dalam aktiviti/projek pembangunan yang melibatkan kawasan sensitif alam sekitar. Hakikatnya, kemusnahan alam sekitar di dalam negara ini bukanlah disebabkan aktiviti haram semata-mata, tetapi sebahagian besarnya adalah disebabkan projek-projek pembangunan ‘halal’ atau yang berlesen yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri (selaku pihak yang berkuasa mutlak dalam urusan, tanah, hutan dan sumber asli) di dalam kawasan yang langsung tidak sesuai terutamanya di dalam kawasan sensitif alam sekitar.

Sebagai contoh terdapat pemberian kelulusan kontroversi kepada projek pembangunan seperti aktiviti pembalakan, projek ladang hutan berskala besar, kawasan industri, komersial, perumahan, penambakan dan sebagainya di dalam kawasan sensitif seperti hutan tadahan hujan, hutan kaya biodiversiti & spesis eksotik, hutan ‘central forest spine’, kawasan hutan perlindungan, kawasan biodiversiti marin, kawasan berkepentingan sosial, zon-zon hijau dan kawasan sensitif alam sekitar yang telah termaktub di dalam Rancangan Fizikal Negara, Negeri dan juga Rancangan Tempatan Daerah. Ini sekaligus bercanggah dengan polisi-polisi yang sedia ada dan telah mencetuskan banyak konflik dalam dunia alam sekitar kita. Selain itu, terdapat juga isu manipulasi statistik melalui dasar projek perladangan hutan (pembukaan ladang di dalam hutan simpanan kekal) dan penyahwartaan hutan simpanan kekal bagi meng’halal’kan satu-satu projek berisiko tinggi kepada alam sekitar. Pihak berkepentingan seolah-olah mengambil kesempatan di dalam kelemahan polisi yang sedia ada.

Kelulusan sebeginilah yang membuka ruang kepada kemasukan aktiviti-aktiviti haram berantai lain seperti pencerobohan, pemburuan haram, pembalakan haram, perlombongan haram dan sebagainya. Sudah tentu, kelulusan yang kontroversi dan tidak relevan ini samada sengaja ataupun tidak, mampu dikaitkan dengan tindakan rasuah & salahgunakuasa.

Kedua di peringkat perancangan dan perlaksanaan sesuatu aktiviti atau projek pula, hakikatnya sebahagian besarnya tidak melibatkan konsultansi yang menyeluruh. Tiadanya ketelusan dan kebebasan untuk mengakses maklumat daripada awal sehingga ke pengakhiran projek. Misalnya terdapat aktiviti seperti pembalakan, pembukaan ladang hutan, empangan, pelabuhan industri, penambakan dan perlombongan yang seringkali dirahsiakan daripada pengetahuan umum khususnya komuniti tempatan seperti orang asli, petani, nelayan dan sebagainya yang hakikatnya bakal mengancam kehidupan mereka. Jika melibatkan konsultansi dan persetujuan komuniti tempatan pun, ianya tidak menyeluruh, bersifat terpilih dan dilakukan hanya untuk mengaburi mata dan menyedapkan hati sahaja.

Ini tidak masuk lagi dengan manipulasi perlaksanaan projek melalui taktik ‘pemecahan kepada kawasan konsesi kecil’ bagi mengelakkan keperluan dalam menjalankan kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Ditambah lagi dengan realiti perlaksanaan projek yang tidak mengikut SOP ataupun prosedur yang telah ditetapkan akibat kurangnya pemantauan pihak ketiga. Perlaksanaan projek/aktiviti selalunya bersifat ‘bi-partisan’ iaitu berlaku antara pihak pemaju dan pihak berkuasa sahaja. Tiada peruntukan bagi penglibatan pihak ketiga yang mampu memantau segala perlaksanaan aktviti di dalam kawasan sensitif alam sekitar tersebut.

Ketiga adalah tentang penguatkuasaan yang lemah. Sepanjang penglibatan KUASA dalam membuat kajian lapangan, memantau dan meninjau kawasan alam sekitar termusnah, terdapat banyak kes yang kami dapati terutamanya dalam aktiviti pembalakan, pembukaan ladang hutan, perlombongan dan kolam akuakultur yang telah diberikan lesen seringkali melanggar garis panduan yang telah ditetapkan seperti menceroboh rizab sungai, membalak di luar zon yang telah ditetapkan, tiadanya perlaksanaan pembalakan selektif, limpahan bahan kimia ataupun sisa air yang tidak dirawat dan sebagainya. Kurangnya pemantauan dan penguatkuasaan daripada agensi bertanggungjawab yang sepatutnya mengambil tindakan tegas terhadap pesalah tersebut menyebabkan kemusnahan alam sekitar kita gagal dikawal dan dicegah dengan baik. Dan seharusnya kelemahan ini harus diberikan perhatian serius kerana adanya kebarangkalian perbuatan rasuah dan salahguna kuasa.

Pokok pangkalnya, sebagai NGO yang terlibat dalam memantau, melindungi dan memulihara alam sekitar kita yang tercinta, perkara tersebutlah yang menjadi halangan terbesar kami. Demokrasi alam sekitar dan integriti yang begitu lemah yang telah menyebabkan banyak kawasan-kawasan hutan & biodiversiti hilang secara ketara sejak akhir dekad ini. Dalam memantau, melapor dan mencari bukti terhadap apa-apa tindakan salahguna kuasa dan kelemahan perlaksanaan satu-satu projek tersebut, kami tidak berupaya untuk membawakan bukti yang kukuh ekoran kerahsiaan maklumat, tiada konsultansi menyeluruh dan faktor polisi itu sendiri yang menghalang peranan kami. Misalnya kami boleh didenda oleh pihak berkuasa jika masuk memantau aktiviti pembangunan di dalam hutan simpanan kekal dengan tuduhan menceroboh. Dan sudah tentu, permit bagi mengakses kawasan hutan tidak akan diberikan sewenang-wenangnya untuk pihak yang ingin memantau aktiviti tersebut. Ini tidak termasuk lagi ancaman-ancaman dan ugutan lain yang diterima oleh aktivis dan pertubuhan alam sekitar dalam menyuarakan kelemahan agensi pelaksana dan penguatkuasaan

Justeru, di sinilah kami melihat betapa signifikannya kewujudan EPACC ini sebagai badan ketiga bagi mencegah kemusnahan alam dan memastikan khazanah warisan alam kita terus dijaga dan dipelihara dengan penuh integriti untuk kebaikan rakyat, generasi masa depan dan bumi kita yang tercinta. Kewujudan EPACC sekaligus mampu memberikan ruang kepada penyiasatan, pencegahan dan pemantauan dalam perlaksanaan pengurusan alam sekitar kita terutamanya yang melibatkan agensi-agensi awam dan agensi berkepentingan supaya segala pembuatan keputusan, perlaksanaan dan penguatkuasaan dapat berjalan dengan penuh integriti dan efiksyen.

KUASA memegang prinsip bahawa alam sekitar adalah hakmilik kesemua rakyat, bukannya hakmilik individu ataupun pihak tertentu. Kita tidak mahu keputusan yang dibuat oleh sekumpulan individu kecil, memudaratkan majoriti besar yang lain. Kami percaya SPRM juga adalah hakmilik rakyat dan menjadi benteng terkahir rakyat bagi membanteras pembaziran sumber dan hasil mahsul negara. Jika kita semua bertindak selaras dengan slogan ‘rule of law’ dan memperbaiki integriti kita, sudah tentu sebahagian besar sumber khazanah negara mampu dijimatkan sekaligus menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan lestari dari segi fizikal dan mentaliti.

#RakyatBersamaSPRM
#KUASAkepadarakyat
#BersamaLindungiAlamSekitarKita

HAFIZUDIN NASARUDIN
Presiden

Post Author: Editor KUASA