NGO KUASA Anjurkan Bengkel Budaya & Ilmu Tradisional Komuniti Pos Lanai

POS LANAI: Pada 14, hingga 16 September 2019 satu bengkel pemetaan GPS, Dokumentasi Budaya dan Ilmu tradisional komuniti Pos Lanai telah diadakan. Program tersebut dijalankan selama 3 hari 2 malam bermula dari jam 9.00 malam (14 September) dan tamat pada jam 5.00 petang (16 September). Program ini bertempat di Kampung Pantos Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang. Program ini juga diketuai oleh Shazni Bhai dan dibantu oleh Azmi Salleh. Jumlah peserta yang terlibat adalah seramai 23 orang yang terdiri daripada 18 orang lelaki dan 5 orang perempuan. Peserta yang terlibat terdiri daripada LASAK alumni, Masyarakat orang asli Pos Lanai.

 

Bagi sesi penerangan Aktiviti Pemetaan & Dokumentasi Ilmu Tradisional Komuniti, Bhai memberikan penerangan kepada peserta mengenai objektif program pemetaan komuniti menggunakan GPS & GIS serta dokumentasi budaya dan ilmu tradisional yang penting untuk menjadi bukti kewujudan komuniti Pos Lanai di kawasan tanah adat dan wilayah mereka.

 

Seterusnya, untuk sesi penerangan Konsep Tanah Adat & Wilayah Orang Asli, Bhai memberikan penerangan kepada peserta mengenai konsep tanah adat & wilayah Orang Asli supaya peserta faham dengan lebih jelas konflik yang berlaku di antara masyarakat orang Asli dan projek pembangunan yang diluluskan oleh kerajaan negeri. Bhai juga menerangkan definisi Rizab Orang Asli yang digunakan oleh kerajaan yang tidak selari dengan konsep tanah adat serta wilayah yang diakui oleh masyarakat Orang Asli.

 

Bagi sesi perbincangan Konflik Tanah Adat Orang Asli dan Projek Pembangunan, Azim memulakan perbincangan dengan berkongsi beberapa isu alam sekitar yang berkaitan dengan konflik antara masyarakat Orang Asli dan Kerajaan Negeri berkaitan pengiktirafan tanah adat serta wilayah. Peserta dapat memahami konflik alam sekitar dan tanah adat orang Asli yang berpunca daripada Kerajaan Negeri tidak mengiktiraf tanah adat mereka sebagai satu hak dan membuat perancangan pembangunan tanpa melibatkan masyarakat Orang Asli sebagai pemegang taruh.

 

Pada 15 September, bagi sesi perkongsian asal usul sejarah masyarakat & rekod penempatan semula, golongan tua masyarakat Orang Asli dijemput bagi berkongsi mengenai sejarah masyarakat Orang Asli Pos Lanai, asal usul mereka serta pergerakan masyarakat sewaktu berlaku proses penempatan semula oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk memberi laluan kepada pembinaan projek Empangan Telom. Peserta pula diberi taklimat untuk merekodkan sesi perkongsian ini mengikut templat dokumentasi yang disediakan.

 

Selanjutnya, untuk sesi penerangan penggunaan GPS, Arief memberikan penerangan mengenai teknologi GPS & GIS yang membantu dalam penghasilan peta komuniti yang boleh diterima sebagai dokumen yang diperakui dalam menuntut pengiktirafan tanah adat. Arief menunjukkan cara penggunaan GPS kepada peserta dan menjalankan ujian bagi menguji tahap pemahaman peserta dalam penggunaan GPS.

 

Bagi sesi ujian di lapangan – penggunaan GPS, peserta dipecahkan mengikut kumpulan bagi ujian penggunaan GPS di lapangan. Setiap kumpulan diberi kawasan yang berbeza untuk menanda beberapa poin di kawasan itu.

 

Seterusnya, bagi sesi ujian di lapang ii  penggunaan GPS, Arief berkongsi tips kepada peserta untuk mengingati fungsi butang & proses menanda tanda. Semua kumpulan diberi kawasan yang berbeza daripada kawasan asal untuk mnenanda tanda dan mendapatkan data kordinat. Kesemua kumpulan berjaya menanda tanda dan menyimpan kordinat selepas menjalankan mencuba untuk kali kedua.

 

Untuk sesi perkongsian budaya persembahan budaya, Masyarakat Orang Asli mempersembahkan aktiviti budaya mereka iaitu “sewang” lengkap dengan pakaian tradisional serta nyanyian beberapa lagu tradisional. Peserta lain turut dijemput untuk menyertai tarian ‘sewang’. Peserta merakamkan persembahan budaya masyarakat Pos Lanai & menemu ramah beberapa orang kampung untuk mendapatkan penerangan mereka terhadap persembahan budaya mereka.

 

Pada 16 September, aktiviti trekking sempadan tanah adat dan wilayah bagi menanda koordinat serta perkongsian ilmu herba diadakan. Peserta bergerak secara berkumpulan semasa trekking bagi mendapatkan data untuk GPS masing-masing. Sesi ini juga turut memfokuskan perkongsian mengenai tumbuhan herba yang dijumpai di sepanjang laluan trekking. Terdapat peserta yang ditugaskan untuk merekodkan jenis tumbuhan ini dan kegunaannya oleh masyarakat Orang Asli Pos Lanai. Sesi ini tidak dapat merangkumi keseluruhan sempadan tanah adat dan wilayah Kg. Pawong, namun dapat memberikan asas pengunaan serta kebiasaan kepada masyarakat Orang Asli Kg. Pawong untuk mneyiapkan keseluruhan peta sempadan mereka sendiri. Kawasan tanah adat dan wilayah mereka yang luas dijangka memerlukan masa selama 2 bulan untuk mereka menyempurnakan peta sempadan.

 

Bagi pembentangan data GPS, data daripada kesemua kumpulan telah dimasukkan ke dalam software GIS & telah diproses bagi mendapatkan gambaran tentang proses penghasilan peta melalui GPS & GIS. Hasil pembentangan menunjukkan semua kumpulan telah memahami penggunaan GPS & dapat menanda kawasan sempadan dengan baik. Arief menerangkan proses-proses penghasilan peta dengan lebih lanjut kepada masyarakat Orang Asli kerana mereka perlu meneruskan aktiviti pemetaan selepas program berakhir.

 

Untuk sesi refleksi dan penutup, Bhai merumuskan aktiviti pemetaan komuniti yang berjalan selama 2 hari dan mendapatkan respon daripada peserta tentang aktiviti- aktiviti yang telah berjalan.

Post Author: Editor KUASA