Projek Segari (Konservasi Penyu, Pemerkasaan Komuniti & Kempen Taman Negeri)

Pantai Segari adalah kawasan pesisiran pantai yang berkepanjangan hampir 20 km yang terletak di wilayah Pantai Barat Semenanjung Malaysia di dalam Daerah Manjung, Perak, Malaysia. Berdasarkan ekspedisi penyelidikan kami sebelum ini, Segari mempunyai segalanya dalam kekayaan biodiversiti. Sepanjang perairan tersebut terdapat 6 buah pantai dan sungai yang masih asli dan tidak tercemar. Spesis hidupan liar paling simbolik di sini adalah Penyu. Pantai Pasir Panjang & Pantai Pasir Pandak yang berkepanjangan 7 km di istu menjadi satu daripada tiga tempat pendaratan utama spesis Penyu Agar dan Penyu Karah di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Selain Penyu, Segari juga dikelilingi oleh Hutan Bukit Pantai yang kaya dan indah yang dinamakan sebagai Hutan Segari Melintang, antara hutan terunik di Semenanjung Malaysia. Ia mengandungi beratus-ratus spesis pokok balak dan dipterokarp yang membentuk kawasan tadahan hujan yang penting. Terdapat juga spesis-spesis endemik (spesis yang jarang ditemui) seperti Pokok Balau Putih (nama latin: Shorea lumutensis) dan Pokok Balau Laut (Shorea glauca). Selain tumbuhan floranya yang unik, Segari juga menjadi habitat penting kepada pelbagai spesis hidupan liar.

Banyak spesies yang terancam seperti Beruang Matahari (Malayan Sunbear), Tenggiling (Sundapangolin) dan Murai Batu (white-rumped Shama) masih boleh ditemui di sini. Selain itu terdapat juga spesis Lutung (Dusky Langur), Ungka Putih (White-handed gibbons) dan kera (long-tailed macaques & macaca nemestrina)

Majoriti warga tempatan pula tinggal berhampiran pantai. Aktiviti utama mereka termasuk menjadi nelayan pesisiran pantai sepenuh masa, mengutip herba hutan dan pengendali aktiviti eko-pelancongan.

Walaupun di dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) telah dinyatakan secara jelas Pantai Segari berada dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar tahap 1 & kawasan Hutan Bukit Pantai terbabit berada di bawah kategori Hutan Simpanan Kekal, namun secara terperincinya ia dizonkan sebagai hutan pengeluaran dan sebahagiannya telah dinyahwarta menjadi zon industri & hakmilik. Lalu ia memberi peluang kepada pihak pemaju untuk mengeksploitasinya dan terdedah kepada  aktiviti yang tidak mampan seperti pembangunan industri, kuari, perkapalan, perkilangan dan projek komersial yang lain. Ini sekaligus memberi kesan buruk kepada kawasan pesisiran pantai terutamanya dalam menyempitkan koridor dan wilayah pendaratan penyu, pencemaran air dan kehilangan habitat dan spesis lain secara tidak langsung.

Pada tahun 2012-2013, dua buah projek mega telah dicadangkan dan diluluskan oleh kerajaan negeri di kawasan terbabit iaitu Kilang Gas Asli Cecair di Hutan Simpanan Dara Tanjung Hantu (bersebelahan Pantai Peranginan Teluk Senangin) dan projek Kilang Besi Magma di Pantai Pasir Panjang, Segari. Namun, hasil daripada usaha kempen kami dan mobilisasi bersama komuniti nelayan tempatan serta dibantu dengan bantuan aktivis dari Jerman dan petisyen di sana, kami berjaya menghalang projek terbabit daripada berlaku. Sehingga kini, kami masih meneruskan siri-siri kempen dan program bersama warga tempatan seperti mewujudkan kem kitar semula di pantai Teluk Senangin, bermesyuarat dan advokasi tentang usaha memelihara dan memulihara penyu Segari, program kesedaran awam seperti penanaman pokok, pembersihan pantai dan ceramah ekologi Penyu dan bermacam-macam lagi.

Rentetan daripada inilah kami memerlukan dana & kewangan yang kukuh bagi meneruskan agenda kami ke arah perlindungan Segari secara efektif dan bagi mendapatkan jaminan perlindungan jangka masa panjang.

Inisiatif kami seterusnya adalah untuk berusaha berkempen ke arah penubuhan Taman Negeri di Segari Melintang sebagai penyelesaian jangka masa panjang dalam melindungi kawasan terbabit memandangkan ia bakal memberi laluan kepada perlaksanaan & pengurusan perlindungan secara holistik, jaminan keselamatan (security of tenure) sekaligus menghalang apa-apa projek pembangunan yang tidak lestari di kawasan terbabit. Oleh itu, bagi mencapai agenda ini, program, aktiviti, pemerkasaan komuniti tempatan dan penyelidikan secara bersiri harus dimulakan untuk menampung dan menyokong kempen kami ini. Ini termasuk:

  1. Menganjurkan latihan dan bengkel penyediaan tapak semaian pokok-pokok pesisiran pantai untuk tujuan penghutanan semula dan rehabilitasi kawasan pendaratan penyu sepanjang Pantai Pasir Pandak & Pantai Pasir Panjang.
  2. Menganjurkan latihan dan bengkel konservasi Penyu Agar & Karah tentang bagaimana mewujudkan rumah tetasan (hatchery), prosedur mengutip telur penyu, memindahkan telur, merekodkan data, mengawal suhu dan melepaskan semula anak penyu yang telah menetas ke laut.
  3. Meneruskan lagi siri program kesedaran pantai kepada golongan remaja termasuk aktiviti penanaman pokok, pembersihan pantai, ceramah kesedaran ekologi penyu serta perlindungan kawasan marin dan aktiviti melepaskan anak penyu dengan penglibatan pelajar sekolah, kolej, universiti dan agensi-agensi lain.
  4. Menganjurkan ekspedisi kajian saintifik yang mengumpulkan pakar-pakar dan penyelidik di dalam bidang biodiversiti termasuk tumbuhan fauna, herba, reptilia, mamalia, amfibia, burung dan sebagainya bagi menjalankan kajian tentang koleksi spesis flora dan fauna di Segari dengan cara mengambil data dan inventori. Hasil daripada dapatan kajian ini akan dijadikan dalam bentuk prosiding, laporan dan juga jurnal sebelum satu simposium yang memberikan platform kepada pengkaji ini untuk membentangkan hasil kajian mereka dan didengari oleh pelbagai pihak. Pada akhirnya, hasil kajian ini akan didokumenkan samada menjadi memorandum ataupun buku yang mana ia bakal menjadi dokumen sokongan yang kukuh bagi meyakinkan pihak berkuasa negeri bagi meluluskan dan menggazetkan Segari Melintang sebagai Taman Negeri baru di Perak.
  5. Untuk menganjurkan aktiviti penandaan pokok (tagging) dan inventori dengan konsultansi daripada pakar botani bagi menyediakan kawasan berpotensi di dalam Hutan Segari untuk dijadikan Hutan Pendidikan dan kemudiannya advokasi dalam merangka pelan dan pakej pelancongan pendidikan akan diadakan dengan penglibatan komuniti tempatan sebagai jurupandu pelancongan. Untuk tujuan edu-pelancongan ini juga, komuniti tempatan akan dihantar ke kursus Pemandu Pelancong Hijau (Green-batch) dan segala urusan legalisasi bagi mendapatkan permit untuk menjalankan aktiviti ini akan diadakan. Aktiviti edu-pelancongan termasuk edu-trekking, lawatan ke pusat pengurusan penyu, menaiki bot, pelepasan anak penyu, penanaman pokok, camping dan aktiviti bersama nelayan.
  6. Untuk menganjurkan mesyuarat dan dialog bersiri bersama pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan, NGO, komuniti tempatan dan pihak berkepentingan yang lain ke arah merealisasikan Segari Melintang sebagai Taman Negeri.

Post Author: Editor KUASA