NGO KUASA Anjurkan Bengkel Pemetaan GPS Komuniti Kampung Pawong

SIMPANG PULAI: Pada 4 dan 5 Mei 2019 satu bengkel pemetaan GPS komuniti Kampung Pawong telah diadakan. Program tersebut dijalankan selama 2 hari bermula dari jam 9.00 malam (4 Mei) dan tamat pada jam 5.00 petang (5 Mei). Program ini bertempat di Kampung Pawong, Simpang Pulai, Perak. Program ini juga diketuai oleh Hafizudin Nasarudin dan dibantu oleh Shazni Bhai. Jumlah peserta yang terlibat adalah seramai 21 orang yang terdiri daripada 17 orang lelaki dan 4 orang perempuan. Peserta yang terlibat terdiri daripada LASAK alumni, aktivis sosial dan masyarakat orang asli Kampung Pawong.

 

Bagi sesi penerangan – aktiviti pemetaan komuniti, Hafiz memberikan penerangan kepada peserta mengenai objektif program pemetaan komuniti menggunakan GPS & GIS.

 

Untuk sesi penerangan – Konsep Tanah Adat & Wilayah Orang Asli, Shazni Bhai memberikan penerangan kepada peserta mengenai konsep tanah adat dan wilayah Orang Asli supaya peserta faham dengan lebih jelas konflik yang berlaku di antara masyarakat orang Asli dan projek pembangunan yang diluluskan oleh kerajaan negeri. Shazni Bhai juga menerangkan definisi Rizab Orang Asli yang digunakan oleh kerajaan yang tidak selari dengan konsep tanah adat dan wilayah yang diakui oleh masyarakat Orang Asli.

 

Bagi sesi ujian di lapangan – penggunaan GPS, peserta dipecahkan mengikut kumpulan bagi ujian penggunaan GPS di lapangan. Setiap kumpulan diberi kawasan yang berbeza untuk menanda beberapa poin di kawasan itu.

 

Selanjutnya, sesi Ujian di Lapang II – Penggunaan GPS, semua kumpulan diberi kawasan yang berbeza daripada kawasan asal untuk menanda point dan mendapatkan data kordinat.

 

Bagi sesi perbincangan – Isu Alam Sekitar Akibat Konflik Tanah Adat & Wilayah dengan Projek Pembangunan oleh Kerajaan Negeri, Hafiz  memulakan perbincangan dengan berkongsi beberapa isu alam sekitar yang berkaitan dengan konflik antara masyarakat Orang Asli dan Kerajaan begeri berkaitan pengiktirafan tanah adat dan wilayah. Peserta dapat memahami konflik alam sekitar serta tanah adat orang Asli yang berpunca daripada Kerajaan Negeri tidak mengiktiraf tanah adat mereka sebagai satu hak dan membuat perancangan pembangunan tanpa melibatkan masyarakat Orang Asli sebagai pemegang taruh.

 

Pada 5 Mei, Peserta bergerak secara berkumpulan semasa trekking bagi mendapatkan data untuk GPS masing-masing. Sesi ini tidak dapat merangkumi keseluruhan sempadan tanah adat dan wilayah Kg. Pawong, namun dapat memberikan asas pengunaan dan kebiasaan kepada masyarakat Orang Asli Kg. Pawong untuk menyiapkan keseluruhan peta sempadan mereka sendiri. Kawasan tanah adat dan wilayah mereka yang luas dijangka memerlukan masa selama 2 bulan untuk mereka menyempurnakan peta sempadan.

 

Bagi pembentangan data GPS, data daripada kesemua kumpulan telah dimasukkan ke dalam software GIS dan telah diproses bagi mendapatkan gambaran tentang proses penghasilan peta melalui GPS & GIS. Hasil pembentangan menunjukkan semua kumpulan telah memahami penggunaan GPS serta dapat menanda kawasan sempadan dengan baik. Arief menerangkan proses-proses penghasilan peta dengan lebih lanjut kepada masyarakat Orang Asli kerana mereka perlu meneruskan aktiviti pemetaan selepas program berakhir.

 

Untuk sesi refleksi dan penutup, Hafiz merumuskan aktiviti pemetaan komuniti yang berjalan selama 2 hari dan mendapatkan respon daripada peserta tentang aktiviti- aktiviti yang telah berjalan.

 

 

Post Author: Editor KUASA