NGO KUASA Anjurkan Lawatan Lapangan – Sungai Puyu

MANJUNG PERAK: Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) telah mengadakan Lawatan Lapangan ke Taman Eko-Rimba Pasir Panjang dan Muara Sungai Puyu pada 15 Disember 2018. Lawatan telah disertai seramai 24 orang (13 lelaki & 11 perempuan) yang terdiri daripada sukarelawan KUASA dan Aktivis Alam Sekitar Perak.

 

Bagi aktiviti penanaman pokok, peserta tiba di Pantai Pasir Panjang, Segari dan dibahagikan kumpulan mengikut zon kawasan penanaman pokok di kawasan Taman Eko Rimba. Semasa aktiviti menanam pokok berjalan, peserta diterangkan mengenai ekosistem hutan bukit pantai dan spesies-spesies pokok yang ditanam serta yang sedia ada di kawasan hutan bukit pantai Pasir Panjang.

 

Bagi lawatan ke Muara Sungai Puyu, peserta dibawa ke muara Sungai Puyu menaiki 4wd untuk sesi tinjauan ke bekas tapak projek pengorekkan pasir yang berjaya dihentikan diatas desakan dan tekanan NGO alam sekitar sekitar Perak. Selepas projek dihentikan, kawasan sekitar muara sungai terbiar begitu saja dan menjadi kosong kerana belum ada usaha rehabilitasi untuk membaikpulih semula kawasan itu.

 

Semasa sesi tinjauan berlaku, peserta berbincang mengenai cara untuk memulihkan semula kawasan muara Sungai Puyu kerana kawasan ini merupakan salah satu kawasan pendaratan penyu sebelum berlakunya projek pengorekan pasir.  Sesi rehabilitasi muara sungai dari segi memperbanyakkan tumbuhan persisiran pantai dan pembersihan pantai akan dilakukan hasil daripada perbincangan semasa sesi tinjauan.

 

Sebagai rumusan, program lawatan lapangan ke Sungai Puyu berjalan dengan lancar bermula daripada aktiviti penanaman pokok di Taman Eko Rimba Pasir Panjang hingga ke lawatan ke muara Sungai Puyu. Hasil daripada lawatan ini, KUASA membuat keputusan untuk mengadakan satu program rehabilitasi muara Sungai Puyu yang terbiar akibat daripada projek pengorekan pasir.

Post Author: Editor KUASA