NGO KUASA Anjurkan Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK 5.0)

SUNGAI NIBONG: Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) telah mengadakan Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK 5.0) bertempat di Mutiara Anggun, Sungai Nibong, Pulau Pinang selama 3 hari 2 malam dari 7 Disember hingga 9 Disember 2018. Program telah disertai seramai 34 orang (21 lelaki & 13 perempuan) dari kalangan Pelajar universiti, penduduk & aktivis sosial Pulau Pinang.

 

Bagi acara pendaftaran, lokasi program mudah untuk dicari oleh para peserta. Setelah selesai acara pendataran, sesi makan malam diadakan. Untuk Sesi Ice-Breaking, para peserta diminta menulis gambaran diri sendiri di atas kertas & dikumpulkan di dalam sebuah kotak untuk dipilih secara rawak oleh peserta lain. Peserta yang memetik kertas yang dipilih perlu meneka pemilik kertas asal melalui gambaran yang diberikan. Seterusnya, peserta yang diteka dengan tepat perlu menerangkan serba sedikit tentang diri mereka – nama, latar belakang, tempat asal & tujuan mengikuti program LASAK.

 

Bagi Slot 1: Pengenalan Isu-Isu Alam Sekitar di Pulau Pinang, video pendek mengenai isu PTMP (Penang Transport Master Plan) ditayangkan oleh En. Andrew. Beliau seterusnya menerangkan projek PTMP yang merupakan ancaman alam sekitar di Pulau Pinang sekiranya diteruskan. beliau turut memainkan video dokumetari beliau sendiri “The Hill & The Sea” yang merakamkan isu komuniti nelayan dalam menghadapi projek penambakan pantai besar-besaran & isu hidupan liar di Pulau Pinang.

Untuk Slot 2: Alam Sekitar & Peranan Aktivis, program diteruskan lagi dengan slot pengenalan kepada alam sekitar & fungsi aktivis dalam aktivisme alam sekitar dikendalikan oleh Dr Nurul Salmi.

 

Bagi Taklimat Lawatan Lapangan, peserta dibahagikan kepada 7 kumpulan. Kerja berkumpulan dilakukan untuk mendapatkan data mengenai isu-isu alam sekitar di Pulau Pinang serta memikirkan gerak kerja yang boleh diambil bagi menangani masalah sedia ada. Peta kawasan lawatan dipaparkan oleh En. Andrew. Kata kunci diberikan kepada peserta bagi memudahkan mereka membuat sedikit bacaan sebelum lawatan lapangan bermula esok.

 

Untuk Lawatan Kawasan Lapangan (Kawasan Alam Sekitar), peserta mula bergerak ke kawasan lapangan yang akan dilawati dengan menaiki 4 buah van selepas selesai bersarapan. Antara Kawasan lapangan yang dilawati ialah Sungai Batu, Teluk Kumbar – Dr. Nurul Salmi menerangkan permasalahan SRS iaitu ancaman South Reclamation Scheme (SRS) Consortium kepada komuniti nelayan & kawasan persisiran pantai melalui aktiviti penambakan bagi pembinaan 3 buah pulau buatan manusia. Hal ini menyebabkan nelayan persisiran pantai hilang punca pendapatan.

 

Seterusnya, lawatan ke (Sungai Ara) Taman Jajar – merupakan sungai yang terbersih di Penang hasil jagaan komuniti setempat. Encik Eric Chee selaku komuniti tempatan menceritakan tentang masalah yang timbul melalui projek PIL (Pan Island Link) iaitu projek lebuh raya baru oleh kerajaan negeri apabila sungai yang mengalir akan diluruskan dan ditukar menjadi parit seterusnya melenyapkan kawasan Taman Jajar itu sendiri.

 

Taman Belia iaitu taman rekreasi awam di Pulau Pinang merupakan kawasan lawatan yang seterusnya. Turut menerima ancaman daripada PIL. Lebuh raya yang akan dibina akan membelah hutan di Taman Belia seterusnya menyebabkan kawasan ini terdedah kepada pencemaran bunyi daripada lebuh raya tersebut.

 

Lawatan diteruskan lagi ke Sinkhole, Tanjung Bungah – sebuah kawasan perumahan 2 tingkat yang tidak selamat diduduki kerana jalan yang dibina tenggelam akibat kelemahan pemaju.

 

Seterusnya ke Tanjung Tokong – sebuah lagi perkampungan nelayan yang diancam dengan penambakan laut bagi membina pulau buatan. Komuniti nelayan turut bersama-sama dalam sesi ini berkongsi pengalaman mereka dimanipulasi oleh pemaju dan kerajaan negeri.

 

Bagan Jermal merupakan destinasi lawatan seterusnya – sebuah kawasan bekas paya bakau, yang telah dilapangkan dan ditambak bagi membina pulau buatan – lanjutan daripada projek yang sama di Tanjung Tokong.

Bagi LDK 1: Perbincangan Hasil Lawatan, peserta memberikan ulasan masing-masing bagi sesi lawatan ke kawasan lapangan. kebanyakan peserta mampu memberikan ulasan yang kritikal dan menunjukkan pemahaman yang baik terhadap masalah-masalah yang berlaku di Pulau Pinang.  Peserta kemudiaanya berpecah mengikut kumpulan dan menerima tugasan kumpulan masing-masing dengan menyediakan analisa sesuatu kawasan yang telah dilewati.

 

 

Untuk Slot 3: Pengurusan Hutan & Alam Sekitar di Semenanjung Malaysia, Encik Meor memulakan sesi penerangan dengan menjelaskan akta-akta yang berkaitan dengan pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia serta jenis-jenis hutan mengikut kategori pengurusan. Seterusnya, beliau memperkenalkan saluran-saluran bantahan yang boleh digunakan oleh orang awam bagi menyuarakan bantahan & pendapat dalam setiap perangkaan projek pembangunan. Walaupun sesi ini agak sukar kerana banyak istilah dan perkara teknikal berkaitan undang-undang, namun begitu, peserta dapat memahami apa yang disampaikan kerana mereka aktif bertanya.

 

Bagi Slot 4: Sesi Perkongsian NGO Tempatan – Aktivisme Alam Sekitar di Pulau Pinang, Puan Khoo Salma & Encik Zulkifli berkongsi pengalaman mereka dalam gerak kerja aktivisme alam sekitar di Pulau Pinang.

 

Puan Khoo Salma bersama kumpulannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang aktif dalam membantah perlaksanaan projek mega oleh kerajaan negeri (PTMP) yang akan memusnahkan alam sekitar serta tidak menyelesaikan masalah trafik sedia ada.

 

Encik Zulkifli pula menceritakan pengalamannya bersama komuniti-komuniti setempat terutamanya nelayan dalam perjuangan mendapatkan kawasan dan hasil tangkapan yang sihat. Beliau berkongsi langkah-langkah yang tepat untuk mendapatkan kepercayaan komuniti bagi membantu mereka memahami masalah yang mereka alami atau bakal alami sekiranya terdapat projek-projek yang akan berjalan di kawasan mereka.

 

Sesi ini sangat membantu para peserta bagi mendapatkan input dalam menghasilkan analisa yang akan mereka bentang di slot seterusnya.

 

Bagi LDK: Pembentangan Kumpulan, para peserta membentangkan hasil perbincangan kumpulan masing-masing – analisa permasalahan di setiap kawasan & langkah yang boleh diambil bagi membantah projek yang akan dijalankan.

Kesemua 7 kumpulan berjaya membentangkan analisa masing-masing dan menunjukkan kemahiran berfikir secara kritikal. Namun, terdapat beberapa kumpulan yang tidak mampu menjawab soalan yang ditanya dengan tepat.

 

Seterunya, bagi sesi reflekdi, Dr. Nurul merumuskan kesemua aktiviti yang berlaku sepanjang program berlangsung. Para peserta turut sama berkongsi rumusan mereka dan memberikan maklum balas terhadap pencapaian program ini.

 

Untuk acara penutup, Encik Hafizudin selaku Presiden KUASA, memberikan ucapan penghargaan kepada tenaga-tenaga pengajar serta para peserta kerana sudi meluangkan masa bagi menghadiri program LASAK ini. Program diakhiri dengan acara bergambar beramai-ramai.

 

Bagi rumusan, Program Latihan Aktivis Alam Sekitar 5.0 di Pulau Pinang berjalan dengan jayanya tanpa sebarang masalah yang berat. Peserta-peserta juga menunjukkan pemahaman yang bagus dan mampu berfikir dengan kritikal.

Post Author: Editor KUASA