Jom kenali Beruk

Beruk, atau nama saintifiknya, Macaca nemestrina adalah salah satu spesis monyet yang paling mudah ditemui di Malaysia. Malangnya, seperti spesis primat yang lain, contohnya orang utan, beruk juga diancam kepupusan jikalau kita tidak berbuat sesuatu mulai sekarang.

Beruk dipercayai datang daripada salasilah keturunan yang sama dengan spesis monyet di Kepulauan Mentawai, Sumatra, tetapi beruk seringkali disamakan dengan spesis terdekat dari Thailand, iaitu Macaca leonine, dimana spesis ini lebih kecil dan pendek dari segi saiz berbanding spesis beruk di Malaysia.

Manusia seringkali keliru diantara beruk dengan spesis monyet yang lain, iaitu kera. Jadi bagaimana kah anda boleh membezakan diantara beruk dan kera?

Beruk mempunyai ekor seperti babi, iaitu pendek dan sedikit bengkok, jikalau dibandingkan dengan spesis kera, yang mempunyai ekor yang lebih panjang dan lurus. Spesis beruk kurang membuat bising berbanding kera terutamanya apabila berada di dalam kumpulan.

Warna beruk pula lebih kepada emas keperangan, dengan bulu yang lebih lembut manakala spesis kera mempunyai bulu berwarna kelabu keperangan. Beruk mempunyai ciri yang agak menonjol, iaitu mahkota berwarna hitam gelap di atas kepala, dan sesetengah individu mempunyai gaya mahkota yang berbeza berbanding dengan individu yang lain.

Saiz badan beruk juga lebih besar jika dibandingkan dengan spesis kera, terutamanya alfa kumpulan, dimana saiz nya boleh mencecah sehingga 7-9 kg. Satu-satunya persamaan diantara beruk dengan spesis kera adalah kedua-duanya hidup dan bergerak di dalam kumpulan, di mana jumlahnya diantara 20 ke 45 individu bagi setiap kumpulan. Alfa adalah ketua yang akan menjaga keselamatan bagi setiap kumpulan, dengan bantuan beberapa ekor beruk jantan yang lain. Manakala beruk betina yang akan menentukan pergerakan bagi setiap kumpulan, sama ada dari segi mencari makanan, ataupun, tempat untuk tidur.

Gemar memilih hutan berbukit, spesis beruk ini agak pemalu dan lebih suka untuk hidup jauh dari penempatan manusia, tetapi manusia rakus masih tidak menghormati spesis ini kerana manusia sering memburu bayi dan juga beruk jantan, semata-mata untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan. Kerana liputan hutan di Malaysia semakin mengecil, maka tempat tinggal, juga sumber makanan bagi spesis beruk semakin mengecil dan berkurang. Alternatifnya, beruk perlu mencari makanan di ladang ladang kelapa sawit yang berdekatan dengan hutan. Beruk gemar makan buah-buahan, cendawan, dan juga serangga, kadang-kala daun daun pokok juga bunga, dan tentu sekali, sumber protein mereka yang utama, iaitu tikus ladang kelapa sawit yang gemuk!

Daripada memburu spesis ini, manusia patut berterima kasih kepada beruk kerana telah menolong manusia dari segi kawalan haiwan perosak di ladang kelapa sawit, terutamnya. Beruk juga telah menjaga dan mengekalkan hutan dengan menyebarkan biji benih buah yang telah mereka makan. Jikalau anda mahu tahu lebih lanjut tentang spesis ini, boleh lah anda layari laman sesawang ini: www.macaca-nemestrina.org ataupun ke halaman muka buku ini: Facebook.com/nemestrina.

-NOR AMIRA ABDUL RAHMAN

Rujukan:

Charles M. Francis. A Field Guide to the Mammals of South East Asia (2008). New Holland Publishers (UK) Ltd.

Post Author: Editor KUASA