NGO KUASA berharap Tanah Tinggi Kinta tidak menjadi ‘Cameron Highlands’ ketiga

Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) membantah Cadangan Pindaan Pengezonan Blok Perancangan Kecil 4.2C (BPK 4.2C) Parcel A dan Parcel B di Jalanraya Simpang Pulai – Cameron Highlands kepada Guna-tanah PERNIAGAAN kerana dibimbangi boleh menimbulkan impak / kesan secara langsung kepada alam sekitar.

Walaupun status tanah kawasan cadangan adalah tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPP Negeri Perak), namun KUASA tetap membantah kerana sebahagian Parcel A dan keseluruhan Parcel B kawasan terbabit masih dilitupi guna-tanah hutan.

Ini adalah kerana Ini adalah kerana KUASA dan komuniti setempat pernah mengemukakan bantahan cadangan pengezonan semula dan pengubahan kelas penggunaan tanah daripada Zon Hutan Kepada Zon Pertanian semasa Publisiti dan Pemeriksaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kinta 2015 (Pengubahan 5): Sungai Raia (Draf RTD Kinta 2015 Pengubahan 5: Sungai Raia) pada tahun 2014 tetapi dukacitanya sehingga kini tidak mendapat maklum-balas.

Ketika ini, sebahagian kawasan hutan terbabit telah ditebang habis untuk pembukaan kawasan pertanian sayur negara dan agro-pelancongan besar-besaran bagi syarikat Agroto Business Sdn Bhd.

Malah apa yang dipersoal dan dikesali, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) telah memansuhkan terlebih dahulu status tanah kawasan cadangan daripada Hutan Simpanan Kekal (HSK) kepada tanah hakmilik sebelum mengadakan program Publisiti dan Pemeriksaan Awam RTD (public hearing) sebagai mana yang dinyatakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Kawasan cadangan pindaan pengezonan tersebut merupakan sebahagian daripada lingkungan Koridor Hidupan Liar dan kawasan ‘Central Forest Spine’ Banjaran Titiwangsa yang dilitupi hutan jenis dipterokarp atas (800 meter dari aras laut). Kawasan yang telah dibuka pula telah mencapai ketinggian 1,400 m daripada aras laut (Agroto)

Cadangan pindaan pengezonan juga adalah bercanggah dengan pelan perancangan fizikal iaitu Rancangan Fizikal Negara (RSN) dan Rancangan Stuktur Negeri (RSN) yang telah menetapkan kawasan tersebut sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) 1 & 2 yang perlu dikekal dan dipelihara.

KSAS 1 & 2 tidak membenarkan sebarang aktiviti pembangunan melainkan aktiviti pelancongan terkawal, penyelidikan dan pembalakan selektif bagi KSAS 2.

Kekhuatiran kami, ciri-ciri geofizikal kawasan cadangan pindaan pengezonan adalah berbukit curam, terdapat alur punca air, struktur tanah hutan yang mudah terhakis dan merupakan kawasan yang amat sensitif terhadap sebarang kegiatan yang melibatkan pemusnahan (pengubahan) guna tanah hutan sedia ada.

Kegiatan pemusnahan (pengubahan) guna tanah yang ketara daripada hutan kepada lain-lain guna tanah di kawasan cadangan pindaan pengezonan akan menyebabkan permukaan tanah terdedah kepada lebihan air larian permukaan, hakisan lereng dan kerosakan struktur fizikal sungai semasa hujan lebat.

Bagi guna tanah/kegiatan pertanian pula, kawasan ini tidak sesuai kerana mengikut peraturan sedia ada, ia tidak boleh dilakukan di kawasan berkecerunan melebihi 20-30 darjah. Ini adalah selaras dengan RFN di mana disyorkan bahawa semua pembangunan pertanian di ‘Special Management Areas’ (SMA), termasuk Cameron Highlands – Tanah Tinggi Kinta – Lojing hanya dibenarkan di kawasan yang mempunyai kecerunan kurang daripada 20 darjah.

Oleh itu, Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Batu Gajah (DRTMDBG) 2025 (Pengubahan 1) perlu diselaraskan dengan RFN supaya kawasan yang berkecerunan lebih 20 darjah tidak digunakan untuk pertanian mahupun perniagaan.

Kawasan cadangan projek yang sebahagiannya telah dibuka (dalam bulatan)

Antara impak atau kesan yang dibimbangi boleh berlaku ialah termasuk banjir lumpur, gangguan kawasan punca bekalan air (tadahan air), pencemaran sungai, tanah runtuh, mengehadkan kawasan keliaran hidupan liar dan mengakibatkan konflik antara hidupan liar dengan manusia.

Impak dan kesan daripada guna tanah aktiviti perniagaan pula ialah pengeluaran sisa effluen (sullage) yang berpotensi mengandungi bahan pencemar serta takat minyak tinggi seperti dari hotel, restoran dan premis-premis perniagaan lain.

Kelulusan pindaan pengezonan dibimbangi juga akan menggalakkan pihak lain mengemukakan permohonan kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mengubah guna-tanah sedia ada (hutan) di kawasan persekitaran kepada lain-lain guna tanah.

KUASA menerima rungutan dan aduan daripada penduduk kampung Orang Asli berhampiran yang mendakwa kawasan cadangan pindaan pengezonan merupakan sebahagian kawasan ‘tanah adat & wilayah’ mereka.

Mereka menyatakan bahawa ‘tanah adat’ di kawasan cadangan pindaan pengezonan amat penting kepada masyarakat Orang Asli berhampiran kerana ia adalah kawasan rayau untuk mendapatkan hasil hutan untuk sumber kehidupan.

Kekhuatiran lain termasuklah dengan pertambahan kawasan agro-pelancongan dan komersial di sini, ia sekaligus akan meningkatkan aliran trafik yang hakikatnya kini telah semakin teruk terutamanya di kawasan Cameron Highlands.

Oleh itu, KUASA berharap pihak berkuasa negeri Perak tidak meluluskan cadangan Pindaan Pengezonan BPK 4.2C Parcel A & B, DRTMBG 2025 (Pengubahan 1) di Jalan Raya Cameron Highlands – Simpang Pulai.

Sesi Bantahan awam terhadap projek ini di Majlis Daerah Batu Gajah bersama wakil NGO Sahabat Alam Malaysia, NGO PEKA dan wakil komuniti orang asli Kg. Pawong

CADANGAN PENYELESAIAN

KUASA memohon pihak berkuasa negeri (PBN) untuk mewartakan kawasan cadangan pindaan pengezonan kepada Hutan Simpanan Kekal (HSK) ataupun zon guna tanah hutan.

Cadangan tersebut selari dengan:-

i) Salah satu objektif Dasar Perhutanan Negara
ii) Matlamat dan sasaran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada tahun 2020 iaitu keluasan HSK di Semenanjung Malaysia hendaklah mencapai 5 juta hektar daripada keluasan tanah Semenanjung (keluasan hutan terkini kira-kira 4.81 juta hektar)
iii) Saranan Kerajaan Persekutuan semasa pembentangan Belanjawan 2019 supaya semua Kerajaan Negeri mengambil usaha melindungi kawasan perlindungan sedia ada dan menambah kawasan perlindungan hutan yang baru.

Selain itu PBN disyorkan juga mewartakan ia di bawah Akta Pemeliharaan Tanah 1960 (Akta 385) di mana ia tidak membenarkan sebarang pembangunan di kawasan berkecerunan lebih daripada 25 darjah ke atas kecuali bagi pemajuan infrastruktur dan utiliti yang dibenarkan dengan syarat-syarat daripada jabatan teknikal yang berkaitan dan mendapat kelulusan daripada PBN.

*Ulasan ini diambil daripada Bantahan Awam yang telah kami hantar kepada Majlis Daerah pada bulan Disember yang lalu dan melalui sesi pendengaran awam pada 10 Januari yang lalu.

Post Author: Editor KUASA