Dua usul alam sekitar mendapat undi ‘solid’ anak muda di KAMM 2017

Kongres Anak Muda Malaysia (KAMM 2017) yang telah dilangsungkan di Petaling Jaya pada 13-14 Mei yang lalu telah pun melabuhkan tirainya. Sebanyak 13 usul telah diundi dan diterima dan dua (2) usul tentang Alam Sekitar yang dibahaskan oleh wakil KUASA telah mendapat undi yang memberangsangkan daripada anak muda peserta kongres. Berikut adalah keputusannya:

1. USUL MEMPERKUKUHKAN DEMOKRASI ALAM SEKITAR DEMI KEADILAN SOSIAL DAN KELESTARIAN ALAM SEKITAR
Undi Menyokong: 269
Undi Tidak Menyokong: 0
Jumlah Undi: 294

2. USUL PENGISYTIHARAAN EKO-KECEMASAN NASIONAL MENGENAI KEMUSNAHAN & DEGRADASI ALAM SEKITAR YANG SEMAKIN PARAH

Undi Menyokong: 260

Undi Tidak Menyokong: 1

Jumlah Undi: 294

Baca penjelasan terperinci tentang dua usul tersebut:

https://www.demimalaysia.net/usul

Berikut adalah perincian penuh tentang Usul yang dibentangkan oleh KUASA

Usul 1:

PERKUKUHKAN DEMOKRASI ALAM SEKITAR

Demokrasi alam sekitar di dalam negara wajib diberikan perhatian serius dan diperkukuh segera bagi memastikan keadilan sosial dan alam sekitar terpelihara, dengan cara:

i. Mewajibkan ketelusan, kebebasan untuk mengakses maklumat dan konsultansi menyeluruh dalam setiap proses perancangan, kelulusan dan perlaksanaan projek pembangunan yang melibatkan kawasan alam sekitar sensitif & kepentingan sosial

ii. Penyertaan mandatori oleh pihak ketiga yang bebas dalam proses perancangan, kelulusan & perlaksanaan projek pembangunan iaitu:

a) Komuniti tempatan

b) Pakar alam sekitar & konsultan bagi pihak komuniti

c) Badan Bukan Kerajaan (NGO)

iii. Mengurangkan kuasa mutlak yang dimiliki Menteri Besar atau Exco Pengurusan Tanah & Sumber Asli dalam setiap keputusan ataupun kelulusan projek pembangunan mahupun urusan pewartaan/penyahwartaan tanah yang melibatkan kawasan alam sekitar sensitif & kepentingan sosial lalu membahagikannya dengan saksama menerusi partisipasi & penubuhan Jawatankuasa atau kolektif bersama yang terdiri daripada pihak-pihak berkepentingan (stakeholder) yang lain, sebelum satu-satu projek pembangunan diluluskan.

Rasional:

Tiadanya demokrasi dalam alam sekitar di negara ini membawa kepada pelbagai kesan signifikan buruk & sering menimbulkan konflik yang berpanjangan terhadap alam sekitar kita dan juga komuniti tempatan. Hasil akhirnya berlaku banyak isu perampasan tanah, kezaliman terhadap komuniti orang asal, orang asli dan orang-orang yang mempunyai akses secara langsung terhadap sumber asli, pemberian pampasan yang tidak adil, kemusnahan sumber kehidupan serta biodiversiti berskala besar dan kejadian banjir dan bencana yang memberi kesan buruk kepada sebahagian besar rakyat yang lain.

Fakta:

Malaysia berada di kedudukan kedua tercorot daripada 70 buah negara kaya sumber asli yang diakses dalam hasil laporan Indeks Demokrasi Alam Sekitar (EDI) yang dikeluarkan oleh badan pengkaji alam sekitar dunia, World Resources Institute (WRI). Kedudukan ini sesungguhnya menggambarkan realiti dan prestasi sebenar Malaysia yang masih lemah lagi dalam memastikan segala aspek pengurusan pembangunan, penjagaan alam sekitar dan keadilan sosial berjalan dengan baik.

Ini terbukti di mana setiap proses perancangan, kelulusan & perlaksanaan pembangunan yang melibatkan kawasan alam sekitar yang sensitif dan kepentingan sosial seringkali berlaku isu ketidakadilan seperti informasi projek yang penuh dengan kerahsiaan, maklumat yang tidak telus, kurangnya konsultansi & persetujuan menyeluruh, pembuatan keputusan tidak melibatkan suara komuniti akar umbi, isu kronisme & politiking, dan manipulasi fakta serta pembuat keputusan sering mengambil kesempatan terhadap kelemahan undang-undang yang sedia ada.

Usul 2:

PENGISYTIHARAAN EKO-KECEMASAN NASIONAL (ECO-EMERGENCY) MENGENAI KEMUSNAHAN & DEGRADASI ALAM SEKITAR

Pengisytiharan Eko-Kecemasan Nasional oleh Kerajaan Pusat & Negeri memerlukan tindakan berikut dengan segera:

i. Mengisytiharkan tempoh kecemasan dalam masa yang ditentukan bagi mengkaji, memikirkan dan memperbaharui semula dasar negara dalam pengurusan alam sekitar & isu alam sekitar berbangkit

ii. Pengikraran dan komitmen oleh wakil rakyat, ahli-ahli politik dan pemimpin pertubuhan masyarakat sivil dalam memberikan jaminan terhadap perlindungan alam sekitar dan keadilan sosial yang tinggi

iii. Menghentikan projek ladang hutan, perlombongan, empangan dan projek komersialisasi skala besar di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal yang telah memusnahkan sebahagian besar hutan negara

iv. Jaminan pemberian hak kepada komuniti akar umbi untuk berpartisipasi membuat keputusan & mendapat akses secara langsung terhadap sumber asli di sekeliling mereka & menjamin keperluan sosioekonomi mereka daripada pembangunan lestari

v. Pematuhan tegas oleh pihak pembuat keputusan & agensi pelaksana terhadap zon-zon sensitif alam sekitar & dasar-dasar yang telah sedia termaktub

vi. Reformasi undang-undang dan struktur institusi kebangsaan yang inovatif, terbuka dan telus

vii. Memperuntukkan dasar negara untuk tujuan pendidikan alam sekitar secara holistik & mandatori dari peringkat sekolah, universiti & masyarakat awam

vii. Pemerhatian semula dasar tenaga negara kepada dasar kecekapan tenaga, tenaga hijau & bersih

viii. Reformasi sistem ekonomi negara kepada sistem ekonomi hijau dan memastikan agenda pembangunan lestari dapat dijalankan dengan tegas.

Rasional:

Perlunya deklarasi dan komitmen serius daripada pihak berkepentingan terutamanya pihak kerajaan dan agensi berkuasa yang lain dalam mengisytiharkan eko-kecemasan sebagai titik permulaan kepada proses muhasabah dan pengkajian semula dasar negara terhadap perlaksanaan pembangunan yang bakal memberikan impak kepada kawasan alam sekitar sensitif & berkepentingan sosial. Jauh lebih penting, pengisytiharaan ini memberi ruang kepada tindakan penyelesaian tegas terhadap isu-isu alam sekitar berbangkit yang saban hari kerap menimbulkan konflik, kemudaratan ekonomi, politik & sosial serta bencana alam. Perisytiharan Eko-Kecemasan memerlukan persetujuan dan kesedaran tentang kepentingan dan keperluannya daripada ahli-ahli politik, pihak kerajaan dan orang awam. Rangka kerja khas undang-undang dan institusi di bawah Eko-Kecemasan nasional akan membolehkan kita untuk bertindak segera dengan cara yang berkesan untuk menggalakkan tren dan membina warisan semula jadi kita ke arah kestabilan ekologi di peringkat tempatan, nasional dan global, sambil menyumbang terhadap gerakan ekologi.

Fakta:

Dekad yang terakhir ini menyaksikan isu kemusnahan alam sekitar terutamanya hutan biodiversiti negara semakin berada dalam keadaan yang membimbangkan. Malaysia kehilangan hutan & biodiversiti yang terlalu banyak dalam tempoh dekad yang singkat. Saban hari kita melihat semakin banyak projek-projek pembangunan samada yang diberi lesen mahupun yang dilakukan secara haram telah memusnahkan hutan biodiversiti kita dalam skala yang besar. Ini memberikan kesan buruk yang berantai seperti timbulnya pelbagai konflik terutamanya yang membabitkan komuniti orang asli/ orang asal, nelayan, petani dan komuniti akar umbi yang lain yang mempunyai akses secara langsung kepada sumber asli. Kejadian bencana besar, perubahan cuaca, pencemaran alam sekitar dan krisis yang lain telah merudumkan kesejahteraan hidup rakyat, merudumkkan ekonomi negara untuk proses pemulihan serta menyebabkan negara kehilangan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai.

 

Sebahagian peserta kongres bergambar selepas tamat acara kongres

Delegasi/wakil dari Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)

Pembentang usul alam sekitar iaitu Saudara Hafizudin Nasarudin yang juga merupakan Presiden KUASA

Post Author: Editor KUASA