KUASA anjurkan Program Latihan Tapak Semaian Komuniti

Peserta Bengkel Latihan Persiapan Nurseri di Lentang, Pahang

Persatuan Aktivis Sahabat Alam yang lebih dikenali sebagai “KUASA” telah menganjurkan satu bengkel latihan penyediaan tapak semaian biji benih pokok kepada beberapa komuniti terpilih yang terdiri daripada masyarakat nelayan, Orang Asli dan penduduk kampung berdekatan hutan pada 23 hingga 25 Februari 2018. Program ini merupakan satu inisiatif KUASA dalam memperkasa komuniti-komuniti di Semenanjung Malaysia melalui siri latihan penanaman semula hutan dan penghasilan produk hutan bukan berasaskan balak.

Pengenalan Kepada Silvikultur Hutan

Program 3 hari ini dijalankan di Pejabat Pembangunan Hutan, Lentang, Pahang dengan kerjasama Unit Silvikultur & Nurseri dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Sahabat Alam Malaysia (SAM). Tenaga pengajar bagi latihan ini ialah pegawai-pegawai daripada Jabatan Perhutanan dan staf-staf Unit Silvikultur & Nurseri. Sepanjang program ini, peserta diberi pendedahan tentang ilmu penyemaian dan kemahiran memperoleh & menyemai biji benih.

Peserta melawat ke Tapak Semaian Pejabat Pembangunan Hutan, Lentang

 

Latihan dimulakan dengan slot Pengenalan kepada Silvikultur Hutan oleh Pegawai Jabatan Perhutanan Pahang melalui pembentangan slid. Seterusnya, peserta dibawa ke tapak semaian untuk kelas pengecaman anak-anak benih dan pokok yang disemai. Pada hari berikutnya, peserta dibawa ke kawasan Hutan Simpan Lentang untuk kelas kemahiran  mengutip biji benih/ anak benih dari hutan. Selepas mengutip biji benih/ anak benih dari hutan, peserta turut diajar teknik-teknik penyimpanan biji benih/ anak benih yang betul agar tidak berlaku kerosakan yang menyebabkan kebantutan. Apabila mereka kembali ke tapak semaian, staf Unit Silvikultur & Nurseri menunjukkan cara-cara penyemaian dan pembiakan biji benih/ anak benih yang berkesan untuk tumbesaran yang optimum. Mereka turut diajarkan dengan teknik pembajaan yang sesuai dengan keadaan biji benih/ anak benih dan jenis tanah.

Proses membaja anak benih.

Pada hari terakhir, Pegawai Jabatan Perhutanan menunjukkan beberapa contoh rekaan nurseri yang disyorkan kepada peserta.  Peserta dijelaskan secara terperinci tentang kaedah pembinaan, penyelenggaraan dan pengurusan nurseri agar mereka dapat membina nurseri untuk menyemai biji benih/ anak benih daripada kawasan hutan berhampiran mereka. Para peserta turut didedahkan dengan potensi peluang perniagaan yang dapat meningkatkan sosio-ekonomi mereka melalui semaian anak pokok yang boleh dijual kepada organisasi luar untuk program penanaman semula hutan.

Peserta memindahkan anak pokok ke tapak semaian

Turut dibincangkan di dalam bengkel latihan ini ialah lokasi pilihan komuniti untuk dibangunkan nurseri, tarikh-tarikh dalam fasa pembinaan bermula dari proses pembelian barangan & peralatan dan tarikh aktiviti pengutipan anak benih pokok di kawasan hutan komuniti tersebut. Lokasi pertaman di dalam siri pembangunan nurseri komuniti ialah Kampung Orang Asli Pos Piah yang terletak di Kawasan Hutan Hujan Tropika  dalam Central Forest Spine.

Pegawai Jabatan Perhutanan membentangkan syor rekaan nurseri

Pembinaan nurseri di Kampung Orang Asli Pos Piah dijangka akan bermula pada lewat bulan Julai dan akan mula beroperasi sepenuhnya sebagai satu tapak semaian pada bulan Ogos 2018. Mari kita sama-sama doakan agar projek ini berjaya!

 

 

Post Author: Editor KUASA