Perutusan Presiden

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke laman web rasmi Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA

KUASA diasaskan sejak tahun 2009 dan berdaftar secara rasmi pada tahun 2012 dengan aspirasi ke arah perlindungan alam sekitar, pembangunan lestarti dan mempromosi cara hidup yang lestari dalam kalangan masyarakat melalui pendidikan, latihan, pemerkasaan komuniti, advokasi, aktivisme dan bermacam seni pendekatan yang lain.

Keunikan khazanah alam Malaysia termasuk hutan tropikanya yang kaya dengan flora & fauna, hamparan pesisiran pantai yang indah dan landskap tropika yang unik membuatkan negara ini diletakkan pada kedudukan ke-12 negara paling kaya biodiversiti di bumi ini walaupun dalam keadaan geografi yang kecil. Namun, perkembangan ekonomi kita yang semakin pesat telah dibayar dengan kehilangan ekosistem ini.

Dengan kerancakan perkembangan ekonomi dan industri serta peningkatan populasi rakyat yang mendadak sejak akhir dekad ini – yakni pertambahan 3 kali ganda, daripada 10 juta kepada 30 juta orang dari tahun 1970 sehingga kini, dan mungkin bertambah sebanyak 2 kali ganda menjelang tahun 2050 menyebabkan permintaan terhadap sumber semakin meningkat lalu memberikan tekanan yang begitu banyak kepada alam sekitar kita seperti eksploitasi tanpa batasan, kemusnahan hutan semulajadi, pencemaran air, udara dan tanah; kemerosotan biodiversiti dan kehilangan habitat akibat lemahnya pengurusan dan pengawalan alam sekitar secara berhemah dan lestari.

Oleh itu, bagi mengimbangi keperluan antara pembangunan dan penjagaan alam sekitar ini, pentingnya kewujudan badan bukan kerajaan (NGO) seperti kami dalam memberikan nasihat, pandangan input dan idea bagi memastikan perlaksanaan pembangunan serta cara hidup masyarakat kita dapat berjalan secara lestari lalu mampu hidup berharmoni dengan alam sekaligus mewujudkan suasana kehidupan yang berkualiti dalam kalangan rakyat sebagaimana yang ditekankan di dalam Matlamat Pembangunan Lestari PBB (Sustainable Development Goals 2030)

Dengan memfokuskan wilayah semenanjung Malaysia sebagai lapangan kerja kami, kami berharap dapat menarik penyertaan masyarakat awam khususnya generasi muda yang bakal mengambil alih masa depan negara untuk bersama-sama mengmbil langkah lestari demi melindungi khazanah alam kita yang tercinta dan kami juga berharap dapat membantu serta melatih komuniti hutan, yakni komuniti yang terimpak secara langsung daripada kemusnahan hutan serta mendapat akses secara langsung daripada hutan tropika seperti komuniti orang Asli, nelayan Hutan Paya Laut, warga desa dan komuniti yang berkaitan untuk melindungi, menjaga dan memantau hutan di sekeliling mereka.

Selain daripada itu kami juga perlu meneruskan usaha advokasi, kerjasama dengan pelbagai agensi (kerajaan mahupun swasta, NGO atau individu), melakukan kerja pemantauan hutan & kempen ke arah mewujudkan Malaysia sebuah negara maju yang menekankan pembangunan lestari sebagai matlamat utama.

Akhir kata, semoga anda mendapat info yang bermanfaat dalam laman web ini dan menyokong usaha KUASA dalam menjalankan kerja-kerja bakti alam.

Hafizudin Nasarudin,
Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA
M.Sc. Water & Environmental Management, Bristol University
B.App.Sc Natural Resources Sciences, UMK

KUASA KEPADA RAKYAT!
PEOPLE POWER NOW!

Post Author: Editor KUASA