Jom Pantau Hutan Kita (Forest Watch)

Projek ini adalah projek kesinambungan dan penambahbaikan daripada projek Forest Watch sebelum ini yang telah dicetuskan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) yang telah tertangguh untuk beberapa tahun. Matlamat bagi projek ini adalah untuk mengukuhkan pengawasan hutan di Semenanjung Malaysia dan menggalakkan orang awam untuk menyertai tanggungjawab sosial dalam pengurusan hutan negara dengan cara melatih mereka untuk menjadi sukarelawan pemantau hutan, mengambil bahagian dan melaksanakan tindakan yang sepatutnya di bawah peruntukan polisi, undang-undang dan saluran yang sedia ada untuk menyelesaikan isu alam sekitar terutamanya hutan di sekitar mereka dan juga menyokong penyelesaian isu di tempat lain.

Bengkel latihan, pameran dan tinjauan lapangan ini termasuk melatih orang awam bagi menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa perhutanan dalam memantau perlaksanaan aktiviti pembangunan supaya mengikut peraturan, memantau pencerobohan, memahami secara garis panduan perhutanan dan pembangunan yang sepatutnya berjalan dengan lestari, membuat laporan kepada pihak berkuasa, menulis surat, emel dan langkah-langkah bersesuaian yang lain; mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam (EIA, RSN & RTD), menggunakan teknologi Google Earth Geospatial Technology (satellite imagery, aerial photography and GIS 3D globe) untuk mengenalpasti litupan hutan dan melaporkan aktiviti yang luar biasa di dalam hutan.

Pasukan pakar pemantau dan pakar penasihat hutan memperhalusi laporan tersebut dan memberikan respon. Apa sahaja aktiviti yang mencurigakan di dalam hutan akan segera ditangani untuk memperkuatkan urus tadbir hutan negara di peringkat sukarelawan komuniti.

Selain itu, matlamat projek Jom Pantau Hutan Kita ini juga untuk membantu agensi kerajaan dalam memperkemaskan lagi urustadbir pengurusan hutan dengan memantau keadaan hutan dan memberikan data yang meyakinkan bagi kategori Hutan Tanah Negeri dan Hutan Simpanan Kekal.

Projek ini juga melibatkan penerbitan risalah infografik ringkas, kempen media sosial, videografi & poster infografik bagi memahamkan orang awam tentang tanggungjawab dan prosedur memantau hutan.

Diharapkan pada akhir projek ini, urustadbir pengurusan hutan dapat dilaksanakan secara kolektif, telus, akauntabiliti dan memperkukuhkan demokrasi alam sekitar negara dengan penglibatan aktif komuniti awam dalam menjaga dan memantau hutan kita.

Post Author: Editor KUASA