Sekolah Alam Sekitar (SAS)

Sekolah Alam Sekitar (SAS) adalah projek pendidikan alam sekitar inisiatif KUASA dalam memberikan pembelajaran alternatif dan pendidikan melalui pengalaman kepada generasi muda untuk menghayati, merasai, memahami dan menghargai alam di sekeliling mereka lalu membentuk mereka menjadi individu yang mesra alam, yang mampu melakukan perubahan bermakna ke atas diri mereka, keluarga dan masyarakat sekeliling. Daripada sekolah ini, kami cuba untuk menekankan konsep pembelajaran secara praktikal dan sentuhan lapangan daripada terlalu fokus kepada pembelajaran teori di dalam bilik darjah. Di bawah modul SAS ini, ia terbahagi kepada 3 tahapan. Ini termasuk:

TAHAP 1 – PENGEMBARA CILIK

Modul pendidikan alam sekitar ini melibatkan penyertaan kanak-kanak berumur dari Tadika (6 tahun) sehingga ke Darjah 6 (12 tahun). Modul ini terbahagi kepada dua kategori iaitu pengembaraan alam dan kesedaran diri.

Pengembaraan alam termasuklah aktiviti mengembara, memegang elemen alam, melihat dan memerhati; mengenalpasti jenis tanah, daun, pokok, air (sungai dan laut), haiwan dan elemen alam yang berbeza di mana ia bermatlamat untuk mendedahkan mereka tentang bentuk, fungsi dan keadaan sebenar alam sekitar kita. 

Peserta juga diberikan tugasan dalam permainan alam, mencipta teknologi ringkas daripada alam dan pop-kuiz dalam memahami elemen alam yang berbeza. Di bawah modul kesedaran, kanak-kanak ini dididik tentang kesedaran terhadap diri dan cara hidup lestari di rumah seperti menjimatkan air, tenaga, sumber, meminimumkan sampah dan menjadi individu mesra alam secara praktikal di rumah. Pada akhir program ini diharapkan para peserta mampu mendapat semangat kecintaan dan perasaan sayang terhadap alam sekitar dan mampu bertindak sesuatu walaupun dalam skala kecil.

TAHAP 2  – EKO-REMAJA

Modul pendidikan alam sekitar bagi kategori ini melibatkan remaja Sekolah Menengah yang rata-ratanya berumur dari 13 tahun sehingga 17 tahun. Ia juga terbahagi kepada dua iaitu pengembaraan dan pembelajaran sistem alam sekitar serta kesedaran terhadap diri dan keluarga.

Rancangan Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar (NRE) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan subjek Pendidikan Alam Sekitar di sekolah mampu disokong dengan program ini di mana ia memberikan pembelajaran lapangan untuk meningkatkan lagi kefahaman yang lebih jelas tentang subjek alam sekitar seperti sains alam sekitar, ekosistem dan sumber asli.

Modul bagi kategori ini termasuklah pembelajaran ekologi dan ekosistem melalui aktiviti jungle-edu-trekking, pengembaraan sungai dan air terjun, pembelajaran fungsi hutan tadahan air, kitaran air, kitaran karbon, kitaran nutrien, impak manusia kepada alam sekitar dan pengenalan kepada iklim global dan sistem bumi. Peserta juga akan diberikan tugasan untuk pembentangan kumpulan, mencipta model alam sekitar sendiri dan teater alam. Ini sekaligus membuatkan peserta memahami bagaimana sistem alam bumi berfungsi dan bagaimana elemen-elemen alam ini berfungsi antara satu sama lain. Justeru membuatkan mereka lebih faham tentang aturan alam dan bertindak ke hadapan untuk menjaganya.

Bagi modul kesedaran diri & keluarga pula, ia mengajarkan peserta tentang bagai mana mereka mampu mengambil langkah lestari di rumah bersama dengan keluarga dalam menggunakan sumber secara berhemah seperti penggunaan air, tenaga dan barangan keperluan seharian; menggunakan teknologi hijau seperti peralatan cekap tenaga, meminimumkan sampah, praktikal 5R, analisa jejak karbon dan menyediakan pelan pengurusan lestari di rumah.

TAHAP 3 – ENVIRONMENTALIS MUDA

Modul pendidikan alam sekitar bagi tahap 3 ini melibatkan remaja yang berumur 18 tahun ke atas. Modul termasuklah pembelajaran ekosistem, biodiversiti, sistem alam sekitar dan realiti kemusnahan alam di dalam negara serta luar negara. Peserta akan belajar melalui aktiviti jungle-edu-trekking, kajian lapangan dan lawatan eko-kemusnahan. Mereka juga akan belajar tentang sistem alam sekitar secara menyeluruh dan impak aktiviti manusia terhadap alam dengan melihat senario realiti yang berlaku di Semenanjung Malaysia. Peserta juga akan dilatih untuk mengorganisasi kumpulan, menganjurkan projek konservasi, pemerkasaan komuniti, latihan kepimpinan dan analisa kajian lapangan.

 

Post Author: Editor KUASA