KUASA jayakan projek pendidikan alam sekitar bersama anak-anak ‘stateless’ di Semporna Sabah

PADA 9 – 14 Ogos 2017 yang lalu, pasukan pendidikan alam sekitar Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA yang diketuai oleh Cik Syuhada Ahmad & En. Shaiful Bukari telah berjaya menjalankan aktiviti pendidikan alam sekitar bersama anak-anak ‘stateless’ Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah selama seminggu.

Program yang dianjurkan menerusi kerjasama dengan NGO Teach For The Needs (TFTN) ini adalah sebahagian daripada inisiatif program pendidikan kepada anak-anak ‘stateless’ di kampung tersebut. Program di bawah KUASA ini terbahagi kepada 4 slot iaitu Pengenalan kepada Alam Sekitar, Pengurusan Sampah, Kitar Semula (Recycle & Upcycle) dan Ruang Sahabat Alam. Setiap slot terbahagi kepada sesi pembentangan dan aktiviti/permainan.

Slot 1 – Pengenalan kepada Alam Sekitar

Bagi slot pertama – Pengenalan kepada Alam Sekitar, sesi pembentangan telah disampaikan oleh Cik Syuhada dengan beliau menerangkan tentang definisi alam sekitar, definisi pencemaran serta punca, kesan-kesan dan langkah pemuliharaan alam sekitar. Selain itu, slot ini juga menerangkan secara ringkas tentang bagaimana pengurusan sampah secara terkawal menggunakan konsep 3R (Reuse, Reduce dan Recycle) iaitu penggunaan semula, pengurangan dan kitar semula. Selain penggunaan ‘slide’, pembentang juga menggunakan gambar untuk menerangkan situasi-situasi pencemaran yang berlaku di sekeliling.

Selingan aktiviti permainan pula melibatkan aktiviti mengenali haiwan & hidupan liar menerusi cabutan kertas, peserta diarahkan berlakon menjadi hidupan liar dan setiap peserta dikehendaki menghasilkan bunyi-bunyi haiwan terbabit bagi mengenalpasti rakan mereka. Selain itu terdapat juga permainan ‘puzzle’ di mana gambar-gambar alam sekitar yang sudah tercemar dan gambar tersebut dipotong-potong, kemudian dicantumkan semula dan peserta dikehendaki menyatakan jenis pencemaran tersebut melalui pembentangan kumpulan.

Slot ini secara keseluruhan berjaya memberikan ilmu baru kepada anak-anak kecil tentang ilmu asas alam sekitar, namun secara aplikasi masih lagi dalam peringkat awal kerana kesedaran yang masih lagi di tahap yang hampir tiada tentang kepentingan alam sekitar.

Permainan ini bermatlamat bagi menguji kefahaman mereka sewaktu sesi pembentangan sekaligus mengajak anak-anak kecil selari dengan usia mereka ini untuk memahami jenis pencemaran dan kesannya secara visual. Selain memupuk nilai kerjasama kumpulan, melalui pembentangan di akhir permainan adalah bertujuan untuk mengasah kemahiran komunikasi dan membentuk keyakinan diri. Secara keseluruhan slot ini dianggap berjaya apabila setiap dari peserta berjaya menamatkan permainan dengan menyelesaikan tugasan yang diberikan atas kerjasama fasilitator setiap kumpulan.

Slot 2 – Pengurusan Sampah

Slot ini menerangkan bagaimana sampah seharusnya diuruskan mengikut kategori. Slot ini juga memberi pendedahan bagaimana sampah boleh menghasilkan barangan kitar semula yang menarik dan baja kompos dari sisa makanan. Mereka juga didedahkan tentang tong kitar semula mengikut warna agar mereka mudah faham dengan lebih jelas tentang pengasingan barangan kitar semula.

Namun secara praktikalnya, bagi melaksanakan apa yang diajar di dalam slot ini agak kurang berkesan dari sudut pengaplikasian kerana kawasan persekitaran yang gagal menyediakan sistem pengurusan sampah yang efektif.  Bukan sahaja tiada tong kitar semula di kawasan tersebut, malahan pengurusan sampah oleh pihak berwajib dilihat gagal. Hal ini dilihat tidak membantu proses pengurusan sampah dengan baik di kawasan setempat.   Walaubagaimanapun, dalam asas pembentukan pengurusan sampah dengan lebih teratur, ia dilihat mampu memberi sudut pandangan lain seperti nilai ekonomi hasil dari jualan semula barangan kitar semula kepada anak-anak kecil sekaligus kepada warga penduduk kampung itu sendiri jika sampah itu dikelaskan dengan baik.

Bagi sesi selingan aktiviti permainan pula, kami telah mengadakan permainan melontar sampah di mana peserta bertanding untuk mengasingkan sampah dan memasukkannya (melontar) ke dalam tong kitar semula yang berwarna biru, jingga & coklat dalam masa yang pantas. Kumpulan  yang berjaya menghabiskan dulu sampah-sampah tersebut akan dikira pemenang. Sampah yang tepat dan betul tempatnya sahaja akan

Permainan ini bermatlamat untuk melatih anak-anak kecil ini untuk membantu anak-anak kecil ini agar mudah mengingat melalui konsep belajar sambil bermain. Ianya dilihat berjaya untuk membuatkan mereka jelas tentang kefahaman konsep tersebut. Namun untuk aplikasi sebenar masih lagi sukar untuk dilaksanakan.

Slot 3 – Kitar Semula (Recycle & Upcycle)

Slot ini dikendalikan oleh Shaiful di mana beliau menerangkan tentang bagaimana menghasilkan baja kompos kepada anak-anak kecil ini dalam menarik minat mereka untuk bercucuk tanam. Mereka juga diberi pendedahan tentang konsep ‘upcycle’ iaitu menghasilkan sesuatu yang baru dan boleh digunapakai mengikut kreativiti dengan menggunakan bahan-bahan terpakai.

Slot ini dilihat dapat menarik anak-anak kecil ini untuk melihat sampah bukan hanya bahan terbuang semata-mata kerana ia boleh dimanfaatkan dengan menghasilkan sesuatu barang yang boleh digunakan. Pendedahan tentang bagaimana baja kompos dihasilkan adalah dilihat suatu benda baru untuk anak-anak kecil ini dan ia boleh dijadikan asas untuk menarik minat mereka bercucuk tanam menggunakan baja kompos yang boleh dihasilkan sendiri.

Slot permainan yang dikendalikan oleh Syuhada pula melibatkan aktiviti mencipta semula barang-barang baru daripada barang terpakai seperti botol kaca, botol plastik, dan tin aluminium mengikut kreativiti ahli kumpulan masng-masing.

Permainan ini sekaligus  bertujuan untuk mencungkil bakat seni dan kreativiti ahli kumpulan masing-masing dalam melihat barang-barang yang tidak berguna tersebut menjadi suatu barang yang menarik seperti barang perhiasan atau permainan

Slot 4 – Ruang sahabat Alam dan Permainan

Bagi slot yang terakhir pula yakni Ruang Sahabat Alam, peserta didedahkan dengan latihan menyediakan bekas tanaman pokok sayuran & dibekalkan dengan biji benih sayur yang kemudiannya akan ditanam di dalam botol terbabit. Kemudian bekas-bekas tanaman tersebut digantung di ruang halaman mereka yang digelar sebagai ruang sahabat alam.

Slot ini dilihat sangat berjaya menarik minat anak-anak kecil untuk berkarya dan bercucuk tanam. Walaubagaimanapun, ia agak menjadi suatu perkara asing kerana kawasan tersebut adalah perkampungan atas air dan tiada ruang untuk bercucuk tanam. Dengan memberi idea penanaman daripada barang terpakai seperti botol plastik sebagai bekas tanaman, ianya akan dilihat permulaan kepada asas tani disini. Secara keseluruhannya ianya boleh dianggap berjaya.

 

 

Program pendidikan alam sekitar tersebut berakhir dengan aktiviti Permainan Sampah  Berantai di mana peserta di dalam setiap kumpulan diberikan plastik sampah setiap satu dan kemudiannya diberikan masa untuk mengutip sampah di kawasan setempat dalam masa yang telah ditetapkan sehingga ke kawasan permainan. Seterusnya mereka perlu menyusun sampah-sampah tersebut menjadi satu rantaian kumpulan sampah yang panjang dan kumpulan yang mempunyai rantaian sampah terpanjang akan dikira sebagai pemenang.

Permainan ini bertujuan memberi kesedaran tentang pembuangan sampah di kawasan sekeliling akan mencemarkan kawasan tersebut. Jadi setelah permainan ini tamat pengendali program menerangkan kawasan yang bebas sampah akan kelihatan lebih cantik. Permainan ini juga ingin melahirkan rasa tanggungjawab terhadap kawasan sekeliling mereka dan budaya mengutip sampah perlu dilakukan sedikit demi sedikit dalam meningkatkan kualiti persekitaran tersebut dengan cara yang lebih meneronokkan dan kerjasama kumpulan akan melahirkan persaingan yang sihat.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah titik permulaan asas kepada pengetahuan alam sekitar, pencemaran dan kesan-kesannya biarpun hal ini menjadi suatu yang asing untuk diubah setelah bergenerasi mengamalkannya. Untuk langkah seterusnya, perlu diakukan kajian tentang kawasan setempat seperti faktor-faktor yang meyumbang kepada pencemaran tersebut selain daripada faktor penduduk kampung itu sendiri. Setelah kajian tersebut dirumuskan ia akan menjadi modul untuk merangka suatu cara untuk mengatasi dan menangani isu-isu alam sekitar dalam jangka masa yang panjang. Permasalahan yang sudah bertapak sekian lama ini akan mengambil masa yang panjang untuk ditangani dan usaha-usaha berterusan dilihat perlu untuk memastikan perubahan-perubahan secara berperingkat itu tercapai.

KUASA ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada TFTN & penduduk kampung Bangau-Bangau kerana telah memberikan peluang kepada kami untuk mendidik dan melatih anak-anak ini. Mudah-mudahan program kesinambungan dapat diteruskan lagi selepas ini.

 

 

Post Author: Editor KUASA