Tidak wajar tangkap 49 pembela hak tanah Orang Asli Gua Musang

 

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Perjuangan masyarakat Orang Asli Temiar di Gua Musang bukanlah baru. Ia bermula sejak lima tahun lalu dan telah menggunakan segala jalan penyelesaian yang ada seperti berunding, bermesyuarat, berdialog dan berhimpun secara aman di pejabat Kerajaan Negeri Kelantan.

Apabila ia menemui jalan buntu dan keadaan terlampau kritikal sehingga menyebabkan ada penduduk jatuh sakit dan kehilangan sumber makanan, mereka akhirnya terpaksa melakukan halangan blockade di pos dan kampung.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin berkata penahanan 49 Orang Asli Temiar oleh pihak berkuasa Kelantan adalah amat tidak wajar, selain menuntut mereka dibebaskan dengan segera.

hafizudin

Presiden KUASA, Hafizudin Nasarudin

Menurutnya, organisasi berkenaan pernah meninjau kawasan terbabit beberapa bulan lalu dan mendapati berlaku pencerobohan rizab sungai serta gangguan ekologi yang memusnahkan flora dan fauna di situ.

“Hasil kajian kami, terdapat pencerobohan rizab sungai, mengeruhkan sungai yang juga bekalan minuman, gangguan sensitiviti seperti pembalakan di kawasan kubur dan tebangan habis di kawasan berkecerunan lebih 45 darjah.

“Jelas sekali, pembalakan di sini bukannya pembalakan terpilih. Sebaliknya adalah pembalakan tebang habis (clear cutting) untuk pembukaan ladang TLC (getah klon balak). Lalu apa yang akan tinggal jika semua dimusnahkan?” katanya.

Pada masa sama, beliau melahirkan rasa kecewa dengan janji dan jaminan daripada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang kononnya mahu turun meninjau sendiri permasalahan di kawasan konflik melalui pertemuan tertutup beberapa bulan lalu.

“Namun sebaliknya pasukan polis, Jabatan Perhutanan dan PGA pula dihantar untuk menangkap orang-orang tempatan yang membantah,” luahnya, kesal.

Hafizudin turut mendesak pihak kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan sebagai agensi pelaksana menghentikan segala aktiviti pembalakan yang melampau serta bertanggungjawab ke atas segala kemusnahan yang telah terjadi.

“Pihak berkuasa harus ingat, Orang Asli bukannya suka melanggar undang-undang sewenang-wenangnya, tetapi kerajaan negeri yang terlebih dahulu melanggar undang-undang mereka sendiri,” ujarnya. – Roketkini.com

Post Author: Editor KUASA