NGO KUASA saran kurangkan kuasa MB, Ketua Menteri & exco elak hutan & biodiversiti musnah

PETALING JAYA: Sekumpulan NGO hari ini mendesak kerajaan mengurangkan kuasa mutlak dimiliki menteri besar atau exco dalam meluluskan projek melibatkan kawasan hutan dan alam sekitar.

Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizuddin Nasarudin yang mewakili kumpulan NGO itu mengemukakan usul berkenaan pada Kongres Anak Muda Malaysia 2017 (KAMM).

Katanya, mereka mahu usul itu diluluskan kerana pemerintah, khasnya di peringkat negeri tidak mengutamakan hutan dan hak Orang Asli.

“Tiadanya demokrasi dalam alam sekitar oleh kerajaan negeri menyebabkan banyak isu berlaku seperti rampasan tanah, kezaliman terhadap komuniti Orang Asli, pemberian pampasan tidak adil, kemusnahan sumber kehidupan serta biodiversiti berskala besar dan berlaku kejadian banjir sehingga memberi kesan buruk kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan usul itu.

Hafizuddin memetik Indeks Demokrasi Alam Sekitar (EDI) yang dikeluarkan badan pengkaji alam sekitar dunia, Institut Sumber Dunia (WRI) menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-2 terbawah dalam kalangan 70 negara yang kaya dengan sumber asli, tetapi tidak mengutamakan alam sekitar.

“Kedudukan ini memberi gambaran realiti dan prestasi sebenar Malaysia masih lemah dalam memastikan segala espek pengurusan pembangunan penjagaan alam sekitar dan keadilan sosial berjalan dengan baik.”

Sementara itu, wakil Orang Asli yang dikenali sebagai Dendi menyokong usul itu dan menyalahkan kerajaan Malaysia yang didakwa tidak sensitif dengan nasib Orang Asli di Negara ini.

“Kerajaan Malaysia telah menandatangani Deklarasi Hak Orang Asal di peringkat antarabangsa, tetapi kenapa di Malaysia tiada pelaksanaan Deklarasi Hak Orang Asal, di mana setiap pembangunan tidak mendapat izin rakyat, hutan kita makin hari makin kecil,” katanya.

Wakil Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan itu turut mendakwa kerajaan negeri pimpinan PAS rakus dan menafikan hak mereka memiliki tanah adat serta kawasan sumber hutan.

“Kerajaan PAS Kelantan yang kononnya parti Islam tidak menghormati hak Orang Asli, malah menafikan hak Orang Asli.

“Mereka menzalimi kami – Orang Asli. Kami yang mempertahankan hak kami dimasukkan dalam penjara, tetapi pembalak dihalalkan untuk musnahkan hutan,” katanya.

Beliau turut menyalahkan rakyat Malaysia yang tidak peka dengan isu Orang Asli.

“Kenapa perkara ini tidak dilihat semua masyarat di Malaysia? Kenapa mereka lupa, ibarat kacang lupakan kulit dan tidak menghargai alam sekitar.

“Kami Orang Asli bergantung penuh kepada hutan. Hutan itu adalah supermarket kami, macam Giant dan Tesco,” katanya.

KAMM merupakan inisiatif Gerakan Anak Muda Demi Malaysia yang menghimpunkan generasi muda dari semua latar belakang bagi membincangkan hala tuju dan masa depan negara sebelum diangkat kepada kerajaan.

Mengambil semangat gerakan terdahulu, KAMM berharap dapat mencari penyelesaian atau sekurang-kurangnya titik pertemuan antara gerakan anak muda serta individu yang prihatin dengan masalah dan masa depan negara.

Sumber: Free Malaysia Today

Post Author: Editor KUASA